Make your own free website on Tripod.com

Kenyataan akhbar Dato Nalla [Terjemahan: asal Bahasa Inggeris]

Saya telah mengarahkan peguam-peguam saya untuk mengedarkan kenyataan ini bagi pihak saya.

Saya telah berpeluang membaca afidavit-afidavit yang difailkan oleh pihak responden-responden dalam permohonan kepada Mahkamah supaya saya dipindahkan semula ke penjara Sg. Buluh. Permohonan saya itu telah ditolak dan saya telah mengarahkan peguam-peguam saya untuk merayu terhadap penolakan itu. Oleh kerana perkara ini masih subjudice [belum diputuskan] saya dinasihatkan bahawa saya tidak boleh membuat ulasan terhadap afidavit ACP Ramasamy, afivadit yang mana saya difahamkan adalah berkaitan dengan permohonan saya.

Berkenaan dengan afidavit SAC II Musa bin Hj Hassan yang diperbuat pada 2 September 1998 dan, khususnya merujuk ke perenggan-perenggan 9, 10, 11 & 12, saya boleh menyatakan dengan tegas seperti berikut:

Perenggan 9

Dakwaan-dakwaan yang tertera dalam perenggan ini semuanya palsu belaka. Saya tidak pernah diminta maupun membuat apa-apa kenyataan tentang perkara-perkara yang disebut. Penahanan saya di Bukit Aman, serta tidak dibenarkan berhubung dengan sesiapa menimbulkan keadaan yang boleh menimbulkan banyak khabar angin yang jahat dan palsu tentang apa yang kononnya saya telah ceritakan di Bukit Aman mengenai Dato Seri Anwar Ibrahim. Saya dimaklumkan oleh peguam-peguam saya bahawa khabar-khabar angin telah, dan masih berleluasa, kononnya saya telah membuat pelbagai kenyataan. Sebenarnya saya tidak membuat sebarang kenyataan. Tiada sebarang perkara yang hendak dinyatakan.

Adapun bentuk, kandungan dan cara soalsiasat polis yang dilakukan ke atas saya telah pun saya jelaskan dalam afidavit [kenyataan bersumpah] yang saya perbuat pada 24 August 1998. Sepanjang tahanan selama 36 hari itu, saya telah diminta membuat hanya satu kenyataan sahaja [berkenaan 125 butir peluru] dan ini saya lakukan pada 12 August 1998, dalam keadaan dan suasana seperti yang saya terangkan dalam afidavit saya itu.

Saya adalah Pengarah dalam empat buah syarikat dan Kumpulan syarikat berkenaan memiliki pelbagai hartanah di Kuala Lumpur dan sekitarnya. Fakta ini boleh dengan mudah disahkan dengan merujuk kepada rekod-rekod syarikat. Saya tidak pernah menggunakan mana-mana pangsapuri di Tivoli Villa and Impiana Court atau pun rumah banglo seperti yang didakwa dalam perenggan ini. Saya tidak pernah membawa Dato Seri Anwar Ibrahim ke tempat-tempat itu atau mengiringi beliau ke sana. Saya tidak pernah terlibat dalam sebarang salahlaku seksual seperti yang didakwa dalam perenggan tersebut.

Pemandu yang disebut dalam perenggan 9.3 tidak dikenalpasti orangnya. Salah seorang pemandu yang ditugaskan memandu saya telah dibuang kerja pada tahun 1996 setelah didapati pekerjaannya tidak memuaskan dan setelah berkali-kali diberi amaran. Dia telah ditawarkan pilihan samada untuk meletak jawatan atau dibuang kerja. Dia meninggalkan syarikat dengan perasaan marah dan benci terhadap saya. Kalau dialah pemandu yang dimaksudkan, maka saya tidak hairan kalau dia memilih untuk membuat tuduhan-tuduhan palsu seperti yang terdapat dalam perenggan kecil itu.

Perkara RM 60 juta yang disebut dalam perenggan 9.8 itu karut semata-mata. Saya tidak pernah memberi Dato Seri Anwar Ibrahim barang satu sen pun, apalagi RM60 juta. Saya tak pernah memiliki wang sebanyak itu.

Perenggan 10 & 11

Semua ini adalah tuduhan-tuduhan palsu yang tiada sebarang asas. Kehadiran saya (seperti ramai lagi tokoh-tokoh korporat) dalam rombongan-rombongan mengiringi Dato Seri Anwar Ibrahim adalah sebahagian dari tugas pekerjaan saya. Saya tidak pernah terlibat dalam apa-apa kegiatan, samada bersendirian atau dengan orang lain, yang memungkinkan Dato Seri Anwar Ibrahim dipergunakan oleh anasir-anasir asing bagi tujuan menggugat keselamatan atau sebarang kepentingan negara saya Malaysia.

Perenggan 12

1.    Perkara 12.1 - peluru-peluru Fiocchi Perkara ini subjudice dan saya dinasihatkan tidak membuat sebarang ulasan mengenainya. 2.   Perkara 12.2, 12.3 & 12.4 - revolver .38/ peluru-peluru dan 96 butir peluru 12 bore. Ini diperolehi secara berlesen dan sah menurut undang-undang. 3. Perkara 12.5 (a) (I), (ii), (iii), (iv) & (v) - surat-surat yang kononnya salinan asal 4. Perkara 12.6 - wang Ini hak saya.  

Dalam afidavit saya, saya telah juga merujuk kepada pernyataan-pernyataan yang disediakan oleh pihak polis yang mereka mahu saya menandatangani tetapi tidak pula ditunjukkan kepada saya. Jadi saya juga tertanya-tanya apa kandungan pernyataan-pertanyaan tersebut.

Suatu kezaliman telah dilakukan ke atas Dato Seri Anwar Ibrahim. Kerugian, kerosakan dan penderitaan yang telah diakibatkan ke atas seorang manusia yang baik dan tidak bersalah, keluarganya dan negara adalah besar. Fitnah yang ditimbulkan oleh afidavit Musa tentu menyebabkan kerosakan dan penderitaan yang tidak terhingga kepada ramai orang. Hanya Tuhan, Keadilan dan masa akan memperbetulkan semua ini. Saya mempunyai keyakinan pada ketiga-tiganya.

Saya hanya mampu melahirkan simpati terhadap Dato Seri Anwar dan keluarganya serta seluruh rakyat Malaysia di atas bencana yang telah menimpa mereka, dalam mana saya bukan dengan kehendak saya sendiri memainkan peranan kecil. Salah saya, kalau ianya boleh disifatkan sebagai kesalahan, ialah saya pernah main tenis dengan seorang manusia agung, sesuatu yang diketahui ramai tapi telah diputirbelit oleh segelintir.

Saya telah dan masih bersedia untuk membuat perakuan bersumpah tentang perkara-perkara yang kemukakan di sini.

(Tandatangan)

Dato Nallakarrupan a/l Solaimalai

7 September 1998