Jawatan Timbalan Perdana Menteri menakutkan

Oleh ADNAN IBRAHIM

 

KUALA LUMPUR: Jawatan Timbalan Perdana Menteri mula disifatkan amat menakutkan kerana sejarah membuktikan sesiapa yang memegangnya semasa pemerintahan Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad boleh menerima nasib kehancuran karier politik masa depan.

Ahli Parlimen Kubang Kerian, Haji Mohamad Sabu berkata Perdana Menteri kemungkinan akan menjadi sama seperti Presiden, Suharto yang menjatuhkan enam timbalannya sebelum dia jatuh daripada pemerintahannya.

"Suharto dia jatuhkan enam orang timbalannya, baru dia terpelanting. Oleh itu, siapa-siapa yang jadi timbalan perdana menteri akan jatuh. Orang Umno jangan suka sangat. Mahathir akan jadi macam Suharto," ingatnya.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat berkata demikian ketika berceramah 'Masih Ada Yang Sayang' di Markaz Tabiyyah PAS Pusat, Taman Melewar di sini, Ahad lalu.

Sementara orang ramai mula bercakap siapa bakal yang akan menduduki jawatan kedua tertinggi dalam negara itu.

Dari segi kedudukan jawatan dalam Umno, kelebihan sudah tentu kepada Menteri Luar, Datuk Abdullah Ahmad Badawi yang juga Naib Presiden. Ini diikuti seorang lagi Naib Presiden, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang juga Menteri Pendidikan.

Bagaimanapun di kalangan wartawan berpendapat Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato' Seri Rafidah Aziz mempunyai peluang cerah menduduki jawatan itu. Ini kerana Mahathir berminat kepada mereka yang mempunyai kemahiran dalam ekonomi.

Disebabkan faktor itu juga banyak yang meramalkan peluang untuk Menteri Tugas-Tugas Khas, Tun Daim Zainuddin menjadi Timbalan Perdana Menteri. Tetapi Daim sendiri dikatakan tidak berminat dengan jawatan tersebut.

Daim dikatakan memegang jawatan dalam kerajaan kerana menyelamatkan empayar ekonominya yang turut menerima kesan apabila berlaku kegawatan ekonomi negara.

Selain itu peluang juga terbuka kepada bekas Presiden Semangat 46, Tengku Razaleigh Hamzah dan Menteri Pembangunan Usahawan, Dato' Mustafa Mohamad yang diberi kepercayaan membantu Mahathir sebagai Menteri Kewangan II.

Sementara itu, di majlis tersebut, enam cawangan PAS ditubuhkan di Kawasan Batu yang selama ini menjadi kubu kuat Umno di Wilayah Persekutuan.

Daripada cawangan tersebut dianggarkan lebih 200 orang menyertai PAS termasuk orang Umno yang malu dengan parti mereka menjadi pencetus perpecahan perpaduan orang Melayu.

Ketua Penaja PAS Cawangan Sentul Utama, Ustaz Mahyuddin Yusof, berkata seramai 84 orang telah menyertai PAS di Sentul Utama dan mereka terdiri daripada orang Umno dan bekas ahli Umno.

"Mereka ada kesedaran politik sejak reformasi yang berlaku di Indonesia dan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil di Parlimen Arau.

"Kesan daripada isu Anwar (Dato' Seri Anwar Ibrahim) mungkin juga ada tetapi ia bukan faktor mutlak," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ceramah Perdana Masih Ada Yang Sayang di Majlis Penutup Minggu Penerangan PAS Kawasan Batu di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar di sini, Ahad lalu.

Ketua Penaja PAS Cawangan Batu 4 1/3, Jalan Gombak, Anuar Mohd Yunus pula memberitahu seramai 40 orang menyertai PAS di tempat beliau.

Mereka terdiri sebahagiannya daripada orang Umno, terang beliau kecewa dengan sikap pemimpin Umno tidak mengutamakan keadilan dan kebenaran.

Ketua Penaja Cawangan Kampung Bandar Dalam, Khairul Salleh berkata lebih 25 ahli baru menyertai PAS di kampung ini.

Ketua Penaja PAS yang lain iaitu Ketua Penaja PAS Cawangan Kampung Puah, Anuya Abdul Aziz, Ketua Penaja PAS Cawangan Bandar Dalam Hilir, Abdul Rahim Ahmad dan Ketua Penaja PAS Cawangan Sungai Mulia, Haji Wazir Abdul Wahab.

Ceramah malam itu disampaikan oleh Ahli Parlimen PAS Kubang Kerian, Haji Mohamad Sabu dan Ahli Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Turut hadir Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Haji Subky Abdul Latif, Timbalan Pesuruhjayanya, Haji Syed Abdul Malik Syed Hassan, Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Shamsuddin Yaakob dan Ketua Penerangan PAS Kawasan Batu, Cikgu Ishak Surin.

 

Ke Laman Utama