Make your own free website on Tripod.com

TRANSKRIP

AMANAT SEORANG PEJUANG KEADILAN

DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

Di No. 8, Jalan Setia Murni 1, Bukit Damansara, Kuala Lumpur

20 September 1998

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera

Saya menjangkakan dalam masa yang singkat, kemungkinan saya ditahan dalam apa juga cara sama ada dalam Akta Keselamatan Dalam Negeri atau di tuduh ke mahkamah tanpa memungkinkan saya diberikan ikat jamin. Saya tidak menolak sebarang kemungkinan, memandangkan cara gelisah kezaliman di bawah pimpinan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamed sekarang. Oleh yang demikian izinkan saya untuk membuat pesanan kepada anak-anak saya dan pada rakyat Malaysia umumnya.

Kepada anak-anak, papa seorang pejuang menegak yang hak, membela nasib rakyat miskin, mempertahankan maruah bangsa, meningkatkan syiar agama Islam. Papa masuk dalam pelbagai gelanggang sehingga dalam parti dan kerajaan sehingga menduduki tempat yang cukup tinggi tetapi papa tidak pernah luntur semangat papa untuk pertahankan keadilan dan membela nasib rakyat. Dan tentunya menegakkan kebenaran, menimbulkan banyak rasa cemas dan kegelisahan dari banyak kalangan yang telah menyediakan satu komplot, konspirasi peringkat tertinggi yang melibatkan Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamed sendiri. Jadi anak-anak harus tahu semua tuduhan yang dilemparkan kepada papa adalah fitnah, jahat, khianat dan kasih papa kepada anak-anak mendidik supaya menjadi orang-orang yang berilmu, beramal, bertaqwa, papa harap dengan bimbingan mama, anak-anak tidak sedikit pun luntur, biar semangat kukuh, biar ilmu bertambah, biar daya juang ada, biar kita tahu anak-anak berasal dari kampung papa di Sungai Bakap dan Ceruk Tok Kun dan asas kita jangan sedikit pun kita lupakan. Jadi ingatlah pesanan papa kerana kemungkinan yang perkara buruk berlaku tidak boleh papa ketepikan.


Papa mungkin ditahan dan kalau lihat apa yang berlaku pada Uncle Sukma dan Uncle Munawar ada kemungkinan dipaksa, diugut, dipukul. Papa tidak gementar dengan itu semua. Papa telah lalui dan insyaAllah papa boleh bertahan. Tetapi papa harus ingatkan anak-anak kemungkinan papa dikenakan atau disuntik dengan mungkin dadah, atau jenis-jenis dadah yang boleh melupakan papa ataupun boleh menyebabkan papa menjadi nanar atau tidak menentu dalam percakapan. Sebab itu papa mengambil pilihan untuk menyatakan kebenaran papa bahkan bila ada tuduhan yang pertama yang nampak khusus yang melibatkan uncle Munawar dengan Uncle Sukma, semalam papa melafazkan sumpah Waallahhi di Batu Pahat untuk menyatakan tuduhan yang dilemparkan bersabit dengan perlakuan buruk dan keji itu adalah fitnah jahat yang malangnya dibuat oleh orang yang terlalu takut kepada kekuatan dan pengaruh papa dan InsyaAllah perjuangan reformasi menegakkan makruf kebenaran dan undang-undang tidak akan luntur.


Saudara-saudari yang saya muliakan. Dari awal saya tegaskan sebenarnya ada konspirasi politik peringkat tertinggi. Memang saya enggan untuk melibatkan nama Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad kerana mengharapkan beliau ada pertimbangan yang munasabah, rasional dan ada belas kasihan. Tetapi nyata ini semua hilang kerana beliau tamakkan kuasa dan harta dan mahu saki baki umur dan pemerintahannya akhir digunakan sepenuhnya untuk memperkukuh kepentingan keluarga dan kepentingan kelompoknya. Memang benar Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pernah menyokong saya, dan saya juga menyokong beliau dengan kuat kerana pada masa itu saya masih yakin akan prinsip perjuangannya walaupun saya akui manusia tidak sempurna tetapi lambat laun dengan nasihat kepala-kepala komplot lain termasuk Tun Daim Zainuddin nyata mereka tidak yakin bahawa saya boleh diharapkan untuk mempertahankan kepentingan mereka. Saya tidak boleh diharapkan untuk mengiyakan cara mereka membolot kekayaan dan menipu dengan ganas memunggah kekayaan untuk kepentingan beberapa komplot. Mereka tidak yakin saya akan mempertahankan kepentingan mereka dan suku sakat dan keluarga mereka itulah sebabnya mereka melancarkan satu komplot yang cukup jahat terhadap saya. Dan konspirasi ini dirancang tentunya pada peringkat awal untuk menggunakan kes jenayah seks, baik seks zina atau pun liwat homoseksual. Kerana mereka tahu untuk kaitkan dengan rasuah walaupun dikaitkan kemudian sukar. Mereka boleh semak tetapi mereka tahu kekayaan dan pendapatan saya terlalu kecil sebagai seorang bekas Menteri Kewangan enam tahun dibandingkankan dengan orang-orang seperti Dr. Mahathir dan orang-orang di keliling beliau yang bukan saja kaya raya punyai billion ringgit dan punyai akaun dalam negara dan luar negara dan ini menjadi pengetahuan umum.


Untuk dikaitkan dengan pengkhianatan kepada negara walaupun mereka usahakan tetapi susah melekat kerana masyarakat tahu pengorbanan dan sikap saya. Begitu juga dengan beberapa kes lain yang masih juga dirangka dan direka setelah saya dipecat. Tetapi untuk dikaitkan dengan kes jenayah seks, ini akan menimbulkan kecurigaan di tengah rakyat. Saya telah bertanya kepada Dato’ Seri Dr. Mahathir, apakah benar saudara ini memang sungguh-sungguh berat menjaga kepentingan moral pimpinan. Orang semua tahu bahawa Dr. Mahathir tidak pernah mengambil kira moral pimpinannya, baik arak, baik zina, baik judi. Orang jugak tahu perilaku mereka dalam dan luar negara. Kadang-kadang beliau menasihatkan janganlah buat dalam negara kalau-kalau diketahui, kalau perlu buat juga buatlah di luar negara. Jadi nasihat ini memang umum diketahui oleh semua, Jadi adalah munafik kalau beliau mengatakan di peringkat ini moral dan akhlak itu penting bagi beliau. Bahkan dengan pendedahan Marina Yusuf terhadap perilaku seks dan juga teman-teman wanita Perdana Menteri dan beberapa rakan dalam kabinet. Ini walaupun dipadamkan oleh media tempatan tetapi cukup menggemparkan. Kalau ada alasan yang dibuat oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad bahawa yang dilakukan terhadap saya itu ialah kerana berita yang beliau perolehi, saya ingin menjelaskan bahawa berita yang didedahkan oleh Marina sudah cukup meminta beliau meletakkan jawatan dengan kadar segera.


Dalang konspirasi ini tentulah ada di kalangan pimpinan politik dan juga peniaga-peniaga kerana mereka takut bila saya mengambil alih kuasa, kedudukan mereka, jenayah mereka, rasuah mereka tidak mungkin terjamin. Sebab itu dalam surat saya kepada Perdana Menteri, merayu pertimbangan beliau supaya jangan melakukan kezaliman. Saya menyebut Badan Pencegah Rasuah dikaitkan, seolah-olah saya telah mengarah BPR untuk menyiasat Unit Perancang Ekonomi yang melibatkan Ketua Pengarah EPU, dan memang ada siasatan dan memang ada bukti termasuk wang tunai diperolehi tetapi kes itu ditutup dan saya pula dikaitkan seolah-olah mengarahkan siasatan terhadap Ketua Polis Negara, terhadap Peguam Negara dan terhadap Ketua Hakim Negara. Semua ini sekadar untuk mendapatkan dokongan dan sentimen mereka bersama Dr. Mahathir bila ada kerangka konspirasi secara menyeluruh terhadap saya.


Jadi, sebab itu saya telah bersetuju berbincang dengan teman-teman untuk melancarkan agenda reformasi atau islah. Kerana saya tidak dapat melihat kemungkinan, kita membuat penyesuaian bila keganasan seperti ini berlaku. Dalam kes yang dihadapkan terhadap saya, pecat isu yang melibatkan penyataan bekas pemandu Azizah bernama Azizan dan juga adik kepada Azmin Mohd. Ali, Ummi Hafilda. Mereka ada pengakuan bersumpah, Ummi Hafilda ada kenyataan dalam tape yang menuduh orang-orang tertentu membayar dengan harga yang cukup tinggi kepada pengarang buku 50 Dalil dan kemudian buku itu diedar secara meluas. Hakim yang terlibat dipindahkan, yang tidak boleh tidak merupakan satu konspirasi yang disahkan di peringkat tertinggi dalam kerajaan. Kemudian kes itu terhenti begitu sahaja. Bila saya dipecat rupa-rupanya kes tuduhan yang lama tidak boleh dipakai.


Setelah saya dipecat barulah penangkapan-penangkapan baru dibuat. Penangkapan dibuat terhadap Sukma, Dr. Munawar Anees, Azmin, Mohamad dan beberapa orang lain sebelum ini. Mereka ditangkap, diugut dan mereka keluar sama ada mendiamkan diri atau membuat kenyataan-kenyataan palsu menentang saya. Saya tahu keupayaan polis kalau polis itu stailnya, stail Gestapo kalau beberapa pegawai polis stail itunya, stail pegawai polis Aparteid dan juga ala Mossad Israel. Tetapi saya ingin mengingatkan mereka tahun ini, bulan ini saudara boleh selamat, bulan depan belum tentu kerana rakyat akan menuntut Suruhanjaya. Mandela menunggu puluhan tahun sebelum kebenaran muncul dan siasatan terhadap orang-orang yang terlibat itu diteruskan. Keadilan tidak boleh ditolak ansur. Keadilan mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Kezaliman tidak boleh dibiarkan terlalu. Oleh yang demikian polis menjalankan tugasnya secara profesional. Dalam kes Sukma ditahan 13 hari, ibu bapa tidak boleh berjumpa, keluarga dari Indonesia tidak boleh bertemu, Peguam yang kita lantik tidak boleh ditemui. Akhirnya polis memaksa, mengugut dan kemungkinan menggunakkan dadah dan meminta beliau mengaku dan melantik peguam sendiri. Seluruh masyarakat guaman tahu betapa jijik cara yang sedemikian. Sudahlah orang itu dipaksa dan dipaksa mengaku, kemudian dilantik peguam dari bekas pegawai polis dilantik oleh polis untuk mempertahankan Sukma. Dalam tempoh setengah jam kes itu diselesaikan di mahkamah. Bila ada bantahan, keluarga saya datang lambat kerana kita tidak tahu, peguam datang lambat kerana tidak diberitahu. Kemudian dalam setengah jam dikenakan denda 6 bulan penjara. Dan Mahkamah bilik 4 dengan Mahkamah bilik 1 kes Dr. Munawar nampaknya mengambil tindakan sama dengan cepat dan pantas. Hukuman pun sama. Ini suatu yang luar biasa, menunjukkan dan membuktikan ada arahan daripada pihak tertinggi politik ada konspirasi politik telah berlaku. Sehingga selesai kes saya, bapa yang merayu untuk bertemu dengan Sukma sehingga akhir tidak dibenarkan. Sukma tidak sanggup hingga memanggung kepala melihat anggota keluarga kerana takut kepada ugutan polis. Kezaliman ini kezaliman terhadap rakyat. Ini satu contoh dan contoh ini membuka mata rakyat.


Saudara-saudara harus syukur kerana walaupun saya dizalimi, saya dianiayai, saya diaibkan dan dimalukan ini kesempatan yang penting yang pertama dalam sejarah moden di mana rakyat dengan sendirinya diberikan pendedahan dan pengajaran. Dan oleh yang demikian, saya katakan tidak ada pilihan melainkan reformasi. Undang-undang mestilah dihormati, prinsip keadilan mesti dimuliakan, hak asasi manusia jangan dipijak, sistem diktator dan kuku besi, merampas kekayaan rakyat, mesti diberhentikan. Ekonomi kita di Malaysia tercinta ini cukup jenuh, cukup untuk semua, tetapi janganlah dimintak supaya dibolot untuk kepentingan 2,3 kerat manusia yang rakus dan tamak haloba walaupun menyampaikan maklumat kepada orang ramai seolah-olah merekalah pejuang yang tulen. Kemudian soal undang-undang, soal agama jangan diremehkan. Kita hidup dalam masyarakat berbagai kaum dan berbagai agama tetapi prinsip keadilan mesti dijaga jangan harap kita gunakan media seperti dilakukan di Malaysia sekarang baik media cetak dan media elektronik untuk memperbodohkan rakyat. Saya hadir bersama Azizah untuk melahirkan simpati kepada Lim Guan Eng yang dipenjarakan selama 18 bulan, semata-mata kerana nak mempertahankan maruah anak muda Melayu dan neneknya. Dan untuk itu saya dikecam hebat seolah-olah saya bersekongkol dengan parti Cina dan DAP. Saya katakan, soalan Lim Guan Eng bukan soal Cina atau DAP, soal keadilan. Walaupun media cuba mempermainkan supaya ahli-ahli UMNO akan memusuhi saya. Saya harap ahli-ahli UMNO lebih matang.


Sudahlah, janganlah benar kita ditipu dan dikhianati seperti ini. Janganlah kepimpinan kita ditentukan oleh orang-orang yang rakus dan tamak haloba. Cukuplah bukalah mata, jangan gentar dan takut dan biarlah ada pendirian dalam hidup kita. Sebab itu, saya katakan, reformasi ini harus bermula dari kesedaran kita. "Ku An fu sakum wa ahli kum nara", "Hda binafsika". Mula dari diri kita dengan semangat kita untuk melancarkan islah ini. Soal orang hendak kait dengan pengalaman negara-negara lain tidak penting. Yang cukup takut bila Presiden Suharto berundur ialah Dr. Mahathir Mohamad. Saya tahu gelisahnya, saya tahu dia pertahankan Suharto habis-habisan. Saya kata Suharto juga banyak jasa tetapi Suharto juga membuat kesilapan besar kerana mempertahankan sistem yang tidak adil dan rasuah.


Begitu juga dengan Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad, jasanya banyak tetapi dia sudah melewati tempoh keupayaan khidmatnya. Dia telah cuba hendak mempertahankan diri dia tanpa memperdulikan undang-undang dengan dan melakukan kezaliman berterusan yang cukup mengaibkan. Bahkan seperti yang saudara-saudara tahu dalam kes yang melibatkan saya, sekali lagi saya ulangi kes yang dibangkitkan sekarang tidak ada kena mengena dengan kes yang menyebabkan saya dipecat. Semua ini ditangkap baru, direka baru, akan dipanggil lagi kawan-kawan saya dan nampaknya kalau gunakan pelacur nampak tak jadi, sebab saya mgunakan berulang-ulang kali ‘pre-m’ dan menjangka awal tindakan dan taktik mereka sebab itu mereka agak lebih ganas . Bahkan Dr. Munawar ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri . Tuduhan tidak ada kena mengena dengan soal-soal keselamatan, tuduhan ialah kes seks. Ini menunjukkan satu tindakan yang gopoh gapah, kelam kabut yang dikaitkan kerana Perdana Menteri, Dr Mahathir sudah ‘desperate’. Dia sudah baca sekarang kemarahan rakyat dan saya ingin menasihatkan supaya dia berundur secara terhormat sekarang sebelum rakyat bangun dan menentang dan memaksa beliau turun, cara cukup hina sekali. Dan saya berdoa kepada Allah s.w.t. supaya rakyat dapat terus istiqamah dengan pendirian yang teguh, kepada masyarakat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan dan Murut, semuanya faham bahawa masa untuk perubahan sekarang kita mesti bertindak sekarang, sebelum kita dijajah oleh anak-anak bangsa yang pura-pura menjadi pemimpin kita. Wasalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.


Yang menyebabkan mereka menjadi gentar kepada saya kerana saya tahu terlalu banyak rahsia mereka. Saya tahu beberapa billion ringgit wang UMNO yang dicuri untuk kepentingan dari dalam negara ke luar negara, ke satu bank, dan akaun bank di sekitar Zurich. Saya telah laporkan kepada Dr. Mahathir mengharapkan dia pemimpin yang boleh dipercayai rupa-rupanya dia menyimpan maklumat itu dan saya tidak boleh nafikan bahawa ada pakatan sulit di antara beliau dan beberapa orang berkenaan. Saya tahu rahsia bagaimana beberapa projek digunakan dan memanfaatkan untuk beberapa kawan dan suku sakatnya. Mereka takut dengan maklumat ini tetapi saya sudah beritahu bahawa saya pada peringkat awalnya saya tidak bercadang menentang Dr. Mahathir di dalam pimipanan parti dan kerajaan. Mengharapkan bahawa beliau akan berhenti secara terhormat dan bila kita ambil alih kita akan betulkan dengan cara baik tanpa membawa imej yang jijik terhadap keburukan-keburukan beliau. Tetapi beliau telah tidak beri pilihan beliau menghina saya, menghina ulama, mempermainkan hukum agama kerana mereka anggap beliau menganggap maha kuasa dan dikelilingi oleh orang-orang yang tidak ada keberanian sama sekali untuk buat teguran terhadap beliau. Beliau hidup dalam dunia impian. Beliau hidup tidak jejak di bumi yang nyata. Beliau anggap beliau Perdana Menteri yang paling popular di dunia. Dan beliau juga anggap beliau telah dapat lakukan apa sahaja mengikut kehendak nafsu serakah beliau, dan beliau melakukan kesilapan besar kerana bertindak zalim dan doa orang yang dizalimi atau mazlu insyaAllah akan dikabuli oleh Allah s.w.t.

Kita telah berusaha menasihat sebagai anak kepada bapak. Saya tidak boleh nafikan memang saya ada kasih kepada Dr. Mahathir sebagai bapak, sakitnya, demamnya, penatnya saya ambil tahu, saya tidak jangka sama sekali dia akan bertindak zalim dan separuh gila dengan mengambil tindakan yang dilakukan kepada saya. Semata-mata kerana takut bahawa saya tahu terlalu banyak dan rahsia terlaku banyak mungkin didedahkan maka cara dan pilihannya ialah mematikan karier politik saya supaya saya tidak mampu bangun lagi. Umumnya diketahui oleh pimpinan dan rakyat sikap saya terhadap Bakun. Kita tidak sangat menentang projek itu kalau dikendalikan secara teratur dan bukan untuk menjaga kepentingan suku sakatnya. Bahkan dalam pembangunan Lapangan Terbang Sepang sendiripun terlalu banyak kepentingaan keluarga dan anaknya itu diberikan dan kita sedapat upaya cuba elakkan sehingga dia mula marah-marah Dalam kes Petronas dan MISC sekali pun yang melibatkan anaknya Mirzan Mahathir, kita nasihatkan supaya ikut peraturan. Saya dengan Petronas meminta supaya digunakan penilai antarabangsa kemudian kami dimarah kerana harganya difikir harus lebih tinggi, tetapi harganya melibatkan 2 billion duit Petronas wang rakyat jadi kita terpaksa ikut cara dan kaedah yang munasabah, tetapi beliau tidak puas hati. Begitu jugak dengan kemudahan dan pembangunan Putra Jaya kerana dia hidup dalam apa yang disebut "yang tertinggi, yang terhebat, yang terbesar, termasuklah istana rasmi beliau yang mahunya terindah dan terbesar di dunia. Ada yang mengatakan saya luluskan. Saya ingin menyebut saya tidak luluskan pembangunan rumahnya Itu dibuat melalui satu syarikat Putra Jaya Holding dan dengan cara sedemikian mereka dapat arahan secara langsung. Saya tidak menandatangani apa surat sekalipun meluluskan satu istana yang begitu besar bagi seorang Perdana Menteri yang mahu hidup dalam satu dunia impian dan khayal. Sebelum ini beliau mengecam raja-raja, membazir! beliau meminta dipinda undang-undang. Kita sokong, kita fikirkan undang-undang dipinda supaya dikembalikan kuasa rakyat, rupa-rupanya kuasa raja dikurangkan, diturunkan kadang-kadang dengan cara yang cukup hina dan mengaibkan. Tak perlu dibuat cara begitu tetapi yang berlaku ialah diambil kuasa raja diletakkan kepada kepala dia. Dan akhirnya dia menjadi Perdana Menteri dan Raja dan Dewa dan semuanya. Dan ini akhirnya memusuhi beliau sendiri dan merosakkan imejnya. Dan sebab itu juga, saya telah tidak meluluskan rumah rasmi Timbalan Perdana Menteri di Putra Jaya. Kerana projek pertama di sekitar 70 juta dikurangkan jadi 40 juta, dikurangkan lagi tetapi saya katakan pada Azizah susah kita nak luluskan sekarang dalam keadaan ekonomi begini tak apalah kita duduk di rumah yang lebih sederhana tetapi Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad tidak dengan cara begitu, impot semuanya dari Peranchis peralatan dalaman rumah yang terbaik di dunia, semuanya ‘first class’, yang paling baik dan indah. Patut kita istighfar dan kita sedar bahawa kita jua ada hadnya beliau bukan muda bagaimana mahu terus mengekalkan kuasa, menongkat langit dan dengan cara yang kejam dan zalim buat orang seperti ini gunakan instrumen polis seperti Gestapo memukul, mendera dengan cara yang cukup memalukan bahkan mahkamah bersidang cara satu sidang yang luar biasa sidang cepat dan cekap. Tidak mendengar langsung rayuan dan permintaan daripada pihak peguambela.

Yang kita dengar berulang kali rakyat mesti berkorban. Tapi apa pengorbanan kita yang memunggah kekayaan ratusan juta dan billion ringgit. Yang kita dengar berulang kali ialah "Negara Kita Tanggungjawab Kita". Makna rakyat mesti memikul tanggungjawab tetapi tanggungjawab mereka untuk melaksanakan keadilan perintahan mengikut hukum dan undang-undang sendiri tidak dapat ditunai dengan sebaiknya. Saya rasa juga berasa sedikit bersalah kerana cuba membawa perubahan sedapat mungkin sedaya upaya memujuk dan merayu, dan menunggu sekian lama dan untuk itu saya memohon maaf kerana walaupun saya basmikan kemiskinan, bangunkan rumah kos rendah, mempertahankan demokrasi dan masyarakat madani dan membawa imej Islam yang baik menghormati pandangan ulama, nampaknya saya diketepikan. Oleh kerana saya bertegas dan mahu mempertahankan prinsip ini, saya mahu dimalukan dan berulang kali akan dibangkitkan lagi tuduhan-tuduhan dan digunakan media untuk mengaibkan saya. Apa dosa saya? Dosa saya ialah kerana saya nak mempertahankan kebenaran, keadilan dan kepentingan rakyat.

Anwar Ibrahim

20 September 1998	

 

SILA CETAK DAN SEBARKAN KEPADA SEMUA RAKYAT KERANA ALLAH SWT. (Video tape penyampaian amanat ini boleh didapati dari mereka yang bertanggung-jawab)