DALAM MAHKAMAH TINGGI MALAYA DI KUALA LUMPUR

(BAHAGIAN SIVIL)

GUAMAN SIVIL NO: S1-23-40 TAHUN 1998

 

ANTARA

 

ANWAR BIN IBRAHIM . . . PLAINTIF

DAN

  1. ABDUL KHALID @ KHALID JAFRI
  2. BIN BAKAR SHAH

  3. ROZIHAN BTE. A. GHANI
  4. Berniaga sebagai MEDIA PULAU LAGENDA . . . DEFENDAN-

    DEFENDAN

     

    PENGHAKIMAN

     

     

    Ini adalah permohonan oleh Plaintif untuk suatu injuksi interlokutori untuk menahan Defendan-Defendan sama ada secara sendirinya dan/atau melalui wakil mereka, ejen-ejen, pengkhidmat-pengkhidmat, dan/atau barangsiapa yang diberikuasa oleh mereka dan/atau dilantik untuk mewakili mereka dan/atau mana-mana orang lain daripada menulis, mengulangi, mencetak, menerbitkan dan/atau mengedarkan buku bertajuk "50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM" (ekshibit AI-1 lampiran (2)) atau mana-mana bahagian darinya dan/atau apa-apa perkataan yang terkandung di dalamnya sama ada secara sendiri atau bersama gambar-gambar dan/atau ‘caricatures’ yang muncul di dalamnya yang adalah fitnah tentang Plaintif sama ada di dalam maksudnya yang lazim dan biasa dan/atau secara innuendo sehingga selepas selesainya guaman ini (lampiran (21)). Pada masa yang sama, Defendan-Defendan memohon, antara lain, untuk mengetepikan injuksi interlokutori exparte bertarikh 23.6.98 (lampiran (24)). Kedua-dua permohonan didengar bersama.

    2. Sebelum perbicaraan bermula, saya telah dimaklumkan oleh wakil Pemegang Harta bahawa Defendan 1 ialah seorang yang bankrap yang belum dilepaskan ("undischarged bankrupt") dan oleh itu tertakluk kepada peruntukan-peruntukan seksyen 38(1)(a) Akta Kebankrapan 1967 yang menetapkan bahawa beliau (Defendan 1) perlu mendapatkan kebenaran Pemegang Harta sebelum meneruskan dengan permohonannya untuk mengetepikan injuksi interlokutori exparte berkenaan. Saya memutuskan bahawa beliau ada locus standi kerana beliau bukan membawa suatu tindakan tetapi sekadar menjawab permohonan Plaintif untuk injuksi.

  5. Sebelum ini pada 17.6.98, atas suatu sijil perakuan segera, Plaintif telah mendapatkan suatu injuksi interlokutori exparte daripada Mahkamah ini bagi lebih kurang tujuan yang sama seperti permohonan kini (lampiran (5)), yang telah diketepikan pada 23.6.98 akibat kesilapan di dalam ungkapan-ungkapan nama-nama Defendan-Defendan, khususnya nama Defendan 2, yang mana adalah substantif. Injuksi berkenaan tidak disampaikan ke Defendan-Defendan ketika itu. Pada hari yang sama, menerusi suatu permohonan baru (lampiran (13)), juga bersandarkan kepada suatu sijil perakuan segera, Plaintif telah memperolehi suatu injuksi interlokutori exparte juga bagi tujuan yang sama (lampiran (15)) yang mana Defendan-Defendan kini ingin mengetepikan. Memandangkan hakikat bahawa tempoh sahih injuksi interlokutori berkenaan hanyalah dua minggu dari tarikh ianya diberikan, pada 4.7.98, dengan persetujuan pihak-pihak, suatu injuksi interlokutori bagi tujuan yang sama telah diberikan kepada Plaintif.
  6. Plaintif ialah Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Timbalan Presiden UMNO dan seorang Ahli Parlimen. Defendan 1 ialah pengarang Buku tersebut dan Defendan 2 ialah penerbit berkenaan, dan mereka adalah suami-isteri.

5. Buku tersebut yang berkulit lembut mempunyai 360 halaman di dalam mana tercetaknya nama-nama penulis dan penerbit dan ianya berharga RM20.00. Ia mengandungi 32 bab di dalam mana terdapatnya gambar-gambar personaliti-personaliti dari dalam dan luar negara.

  1. Plaintif telah meminda dan memfailkan Pernyataan Tuntutan Terpinda (lampiran (30)) (kemudian daripada ini dirujuk sebagai ‘PTT’). Di dalam PTT, Plaintif memohon, antara lain, untuk relif-relif berikut –

    1. (i) gantirugi untuk fitnah;

(ii) gantirugi untuk tort konspirasi;

(iii) gantirugi "aggravated";

(b) injuksi tetap untuk untuk tujuan yang sama seperti yang dipohon di dalam permohonan kini.

 

  1. Amalan Mahkamah ini adalah untuk menyatakan sepenuhnya di dalam Penghakiman, pernyataan-pernyataan, ekspresi-ekspresi atau perkataan-perkataan fitnah yang dipersoalkan dan jenis fitnah yang didakwa. Tetapi, atas sebab yang akan saya nyatakan kemudian, saya menahan diri daripada mengungkapkan di dalam Penghakiman ini pernyataan-pernyataan, ekspresi-ekspresi atau perkataan-perkataan fitnah dan jenisnya. Rujukan-rujukan hanya dibuat kepada halaman-halaman, perenggan-perenggan dan baris-baris berkenaan di dalam Buku tersebut dan di dalam pliding-pliding dan afidavit-afidavit yang difailkan.
  2. Perkara-perkara pokok tuntutan Plaintif sepertimana yang dicerminkan di dalam PTT adalah berhubungkait dengan lapan keadaan yang dikatakan fitnah tentang Plaintif di dalam maksud lazim dan biasa dan/atau secara innuendo, yakni -

  1. Di halaman 76 Buku tersebut, dirujuk di dalam perenggan 4(a).
  2. Di halaman 81 Buku tersebut, dirujuk di dalam perenggan 4(b).
  3. Di halaman 91 Buku tersebut, dirujuk di dalam perenggan 4(c).
  4. Di halaman 27 Buku tersebut, dirujuk di dalam perenggan 4(d).
  5. Di halaman 48 Buku tersebut, dirujuk di dalam perenggan 4(e).
  6. Di halaman (yang dianggap halaman) 91 Buku tersebut, dirujuk di dalam perenggan 4(f).
  7. Di halaman 86 Buku tersebut, dirujuk di dalam perenggan 4(g).
  8. Di halaman-halaman 32-33 Buku tersebut, dirujuk di dalam perenggan 4(h).

Plaintif menegaskan bahawa alegasi-alegasi itu adalah palsu. Oleh itu, Plaintif mendakwa bahawa dengan penerbitan tersebut, Defendan-Defendan berniat untuk merendahkan dan menjatuhkan (maruah)nya dan mendedahkan Plaintif kepada kebencian, penghinaan dan kekejian umum dan di dalam melakukan demikian Plaintif telah dicemari dari segi reputasinya dan di dalam jawatan beliau, yang rasmi dan yang bersifat politik ("official and political"). Plaintif menyandarkan tuntutannya kepada dua kausa tindakan iaitu fitnah dan tort konspirasi.

  1. Defendan 1 dan Defendan 2 di dalam afidavit mereka mengakui telah, masing-masing, menulis dan menerbitkan Buku tersebut. Walau bagaimanapun, mereka menafikan yang alegasi-alegasi terhadap Plaintif adalah palsu dan fitnah tentang Plaintif, dan menegaskan bahawa alegasi-alegasi berkenaan adalah benar dan bahawa mereka akan bergantung kepada pembelaan justifikasi, ulasan saksama dan perlindungan bersyarat, yang mana adalah dihuraikan seperti berikut (lampiran-lampiran (23) dan (33))–
  2. Ber keadaan (1).

    Kebenaran alegasi tersebut terserlah di dalam apa yang kononnya kenyataan bersumpah orang yang terlibat, yang akan dipanggil sebagai saksi di perbicaraan penuh. Kenyataan itu termaktub di halaman-halaman 76 sehingga 78 Buku tersebut dan diekshibitkan sebagai ekshibit KJ-7 di dalam afidavit Defendan 1 (lampiran (33)).

    Ber keadaan (2).

    Ini boleh dijustifikasikan dari peristiwa-peristiwa yang berlaku selepas suatu laporan sulit telah dibuat kepada YAB Perdana Menteri oleh pembuat laporan berkenaan, sesalinan yang mana telahpun diberi kepada Defendan 1 dan dimuatkan di dalam Buku tersebut di halaman-halaman 53, 55 ke 57 dan 59 ke 74 dan diekshibitkan sebagai ekshibit KJ-6 di dalam afidavitnya (lampiran (33)). Polis semestinya mempunyai di dalam milikan mereka rekod berhubungan dengan tangkapan pembuat laporan sulit tersebut dan kenyataan-kenyataan pembuat berkenaan ketika dalam tahanan semasa penyiasatan polis, yang mana Mahkamah boleh membuat suatu perintah untuk penzahirnya bagi penelitian Plaintif untuk menentukan asas alegasi berkenaan. Dan selanjutnya, orang-orang yang ditangkap akan dipanggil untuk memberi keterangan di perbicaraan penuh.

    Ber keadaan (3).

    Kebenaran alegasi itu boleh dibuktikan menerusi pemeriksaan doktor terhadap Plaintif dan/atau orang-orang berkenaan yang terlibat. Dan selanjutnya, orang-orang berkenaan boleh dipanggil untuk memberi keterangan mengenai kebenaran alegasi tersebut di perbicaraan penuh.

    Ber keadaan-keadaan (4) dan (5).

    Alegasi itu boleh dibuktikan dari maklumat-maklumat yang diperolehi dari beberapa tokoh-tokoh politik dan dari keterangan bertulis yang berada di dalam milikan mereka yang telah didedahkan kepada Defendan 1 di peringkat penyelidikan penulisan Buku tersebut. Defendan 1 mengakujanji memanggil mereka dan akan menzahirkan dokumen-dokumen yang relevan di perbicaraan penuh.

    Ber keadaan (6).

    Defendan-Defendan bergantung kepada tegasan-tegasan di bawah keadaan (1).

    Ber keadaan (7).

    Kenyataan tersebut tidak bermaksud bahawa Plaintif telah terlibat di dalam kemalangan berkenaan. Kenyataan-kenyataan tersebut adalah benar dan merupakan asas laporan polis berhubungan dengan kemalangan yang berlaku pada 4.7.98 sepertimana yang dirujuk di dalam PTT.

    Ber keadaan (8).

    Peristiwa-peristiwa yang dirujuk itu adalah benar dan betul. Fakta-fakta berhubungkait sambutan-sambutan yang telah diberikan oleh Kerajaan Amerika Syarikat terhadap Plaintif dan tokoh-tokoh lain yang lebih penting boleh disahkan menerusi saksi dari Kerajaan AS yang akan dipanggil untuk memberi keterangan.

    Selanjutnya, Defendan 1 telah menyatakan bahawa beliau seorang penulis dan pemberita dengan pengalaman selama 30 tahun. Beliau telah menghasilkan dari semasa ke semasa beberapa artikel di dalam akhbar-akhbar tempatan, artikel dan risalah berbentuk kritikan akademik tulin yang menyentuh berbagai isu-isu kepentingan awam di Malaysia seperti isu-isu semasa berhubungan dengan jawatan awam dan kepentingan awam. Beberapa karyanya diekshibitkan sebagai ekshibit KJ-5 di dalam lampiran (23). Beliau mendakwa bahawa isu-isu yang dibangkitkan di dalam Buku tersebut adalah berhubungkait dengan tindak-tanduk Plaintif yang menyandang suatu jawatan awam yang tinggi dan juga ianya adalah di dalam kepentingan awam bahawa beliau, sebagai seorang penulis dan pemberita, memikul suatu tanggungjawab untuk memaklumkan kepada umum isu-isu tersebut tanpa gangguan, ketakutan dan/atau berat sebelah. Pada pendapat saya, butiran yang diberi oleh Defendan-Defendan memandangkan keadaan-keadaan yang telah dihuraikan di dalam (Pernyataan Pembelaan) adalah memadai bagi tujuan Aturan 78, kaedah 3(2) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980.

  3. Berdasarkan keterangan afidavit termasuk (keterangan) yang bertulis saya berpuas hati bahawa kenyataan-kenyataan, ekspresi-ekspresi dan perkataan-perkataan yang dipersoalkan merujuk kepada Plaintif dan di dalam maksud lazim dan biasa dan/atau secara innuendo mereka (kenyataan-kenyataan, ekspresi-ekspresi dan perkataan-perkataan yang dipersoalkan) menyampaikan maksud seperti yang didakwa oleh Plaintif. Isu sekarang ialah sama ada suatu injuksi interlokutori seperti yang dipohon sepatutnya diberikan?
  4. Adalah tidak dipertikaikan bahawa injuksi ialah suatu remedi berasaskan budi bicara dan budi bicara sama ada untuk memberi injuksi ataupun tidak, perlu dijalankan dengan penuh hemah kehakiman ("judiciously"), yakni, menurut prinsip-prinsip yang telah lama wujud. Di mana kuasa tindakan adalah fitnah, prinsip-prinsip berkenaan adalah berbeza daripada prinsip-prinsip di mana kuasa tindakan adalah tort konspirasi.

Berkenaan Fitnah

  1. Menurut amalan yang lama wujud, prinsip-prinsip dalam kes AMERICAN CYANAMID v ETHICON LTD (1975) AC 396 berkenaan injuksi interlokutori adalah tidak terpakai dalam tindakan untuk fitnah [lihat HERBAGE v PRESSDRAM (1984) 1 WLR 1160]. Peraturan lazim dalam hal ini adalah bahawa injuksi interlokutori tidak akan diberi terhadap seorang defendan dalam suatu tindakan fitnah jika dia berniat untuk memplid justifikasi, ulasan saksama atau perlindungan bersyarat kecuali jika Plaintif boleh membuktikan bahawa kenyataan itu adalah tidak benar atau pembelaan defendan tidak akan berjaya [lihat QUARTZ HILL CONSOLIDATED GOLD MINING v BEALL (1882) 20 Ch.D 501; BONNARD v PERRYMAN (1891) 2 Ch. 269; MONSON v TUSSAUDS LTD. (1894) 1 Q.B. 671; FRASER v EVANS & ORS (1969) 1 Q.B. 349 dan HARAKAS v BALTIC EXCHANGE (1982) 1 All ER 701]. Prinsip ini diikuti oleh apa yang ketika itu Mahkamah Agung di dalam THE NEW STRAITS TIMES PRESS (M) BHD. v AIRASIA BHD. (1987) 1 MLJ 36 di mana Abdul Hamid KHN menyatakan di mukasurat 39 –
  2. " Prinsip berkenaan telah jelas timbul oleh sebab hakikat bahawa soal adanya libel atau tidak adalah perkara-perkara untuk diputuskan berdasarkan fakta-fakta semasa perbicaraan dan terdapat juga soal tentang makna yang sebenarnya untuk diberi kepada perkataan-perkataan yang digunakan di dalam sesuatu kenyataan. Untuk menghalang seorang defendan sebelum soal-soal tersebut ditentukan adalah membelenggu pertuturan bebas. Sememangnya, adalah kerana kepentingan menentukan pertuturan bebas tidak terbelenggu yang Mahkamah mesti berhati-hati dalam mengeluarkan injuksi interim dalam suatu tindakan libel.

    Dalam menerimapakai prinsip-prinsip ini, Mahkamah mementingkan kebebasan pertuturan yang berkaitan dengan kebebasan kewartawanan bila mengimbangkannya terhadap reputasi seorang individu yang, jika disalahi ("if wronged), boleh dipampas secukupnya dengan gantirugi. Mahkamah harus bertindak dengan berhati-hati dalam memberi injuksi interim untuk menghalang penerbitan kenyataan yang dikatakan berunsur fitnah. Pada hakikatnya, ia tidak sepatutnya memberi injuksi di mana defendan berkenaan mengatakan bahawa ia akan menjustifikasinya semasa perbicaraan tindakan, kecuali di mana kenyataan itu adalah jelas tidak benar atau di mana plaintif telah memuaskan Mahkamah bahawa pembelaan akan gagal. Itu telah dinyatakan dengan jelas oleh Denning M.R. dalam Harakas v. Baltic Exchange."

  3. Soalan untuk pertimbangan saya sekarang adalah sama ada dalam Buku tersebut adalah jelas tidak benar atau sama ada Plaintif telah memuaskan Mahkamah bahawa pembelaan akan gagal. Beban adalah terletak pada Plaintif untuk memuaskan Mahkamah bahawa sekurang-kurangnya salah satu daripada pengecualian tersebut terpakai dalam kes ini. Untuk tujuan ini, butir-butir kenyataan Defendan-Defendan seperti yang terkandung di perenggan 9 di atas perlu diteliti dan dipertimbangkan terhadap apa yang dikatakan oleh Plaintif mengenai mereka kenyataan-kenyataan, ekspresi-ekspresi atau perkataan-perkataan yang dipersoalkan dalam afidavit-afidavitnya (Lampiran (28) dan (34)) yang mana adalah seperti berikut-

Ber keadaan (1)

Plaintif ada di dalam milikannya bukti bertulis bahawa pembuat apa yang dikatakan kenyataan bersumpah telah menafi membuatnya, yang akan dikemukakan semasa proses pemeriksaan dokumen.

Ber keadaan (2)

Plaintif ada di dalam milikannya bukti bertulis menafikan kebenaran kandungan laporan sulit, yang akan dikemukakan semasa proses pemeriksaan dokumen. Kenyataan-kenyataan dalam butiran adalah bersifat spekulasi sahaja.

Ber keadaan (3)

Kenyataan-kenyataan dalam butiran adalah bersifat spekulasi sahaja.

Ber keadaan (4) dan (5)

Pengataan-pengataan itu adalah kosong.

Ber keadaan (6)

Sama dengan keadaan (1).

Ber keadaan (7)

Plaintif mendakwa bahawa kenyataan melalui sindiran adalah fitnah tentangnya jika dibaca dalam konteks Buku tersebut secara keseluruhan.

Ber keadaan (8)

Pengataan-pengataan itu adalah kosong.

Berkenaan pembelaan ulasan saksama Plaintif mengatakan bahawa ia ditewaskan oleh niat jahat seperti yang dinyatakan dalam perenggan 17 lampiran (28), yang mana dengan ringkasnya adalah –

  1. jelas terdapat konspirasi untuk memusnahkan kerjaya politik Plaintif,
  2. Defendan 1 dan Khairuddin Abu Hassan (selepas ini dirujuk sebagai ‘En KH’) telah memungkiri secara terbuka perintah injuksi yang diberi pada 23.6.98 dengan membuat kenyataan-kenyataan akhbar mengenai Buku tersebut dan mengulangi jenis beberapa dari fitnah yang didakwa, pada 26.6.98 dan 29.6.98 masing-masing,
  3. kewujudan versi kedua Buku tersebut yang tidak mempunyai nama dan alamat penerbit dan harganya. Ini adalah bukti jelas bahawa (i) Defendan-Defendan cuba mengelak proses Mahkamah mengenai injuksi-injuksi interlokutori bertarikh 17.6.98 dan 23.6.98 dan (ii) Buku tersebut atau sekurang-kurangnya versi kedua Buku tersebut tidak diterbitkan untuk tujuan komersil tetapi adalah sebahagian daripada konspirasi yang dikatakan di perenggan (a) di atas.

Dalam pematahan ("rebuttal") kenyataan Plaintif di bawah keadaan (1) dan (2), Defendan-Defendan mengatakan bahawa bukti-bukti bertulis yang dikatakan itu diperolehi secara paksaan dari orang-orang yang berkenaan seperti yang dihuraikan dengan terperinci dalam Buku tersebut di halaman-halaman 66 hingga 68, 76 hingga 78 dan 80 hingga 87 yang dinafikan oleh Plaintif. Pada pendapat saya, secara tersirat Defendan-Defendan mengakui kewujudan bukti-bukti bertulis tersebut.

  1. Setelah memeriksa dan mempertimbangkan pengataan masing-masing, bagi tujuan memutuskan sama ada injuksi interlokutori harus diberi saya berpuas hati atas imbangan kebarangkalian bahawa kenyataan-kenyataan, ekspresi-ekspresi atau perkataan-perkataan yang dirujuk dalam 8 keadaan-keadaan itu adalah jelas tidak benar kerana (i) pembuat pengakuan bersumpah telah menafikan membuatnya dan kebenaran kandungan laporan sulit telah dinafikan dan seterusnya tidak terdapat bukti langsung bahawa penafian itu diperolehi secara paksa seperti yang dikatakan oleh Defendan-Defendan, dan (ii) pengataan-pengataan itu adalah kosong dan bersifat spekulasi. Oleh itu, saya tidak perlu mempertimbangkan niat jahat pada pihak Defendan-Defendan seperti yang dihujahkan oleh Plaintif.

Berkenaan tort konspirasi

    1. Di dalam kes Gulf Oil (GP) Ltd v. Page and Others (1987) 3 All ER 14 telah diputuskan bahawa prinsip bahawa injuksi interlokutori tidak akan diberikan untuk menghalang penerbitan bahan-bahan fitnah di mana Defendan ingin memplidkan justifikasi tidak terpakai apabila bahan fitnah tersebut diterbitkan berasaskan suatu konspirasi di mana tujuan utamanya ialah untuk merosakkan Plaintif. Di dalam kes sedemikian, Mahkamah harus mengambil kira prinsip-prinsip yang sama sepertimana kes-kes tort yang lain, iaitu, prinsip-prinsip di dalam kes the AMERICAN CYANAMID, di dalam mana soalan-soalan sama ada isu-isu untuk dibicarakan telah ditunjukkan, sama ada kerosakan yang mungkin dialami tidak boleh dibaik pulih atau dipampas dengan gantirugi dan imbangan kesenangan harus diputuskan. Jelas bahawa Hakim yang mendengar mana-mana permohonan untuk injuksi interlokutori harus :-

    1. mengambil kira sama ada keseluruhan fakta-fakta yang dikemukakan menimbulkan suatu isu yang serius dan bona fide untuk diperbicarakan. Beliau mesti menahan diri daripada memutuskan merit-merit tuntutan atau pembelaan dan mesti mengenal pasti isu-isu yang ditimbulkan dan memutuskan sama ada isu-isu tersebut adalah serius dan harus diperbicarakan. Jika beliau memutuskan bahawa tidak ada langsung isu serius untuk diperbicarakan, relif yang dipohon sepatutnya ditolak. Sekiranya beliau mendapati bahawa terdapatnya persoalan-persoalan yang serius untuk diperbicarakan, beliau harus mengambil langkah yang berikutnya;
    2. setelah mendapati terdapatnya suatu isu yang berkehendakkan siasatan lanjut, beliau mestilah mengambil kira pada siapakah keadilan berpihak. Beliau mesti mengambil kira semua perkara-perkara yang relevan, termasuk realiti praktis kes di hadapannya serta membandingkan kerosakan yang boleh diakibatkan oleh sesuatu injuksi dengan kerosakan yang mungkin timbul akibat dari penolakannya; dan
    3. Hakim tersebut mesti mengambil kira bahawa relif yang dipohon adalah suatu relif yang berdasarkan budi bicara, yang bertujuan untuk mewujudkan suatu keputusan yang adil bagi jangka masa di antara tarikh permohonan dan perbicaraan penuh dan juga untuk mengekalkan status quo. Ianya merupakan suatu budi bicara kehakiman yang boleh diperbetulkan semasa rayuan. Seseorang Hakim harus menyenaraikan secara ringkas di dalam penghakimannya faktor-faktor yang diambil kira dalam mencapai keputusannya itu. [lihat KEET GERALD FRANCIS NOEL JOHN v. MOHD NOOR BIN ABDULLAH & ORS (1995) 1 MLJ 193; GOH JOON HAI & ORS v. THE MALAYSIAN ASSOCIATION OF CERTIFIED PUBLIC ACCOUNTANTS (1997) 2 CLJ 495].

    1. Di bawah tajuk ini, saya berpuas hati dari keterangan melalui Afidavit dan termasuk keterangan bertulis bahawa :-

    1. Buku tersebut telah ditulis di dalam bentuk suatu surat layang panjang yang disusun menjadi suatu buku dengan objektifnya sepertimana tertera di dalam tajuk Buku tersebut dan kandungannya jelas mendedahkan objektif tersebut. Kandungannya bukan sekadar bertujuan membunuh keperibadian Plaintif tetapi juga cenderung ke arah memperlaga-lagakan Plaintif dengan YAB Perdana Menteri dengan tujuan untuk mewujudkan jurang bukan sahaja di antara mereka tetapi juga di antara Plaintif dan pemimpin-pemimpin kanan kerajaan dan UMNO termasuk juga "pihak veteran". Atas alasan ini, saya bersetuju dengan Dr Cyrus Das, peguam kanan Plaintif, bahawa buku tersebut tidak langsung mempunyai nilai kesusasteraan.
    2. 15,000 naskah buku tersebut diketahui telah dicetak dan dari jumlah tersebut 2,000 naskah telah diedarkan kepada para perwakilan di Perhimpunan Agong UMNO yang lalu. Juga dalam edaran di kalangan umum adalah suatu versi kedua Buku tersebut iaitu di dalam bentuk fotostat dengan kandungan yang sama kecuali bahawa nama dan alamat penerbit dan harga Buku tersebut tidak tertera di dalamnya. Walaupun tidak ada bukti kukuh bahawa Defendan-Defendan bertanggung jawab di dalam penyediaan dan pengedaran versi kedua tersebut, memandangkan kandungannya adalah sama dan melihat kepada kesungguhan Defendan-Defendan dan ejen-ejen mereka untuk mengedarkan buku tersebut terutamanya di kalangan para perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agong itu, biar untuk bayaran atau pun secara percuma, sepertimana yang jelas dari tingkah laku dan kenyataan-kenyataan akhbar mereka yang diekshibitkan, yang mana telah dibuat juga selepas injuksi interlokutori ex-parte diberikan, Mahkamah tidak dapat mengelak dari menyimpulkan bahawa Defendan-Defendan sama ada secara sendiri dan/atau melalui ejen-ejen mereka terlibat di dalam pengedarannya. Seterusnya, penjelasan Defendan Pertama, bahawa beliau tidak sedar akan wujudnya injuksi interlokutori ex-parte tersebut atas alasan bahawa beliau kononnya bersembunyi untuk keselamatan dirinya tidak dapat diterima kerana hakikat penganugerahan injuksi tersebut telah diterbitkan di dalam hampir kesemua akhbar harian sebaik sahaja ia dibuat oleh Mahkamah ini dan adalah amat sukar untuk mempercayai bahawa beliau, sebagai seorang penulis dan wartawan, tidak langsung berminat untuk membaca sekurang-kurangnya satu daripada akhbar-akhbar tersebut berkenaan dengan Buku yang ditulisnya.
    3. Tambahan lagi, hakikat bahawa versi kedua tersebut tidak memaparkan harga jelas menunjukkan bahawa Buku tersebut tidak dikeluarkan untuk dengan keuntungan komersil sebagai matlamat tunggalnya. Ini diperkukuhkan oleh hakikat bahawa peguam Defendan tidak berhujah langsung mengenai isu kerosakan gantirugi kepada Defendan yang timbul akibat daripada penganugerahan injuksi interlokutori ex-parte, walaupun isu ini telah ditimbulkan di dalam permohonannya untuk mengetepikan injuksi interlokutori ex-parte tersebut.

    4. Encik KH hendaklah dianggap bukan sahaja sebagai salah seorang ejen Defendan-Defendan tetapi juga suatu pihak di dalam keseluruhan komplot itu. Walaupun Encik KH menafikan sebarang kaitan dengan Defendan-Defendan dalam afidavitnya, pada pandangan saya, dia adalah terbabit melalui tingkah lakunya dan kenyataan-kenyataan yang dibuat sebelum dan selepas pendengaran permohonan-permohonan telah dimulakan, sebagai yang dicerminkan dalam kenyataan akhbar dan laporan-laporan akhbar seperti diekshibitkan, terutamanya, dia membiayai penghasilan Buku itu termasuk penyusunan, pencetakan dan pengedarannya. Pandangan saya dikukuhkan lagi oleh hakikat bahawa Defendan-Defendan tidak pernah menafikan kenyataan-kenyataan Encik KH yang relevan.
    5. Menurut akal bukanlah tugas yang mudah untuk mengedarkan 2,000 nashkah buku itu kepada wakil-wakil UMNO di sebalik tabir walaupun terdapatnya injuksi interlokutori ex-parte bertarikh 17.6.98 tanpa mendapatkan pertolongan ejen-ejen atau orang lain.
    6. Tempat, masa, skala dan cara penerbitan dan pengedaran adalah penting untuk menentukan sama ada tujuan unggul atau paling menonjol konspirasi dan penerbitan Buku itu adalah untuk mencemarkan Plaintif.

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada fakta-fakta yang didapati, adalah keputusan saya secara mendalam bahawa Plaintif telah menunjukkan isu-isu serius utnuk dibicarakan, terutamanya sama ada tujuan unggul atau paling menonjol gabungan atau konspirasi itu dan penerbitan Buku itu adalah untuk mencemarkan Plaintif. Telah diputuskan dalam kes GULF OIL LTD., di muka surat 18 para h ke i, iaitu :-

" Adalah benar bahawa tiada kesalahan dilakukan jika apa yang diterbitkan adalah benar selagi ia tidak diterbitkan lanjutan daripada suatu gabungan, dan jika pun ianya (diterbitkan lanjutan daripada suatu gabungan), masih tidak terdapat satu kesalahan kecuali jika tujuan unggul atau paling menonjol gabungan itu dan penerbitan adalah untuk mencemarkan Plaintif. Tetapi jika, terdapat kedua-dua gabungan dan tujuan unggul dan menonjol untuk mencederakan, terdapat satu kesalahan yang dilakukan. Jika seorang Plaintif menuntut dalam konspirasi, terdapat potensi adanya suatu kesalahan walaupun jika diakui, sebagaimana dalam kes ini, bahawa penerbitan itu adalah benar dan oleh itu tidak ada soal suatu tindakan dalam fitnah. Dalam kes seperti itu, Mahkamah boleh, dan di dalam pandangan saya sepatutnya meneruskan berdasarkan prinsip-prinsip seperti dalam kes-kes tort yang lain."

    1. Mengenai kecederaan yang akan Plaintif alami jika injuksi interlokutori ini tidak diberi, pandangan saya ialah, mengambil kira jenis dan keseriusan kenyataan-kenyataan, ekspresi-ekspresi atau perkataan-perkataan fitnah yang dikatakan dan jawatan tinggi yang disandang oleh Plaintif dalam Kerajaan dan parti politik, kecederaan yang dijangka tidaklah dapat dipulihkan dan tidak boleh dipampas dengan gantirugi dalam bentuk wang. Sudah tentu, Defendan Pertama, kini seorang bankrap, tidak berada di dalam kedudukan untuk membayar gantirugi sebagai alternatif.
    2. Sekarang, tiba masanya untuk pertimbangan imbangan kesenangan untuk tujuan mengekalkan status quo. Pada pendapat saya, kepentingan awam adalah relevan dalam kes ini sebab ia perlu diambil kira bila mempertimbangkan keimbangan kesenangan mengenai isu ini. Dalam isu ini, hujah Encik Mohd Haniff, peguamcara bagi Defendan-Defendan berbeza dan dia menghujah dengan panjang mengenai seksyen 7, Akta Mencetak Dan Penerbitan, 1984, dan kuasa-kuasa Peguam Negara sebagai Pendakwa Raya untuk mendakwa termasuk nas-nas dalam dan luar negeri untuk menyokong hujahnya. Dengan penuh hormat, beliau gagal membezakan "the wood from the trees" kerana undang-undang dan kes-kes yang dirujuk adalah hanya relevan kepada isu-isu sama ada terdapat kausa tindakan dan siapa yang mempunyai kuasa untuk mendakwa. Peguam bagi Plaintif dalam jawapannya, menyentuh seksyen 3 (1) Akta Asutan, 1948 dan seksyen 499 Kanun Keseksaan (fitnah). Walau bagaimanapun perkara-perkara ini bukanlah untuk keputusan saya tetapi untuk pihak lain iaitu Peguam Negara dan forum lain iaitu Mahkamah Jenayah. Walau bagaimanapun, saya berpendapat bahawa Mahkamah tidak boleh mati rasa terhadap keadaan sekitarnya jika keadilan yang benar dan bermakna ingin dicapai. Ia mesti, di dalam batasan undang-undang, melengkapi hasrat negara yang berada di dalam alam kepentingan awam dan mengetepikan apa-apa yang menghalangnya. Pada pendapat saya, keadaan-keadaan fitnah yang dikatakan melibatkan bukan sahaja Plaintif tetapi lebih dari itu, terutamanya keadaan-keadaan (2) dan (8), yang mempunyai kecenderungan bukan sahaja untuk menimbulkan perselisihan di antara YAB Perdana Menteri dan Timbalannya tetapi juga menjejaskan keyakinan awam terhadap polis, terutamanya dalam penyiasatan jenayah dan melibatkan hubungan antarabangsa terutamanya dengan kerajaan Amerika Syarikat, dan keadaan (6) di mana kerana perkataan-perkataan dalam sepandok itu dengan salahnya digantikan dengan ekspresi yang boleh dipersoalkan dan bahawa orang-orang yang memegang sepandok itu kebanyakan orang Melayu, ianya mempunyai kecenderungan untuk merosakkan imej negara di mana Islam adalah agama rasmi dan imej bangsa Melayu. Kecenderungan tersebut sememangnya wujud dan sudah tentu tidaklah sesuai memandangkan keadaan ekonomi yang sedang dihadapi negara masa kini di tengah-tengah usaha-usaha yang diambil oleh Kerajaan untuk memulihkan ekonomi. Kecenderungan itu adalah berhubungkait dengan kepentingan awam. Ini adalah sebab utama mengapa saya menahan diri daripada mengungkapkan kenyataan-kenyataan, ekspresi-ekspresi dan perkataan-perkataan yang dikatakan fitnah dan jenis mereka di dalam Penghakiman sebagaimana yang saya biasa buat. Pada saya, kepentingan-kepentingan awam ini mengatasi kepentingan awam berhubung dengan kebebasan pertuturan, terutamanya kebebasan kewartawanan. Adalah tidak dipertikaikan bahawa kebebasan kewartawanan bukanlah tanpa batasan dan dikuasai oleh sekatan-sekatan yang diperuntukkan di dalam Perkara 10 Perlembagaan, terutama mengenai fitnah. Oleh itu, wartawan tidak menikmati sebarang kedudukan khas atau istimewa dalam kerja-kerja mereka tetapi adalah tertakluk kepada undang-undang negara seperti orang-orang biasa. Ringkasnya, kebebasan kewartawanan berakhir di mana kuasa undang-undang bermula.

  1. Memandangkan kepada yang tersebut di atas, saya memutuskan imbangan kesenangan terletak menyebelahi Plaintif dan Defendan-Defendan boleh dipampas dengan secukupnya oleh gantirugi sekiranya mereka mengalami kerugian akibat daripada penganugerahan injuksi interlokutori dan Plaintif adalah dalam kedudukan untuk membayar.
  2. Oleh yang demikian, perintah seperti yang dipohon dalam permohonan (Plaintif) adalah di sini dibuat dan oleh kerana penglibatan aktif Encik KH dalam penghasilan dan pengedaran Buku tersebut, dia hendaklah dinamakan di dalam perintah berkenaan, walaupun dia bukanlah suatu pihak kepada prosiding ini. Permohonan oleh Defendan-Defendan untuk mengetepikan injuksi interlokutori ex-parte adalah ditolak dengan kos. Injuksi interlokutori yang diberi pada 4.7.98 adalah dengan ini dibatalkan.

 

Bertarikh 31hb. Julai, 1998, di Kuala Lumpur.

 

t.t.

(DATUK WIRA HJ. MOHD NOOR BIN HJ. AHMAD)

Hakim

Mahkamah Tinggi Malaya

 

 

 

PEGUAM

Dr. Cyrus Das, En. Mohd Faiz Abdullah,

En. Sulaiman Azmil, En. Clement Lopez dan

Puan Leela Jesuthasan bagi Plaintif.

Tetuan Faiz & Co.

 

En. Mohd Haniff Khatri Abdulla,

En. Joseph Jones Fernandez dan

En. Rudeen Chua for the Defendants.

Tetuan Haniff & Rajendran.

 

 

 

 

Judgment dated 31 July 1998

d. translation/sa