Make your own free website on Tripod.com

Amanat Anwar Ibrahim sejurus sebelum beliau ditangkap di rumah beliau, 20 September 1998

Assalamualaikum wr wb dan Salam Sejahtera,

Saya menjangkakan dalam masa yang singkat, kemungkinan saya ditahan, dalam apa juga cara, samada Akta Keselamatan Dalam Negeri atau dituduh ke mahkamah tanpa memungkinkan saya diberi ikat jamin.

Dan saya tidak menolak sebarang kemungkinan memandangkan cara gelisah kezaliman di bawah pimpinan Datok Seri Dr Mahathir Mohamad sekarang. Oleh yang demikian, izinkan saya untuk membuat sedikit pesanan kepada anak-anak saya dan pada rakyat Malaysia umumnya.

Kepada anak-anak, papa seorang pejuang, menegak yang hak, membela nasib rakyat miskin, mempertahankan maruah bangsa, meningkatkan syiar agama Islam. Papa masuk dalam pelbagai gelanggang sehingga dalam parti dan kerajaan, sehingga menduduki tempat yang cukup tinggi tetapi papa tidak pernah luntur semangat papa untuk pertahankan keadilan dan membela nasib rakyat. Dan tentunya menegakkan kebenaran menimbulkan banyak rasa cemas dan kegelisahan dari banyak kalangan yang telah menyediakan satu komplot konspirasi peringkat tertinggi yang melibatkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad sendiri. Jadi anak-anak harus tahu semua tuduhan yang dilemparkan kepada papa adalah fitnah jahat, khianat, dan kasih papa pada anak-anak, mendidik supaya menjadi orang-orang yang berilmu, beramal, bertaqwa. Papa harap dengan bimbingan mama, anak-anak tidak sedikit pun luntur, biar semangat kukuh, biar ilmu bertambah, biar daya juang ada, biar kita tahu anak-anak berasal dari kampung papa, di Sungai Bakap dan di Ceruk Tok Kun, dan asas kita jangan sedikitpun kita lupakan.

Jadi, ingatlah pesanan papa kerana kemungkinan yang perkara buruk berlaku tidak boleh papa ketepikan. Aaa, papa mungkin ditahan, dan kalau lihat kepada apa yang berlaku pada Uncle Sukma dan Uncle Munawar, ada kemungkinan dipaksa, diugut, dipukul. Papa tidak gementar dengan itu semua. Papa telah lalui dan Insyaallah papa boleh bertahan. Tetapi papa harus ingatkan anak-anak kemungkinan papa dikenakan atau disuntik dengan aaa…mungkin… dadah, atau jenis-jenis dadah yang boleh melupakan papa, ataupun menyebabkan papa jadi nanar, atau tidak menentu dalam percakapan. Sebab itu papa mengambil pilihan untuk menyatakan kebenaran papa bahkan bila ada tuduhan yang pertama, yang nampak khusus, yang melibatkan Uncle Munawar dengan Uncle Sukma, semalam, papa melafazkan sumpah, Wallahi, di Batu Pahat, untuk menyatakan tuduhan

yang dilemparkan bersabit dengan perlakuan buruk dan keji itu adalah fitnah jahat yang malangnya dibuat oleh orang yang terlalu takut kepada kekuatan dan pengaruh papa. Dan Insyaallah perjuangan reformasi menegakkan ma’ruf, kebenaran, dan undang-undang tidak akan luntur.

Saudara saudari yang saya muliakan, dari awal saya tegaskan sebenarnya ada konspirasi politik peringkat tertinggi. Memang saya enggan untuk melibatkan nama Datok Seri Dr Mahathir Mohamad kerana mengharapkan beliau ada pertimbangan yang munasabah, rasional dan ada belas kasihan. Tetapi nyata, ini semua hilang kerana beliau tamakkan kuasa dan harta dan mahu saki-baki umur dan pemerintahan yang akhir digunakan sepenuhnya untuk memperkukuh kepentingan keluarga dan kepentingan kelompoknya. Memang benar Datok Seri Dr Mahathir Mohamad pernah menyokong saya dan saya juga menyokong beliau dengan kuat. Kerana pada masa itu saya masih yakin akan prinsip perjuangannya walaupun saya akui manusia tidak sempurna. Tetapi lambat laun, dengan nasihat kepala-kepala komplot lain, termasuk Tun Daim Zainuddin, nyata mereka tidak yakin bahawa saya boleh diharapkan untuk mempertahankan kepentingan mereka. Saya tidak boleh diharapkan untuk mengiyakan cara mereka membolot kekayaan dan menipu dengan ganas memunggah kekayaan untuk kepentingan beberapa komplot. Mereka tidak yakin saya dapat mempertahankan kepentingan mereka dan suku-sakat dan keluarga mereka. Itulah sebabnya mereka melancarkan satu komplot yang cukup jahat terhadap saya.

Dan konspirasi ini dirancang tentunya pada peringkat awal untuk menggunakan kes jenayah seks. Baik seks zina ataupun liwat, homoseksual. Kerana mereka tahu untuk kaitkan dengan rasuah, walaupun dikaitkan kemudian, sukar. Mereka boleh semak tetapi mereka tahu kekayaan dan pendapatan saya terlalu kecil sebagai seorang bekas menteri kewangan 6 tahun, dibandingkan dengan orang-orang seperti Dr Mahathir dan orang-orang di sekeliling beliau yang bukan sahaja kaya raya, mempunyai billion ringgit, dan mempunyai akaun dalam negara dan luar negara, dan ini menjadi pengetahuan umum. Untuk dikaitkan dengan pengkhianatan kepada negara, walaupun mereka usahakan tetapi susah melekat kerana rakyat tahu pengorbanan dan sikap saya. Begitu juga dengan beberapa kes lain yang masih juga dirangka dan direka setelah saya dipecat. Tetapi untuk

dikaitkan dengan kes jenayah seks, ini akan menimbulkan kecurigaan kepada rakyat. Saya telah bertanya kepada Datok Seri Dr Mahathir, apakah benar saudara ini memang sungguh-sungguh berat menjaga kepentingan moral pimpinan? Orang semua tahu bahawa Dr Mahathir tidak pernah mengambil kira moral pimpinan, baik arak, baik zina, baik judi. Orang juga tahu perilaku mereka dalam dan luar negara. Kadang-kadang beliau menasihatkan janganlah buat dalam negara, kalau-kalau diketahui. Kalau perlu buat juga, buatlah di luar negara. Jadi nasihat ini memang umum diketahui oleh semua. Jadi, adalah

munafik kalau beliau mengatakan di peringkat ini, pertimbangan moral dan akhlak itu penting bagi beliau. Bahkan, dengan, pendedahan Marina Yusuf terhadap perilaku seks dan juga teman-teman wanita Perdana Menteri dan beberapa rakan dalam kabinet, ini walaupun dipadamkan oleh media tempatan tetapi cukup menggemparkan kalau ada alasan yang dibuat oleh Datok Seri Dr Mahathir Mohamad bahawa yang dilakukan terhadap saya itu ialah kerana berita yang beliau perolehi. Saya ingin menjelaskan bahawa berita yang di dedahkan oleh Marina sudah cukup meminta beliau meletakkan jawatan dengan kadar segera.

Dalang konspirasi ini tentulah ada di kalangan pimpinan politik dan juga peniaga-peniaga kerana mereka takut bila saya mengambil alih kuasa, kedudukan mereka, jenayah mereka, rasuah mereka, tidak mungkin terjamin. Sebab itu dalam surat saya kepada Perdana Menteri merayu pertimbangan beliau supaya jangan melakukan kezaliman, saya menyebut badan pencegah rasuah dikaitkan seolah-olah saya telah mengarah BPR untuk menyiasat Unit Perancang Ekonomi yang melibatkan Ketua Pengarah EPU dan memang ada siasatan dan memang ada bukti penangkapan termasuk wang tunai yang diperolehi. Tetapi kes itu ditutup dan saya pula dikaitkan, seolah-olah mengarahkan siasatan terhadap Ketua Polis Negara, terhadap Peguam Negara dan terhadap Ketua Hakim Negara.

Semua ini sekadar untuk mendapatkan dukungan dan sentimen mereka bersama Dr Mahathir bila ada kerangka konspirasi secara menyeluruh terhadap saya. Jadi, sebab itu saya telah bersetuju, berbincang dengan teman-teman untuk melancarkan agenda reformasi atau Islah. Kerana saya tidak dapat lihat kemungkinan kita membuat penyesuaian bila keganasan seperti ini berlaku. Dalam kes yang dihadapkan terhadap saya, pecah isu yang melibatkan pernyataan bekas pemandu Azizah yang bernama Azizan, dan juga adik kepada Azmin Mohamad Ali, Ummi Hafilda. Mereka ada pengakuan bersumpah, Ummi Hafilda ada kenyataan dalam tape yang menuduh orang-orang tertentu membayar dengan harga yang cukup tinggi kepada pengarang buku 50 Dalil dan kemudian buku itu diedar secara

meluas, hakim yang terlibat dipindahkan, yang tidak boleh tidak merupakan satu konspirasi yang disahkan di peringkat tertinggi dalam kerajaan.

Kemudian kes itu terhenti begitu sahaja. Bila saya dipecat, rupa-rupanya kes tuduhan yang lama tidak boleh dipakai. Setelah saya dipecat, barulah penangkapan-penangkapan baru dibuat. Penangkapan dibuat terhadap Sukma, Dr Munawar, Azmin, Mohamad dan beberapa orang lain sebelum ini yang ditangkap diugut dan mereka keluar samada mendiamkan diri, atau pun membuat kenyataan-kenyataan palsu menentang saya. Saya tahu keupayaan polis, kalau polis itu stylenya, style Gestapo, kalau beberapa pegawai polis

style nya itu style pegawai-pegawai polis Apartheid dan juga ala Mossad Israel. Tapi saya ingin mengingatkan mereka tahun ini, bulan ini rasa boleh selamat, bulan depan belum tentu kerana rakyat akan menuntut Suruhanjaya. Mandela menunggu puluhan tahun sebelum kebenaran muncul dan siasatan terhadap orang-orang yang terlibat itu diteruskan. Keadilan tidak boleh ditolak ansur. Keadilan mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin. Kezaliman tidak boleh dibiarkan berlalu. Jadi saya harap, oleh yang demikian, polis menjalankan tugas dengan professional. Dalam kes Sukma, ditahan 13 hari, ibu bapa tidak boleh berjumpa, keluarga dari Indonesia tidak boleh bertemu, peguam yang kita lantik, tidak boleh ditemui. Akhirnya polis memaksa, mengugut dan kemungkinan mengenakan dadah dan meminta beliau mengaku dan melantik peguam sendiri. Seluruh masyarakat guaman tahu betapa jijik cara yang sedemikian. Sudahlah orang itu dipaksa, dan dipaksa mengaku, kemudian dilantik peguam terdiri dari bekas pegawai polis, dilantik oleh polis untuk mempertahankan Sukma. Dalam tempoh setengah jam kes itu diselesaikan di mahkamah. Tidak ada bantahan, keluarga saya datang lambat kerana kita tidak tahu, peguam datang lambat kerana tidak diberitahu, kemudian dalam setengah jam, dikenakan denda 6 bulan penjara dan mahkamah bilik 4, dan mahkamah bilik 1, kes Dr Munawar, nampaknya mengambil tindakan sama, dengan cepat dan pantas, hukuman pun sama. Ini suatu yang luar biasa, nak menunjukkan, membuktikan ada arahan di peringkat tertinggi, ada konspirasi politik yang telah berlaku. Sehingga selesai kes, bapak saya yang merayu nak menemui Sukma sampai akhir tidak dibenarkan. Sukma tidak sanggup sehingga memanggung kepala melihat anggota keluarga kerana takut kepada ugutan polis. Kezaliman ini, kezaliman terhadap rakyat. Ini satu contoh, tetapi contoh ini membuka mata rakyat. Saudara-saudara harus bersyukur kerana walaupun saya dizalimi, saya dianiayai, saya diaibkan, dan dimalukan, ini kesempatan yang penting yang pertama dalam sejarah moden kita. Di mana rakyat dengan sendirinya diberikan pendedahan dan pengajaran. Dan oleh yang demikian saya katakan tidak ada pilihan melainkan reformasi.

Undang-undang mesti dihormati. Prinsip keadilan mesti dimuliakan. Hak asasi manusia jangan dipijak. Sistem diktator dan kuku besi, merampas kekayaan rakyat, mesti diberhentikan. Ekonomi kita di Malaysia yang tercinta ini cukup jenuh, cukup untuk semua. Tetapi janganlah diminta supaya dibolot untuk kepentingan dua tiga kerat manusia yang rakus dan tamak haloba. Walaupun menyampaikan maklumat kepada orang ramai seolah-olah merekalah pejuang yang tulin .

Kemudian soal undang-undang, soal agama jangan diremehkan. Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum dan pelbagai agama. Tetapi prinsip keadilan mesti dijaga. Jangan harap kita gunakan media seperti yang dilakukan di Malaysia sekarang, baik media cetak dan media elektronik untuk memperbodohkan rakyat. Saya hadir bersama Azizah untuk melahirkan simpati kepada Lim Guan Eng yang di penjarakan selama 18 bulan, semata-mata kerana nak pertahankan maruah anak muda Melayu dan neneknya. Dan untuk itu saya dikecam hebat seolah-olah saya bersekongkol dengan parti Cina dan DAP. Saya katakan soal Lim Guan Eng bukan soal Cina, bukan soal DAP, soal keadilan. Walaupun media cuba mempermainkan supaya ahli-ahli UMNO akan memusuhi saya. Saya harap ahli-ahli UMNO lebih matang. Sudahlah, janganlah benar diri ditipu dan dikhianati seperti ini. Janganlah pimpinan kita ditentukan oleh orang-orang yang rakus dan tamak haloba. Cukuplah, bukalah mata, jangan gentar dan takut. Dan biarlah ada pendirian dalam hidup kita. Sebab itu saya katakan reformasi ini harus bermula dari kesedaran kita. "Qu anfusakum wa ahlikum nara"…. "ibda’ bi nafsika", mula dari diri kita dengan semangat kita, untuk melancarkan Islah ini.

Soal orang nak kaitkan dengan pengalaman negara-negara lain tidak penting. Yang cukup takut bila Presiden Suharto berundur ialah Datok Seri Dr Mahathir Mohamad. Saya tahu gelisahnya. Saya tahu bagaimana dia pertahankan Suharto habis-habisan. Saya katakan Suharto juga banyak jasa. Tetapi Suharto juga buat kesilapan besar, kerana mahu pertahankan sistem yang tidak adil, dan rasuah. Begitu juga dengan Datok Seri Dr Mahathir Mohamad, jasanya banyak. Tetapi dia sudah melewati tempoh keupayaan khidmatnya. Dia telah cuba nak pertahankan diri dia, tanpa mempedulikan undang-undang dan melakukan kezaliman yang berterusan, yang cukup mengaibkan. Bahkan seperti dalam kes yang melibatkan saya sekali lagi saya ulangi, kes yang dibangkitkan sekarang tidak ada kena mengena dengan kes yang menyebabkan saya dipecat. Semua ini ditangkap baru, direka baru, akan dipanggil lagi kawan-kawan saya, dan nampaknya kalau nak gunakan pelacur nampak tak jadi sebabkan saya gunakan berulangkan kali, pre-empt, dan menjangka awal tindakan dan taktik mereka. Sebab itu mereka agak lebih ganas, bahkan Dr Munawar di tahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Tuduhan tidak ada kena mengena dengan soal keselamatan. Tuduhan ialah kes seks.

Ini menunjukkan satu tindakan yang gopoh-gapah, kelam kabut, yang dikaitkan kerana Perdana Menteri Dr Mahathir sudah desperate . Dia sudah baca sekarang kemarahan rakyat. Dan saya ingin menasihatkan dia supaya berundur secara terhormat sekarang sebelum rakyat bangun menentang dan memaksa beliau turun secara cukup hina sekali. Dan saya berdoa ke hadrat Allah s.w.t. supaya rakyat dapat terus istiqamah dengan pendirian yang teguh, bahawa masyarakat Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, semuanya faham bahawa masa untuk perobahan adalah sekarang. Kita mesti bertindak sekarang, sebelum kita dijajah oleh anak-anak bangsa yang pura-pura menjadi pemimpin kita.

Wassalamu alaikum wr wb

Yang menyebabkan mereka gusar dengan saya ialah kerana saya tahu terlalu banyak rahsia mereka. Saya tahu beberapa billion ringgit wang UMNO yang dicuri untuk kepentingan beberapa orang. Saya tahu beberapa banyak wang – 1 billion – bulan Oktober yang dikeluarkan dari dalam negara ke luar negara, ke satu akaun bank di sekitar Zurich. Saya telah lapor kepada Dr Mahathir mengharapkan dia pemimpin yang boleh dipercayai, rupa-rupanya dia menyimpan maklumat itu dan saya tidak boleh nafikan bahawa ada pakatan sulit di antara beliau dan beberapa orang berkenaan. Saya tahu rahsia bagaimana beberapa projek digunakan dan dimenafaatkan untuk beberapa kawan dan suku-sakatnya. Mereka takut dengan maklumat ini. Tetapi saya sudah beritahu bahawa saya pada peringkat awalnya tidak bercadang untuk menentang Dr Mahathir dalam pimpinan parti dan kerajaan. Mengharapkan bahawa beliau akan berhenti secara terhormat, dan bila kita ambilalih kita akan betulkan cara baik tanpa membawa imej yang jijik terhadap keburukan-keburukan beliau. Tetapi beliau telah tidak beri pilihan, beliau menghina saya, menghina ulama’, mempermainkan hukum agama, beliau anggap beliau Maha Kuasa dan dikelilingi oleh orang-orang yang tidak ada keberanian sama sekali untuk membuat teguran terhadap beliau.

Beliau hidup dalam dunia impian. Beliau hidup tidak jejak kepada bumi yang nyata. Beliau anggap beliau Perdana Menteri yang paling popular di dunia dan beliau juga anggap bahawa beliau telah dapat lakukan apa sahaja mengikut kehendak nafsu serakah beliau dan beliau melakukan kesilapan besar kerana bertindak zalim dan doa orang yang dizalimi atau mazlum insyaallah akan dikabuli oleh Allah s.w.t.

 

Kita telah berusaha menasihat sebagai anak kepada bapa. Saya tidak boleh nafikan yang saya memang ada kasih kepada Dr Mahathir sebagai bapa. Sakitnya, demamnya, penatnya saya ambil tahu. Saya tidak jangka sama sekali dia bertindak zalim dan separuh gila dengan mengambil tindakan yang dilakukan kepada saya semata-mata kerana takut bahawa saya tahu terlalu banyak dan rahsia terlalu banyak mungkin didedahkan maka cara dan pilihannya ialah untuk mematikan kareer politik saya supaya saya tidak mampu bangun lagi. Umumnya diketahui oleh pimpinan dan rakyat sikap saya terhadap Bakun. Kita tidak sangat menentang projek itu kalau dikendalikan cara teratur dan bukan untuk menjaga kepentingan suku-sakatnya. Bahkan dalam pembangunan lapangan terbang Sepang sendiripun berapa banyak kepentingan keluarganya dan anaknya itu diberikan dan kita sedapat upaya cuba elakkan sehingga beliau mula marah-marah. Dalam kes Petronas dengan MISC sekalipun yang melibatkan anaknya Mirzan Mahathir, kita nasihatkan supaya ikut peraturan. Saya dengan Petronas meminta supaya digunakan penilai antarabangsa, kemudian kami terus dimarah kerana harganya difikir harus lebih tinggi. Tetapi harganya melibatkan RM2 billion duit Petronas, wang rakyat, jadi kita terpaksa ikut cara dan kaedah yang munasabah. Tetapi beliau tidak puas hati.

Begitu juga dengan kemudahan dan pembangunan Putrajaya, kerana dia hidup dalam apa yang disebut "delusion of grandeur", mesti yang tertinggi, yang terhebat, yang terbesar, termasuklah istana rasmi beliau mahunya yang terindah dan yang terbesar di dunia. Ada yang mengatakan saya luluskan. Saya ingin menyebut saya tidak meluluskan pembangunan rumahnya. Itu dibuat melalui satu syarikat Putrajaya Holding yang direncanakan sedemikian, mereka dapat arahan cara langsung. Saya tidak menandatangani apa surat sekalipun meluluskan satu istana yang begitu besar bagi seorang Perdana Menteri yang mahu hidup dalam satu dunia impian dan khayal.

Sebelum ini beliau mengecam raja-raja, membazir. Beliau meminta dipinda undang-undang, kita sokong. Kita fikirkan undang-undang dipinda supaya dikembalikan kuasa kepada rakyat. Rupa-rupanya kuasa raja dikurangkan, diturunkan, kadang-kadang dengan cara yang cukup hina dan mengaibkan, tak perlu dibuat cara begitu, tetapi yang berlaku ialah diambil kuasa raja, diletakkan kepada kepala dia. Jadi akhirnya dia menjadi Perdana Menteri dan raja dan dewa dan semuanya. Dan ini yang akhirnya memusuhi beliau sendiri dan merosakkan imejnya. Dan sebab itu juga saya telah tidak meluluskan rumah rasmi Timbalan Perdana Menteri di Putrajaya. Kerana projek pertama di sekitar RM70 juta, dikurangkan jadi RM40 (juta), dikurangkan lagi tetapi saya kata kepada Azizah, susah kita nak luluskan sekarang, dalam keadaan ekonomi begini. Tak apalah, kita duduklah di rumah yang lebih simple, tidak dengan harga mahal-mahal, tetapi Dato Seri Dr Mahathir Mohamad tidak dengan cara begitu. Tetapi import semua ni, dari Perancis, peralatan dalaman rumah yang terbaik di dunia. Semuanya first class, yang paling baik dan indah. Patut kita istighfar, dan kita sedar bahawa kita juga ada hadnya. Beliau bukan terlalu muda, bagaimana mahu terus mengekalkan kuasa, menongkat langit dan dengan cara yang kejam dan zalim buat orang seperti ini. Gunakan instrumen polis seperti Gestapo, memukul, mendera, dengan cara yang cukup memalukan, bahkan mahkamah bersidang, cara satu sidang yang luar biasa cepat dan cekap, tidak mendengar langsung rayuan dan permintaan daripada pihak peguambela.

 

Yang kita dengar berulang kali ialah rakyat mesti berkorban. Tapi apa pengorbanan kita yang memunggah kekayaan ratusan juta dan billion ringgit. Yang kita dengar berulang kali ialah negara kita, tanggung jawab kita, di mana rakyat mesti memikul tanggung jawab. Tetapi, tanggung jawab mereka untuk melaksanakan keadilan, pemerintahan mengikut hukum dan undang-undang sendiri tidak dapat ditunaikan dengan sebaiknya. Saya rasa juga sedikit bersalah kerana cuba membawa perubahan sedapat mungkin sedaya upaya dari dalam, memujuk dan merayu, dan menunggu sekian lama. Dan untuk itu saya memohon maaf kerana walaupun saya basmikan kemiskinan, bangunkan rumah kos rendah, pertahankan demokrasi dan masyarakat madani dan membawa imej Islam yang baik, menghormati pandangan ulama’, nampaknya saya diketepikan.

Oleh kerana saya berkeras dan berdegil mempertahankan prinsip ini, saya mahu dimalukan, dan berulangkali akan dibangkitkan melalui tuduhan-tuduhan dan digunakan media untuk mengaibkan saya. Apa dosa saya? Dosa saya ialah kerana saya mempertahankan kebenaran, keadilan dan kepentingan rakyat.

 

End