ANALISIS BERITA

HARI-HARI BIASA YANG SEMAKIN LUAR BIASA

Oleh ROZAID A. RAHMAN

KUALA LUMPUR 9 Sept. --- Hari ini genap seminggu Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dari kerajaan. Sejak itu beliau telah menjalani kehidupan sebagai seorang rakyat biasa – hanya bergelar YB – itu pun wakil rakyat bebas di Parlimen Malaysia. Hari-hari esok dan mendatang masih belum menjanjikan apa-apa buat beliau. Yang ada hanyalah semangat, harapan dan keyakinan diri.

Walaupun sudah kehilangan kedudukan yang tinggi dalam kerajaan dan mula menjalani kehidupan hariannya sebagai "Brother Anwar" tetapi nampaknya beliau semakin melalui kehidupan seharian yang tidak lagi kelihatan sesuatu yang biasa sejak beberapa hari lalu. Ia sebenarnya sedikit luar biasa. Saya kira, beliau cuma mampu melelapkan mata sekadar dua atau tiga jam sehari. Anwar bangun sebelum subuh untuk menunaikan solat dan kemudiannya berjemaah dengan ahli-ahli keluarga dan beberapa rakan yang masih "berkhemah" di kediamannya.

Lepas itu aktiviti hariannya pun bermula – tanpa henti sehingga jam dua atau tiga pagi. Semalam, lebih 10,000 orang membanjiri kediamannya. Pada jam 2.00 pagi ketika beliau masuk ke rumah untuk tidur, lebih 100 orang lagi tidak berganjak dari laman rumah untuk menyaksikan rakaman video ucapannya pada pukul 9.00 malam sebelum itu. Sejak sehari dua ini teman-teman rapat, para pegawai yang masih setia dan lebih-lebih lagi isterinya, Dr. Wan Azizah menasihatinya agar lebih banyak berehat. Dr. Wan umpamanya, walaupun sibuk melayani tetamu-tetamu wanita yang kehadirannya sama hebat dengan tetamu lelaki masih mampu tersenyum dan memastikan suaminya mendapat layanan yang secukupnya daripada seorang isteri.

Selama tujuh malam berturut-turut beliau memastikan kesihatan suaminya terjaga. Setiap kali selepas menyampaikan ucapan yang berapi-api dan penuh semangat di hadapan ribuan hadirin yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat dan latarbelakang, Sdr. Anwar akan terus masuk ke bilik studinya di tingkat bawah rumah dua tingkat di No 8 Jalan Setiamurni, Bukit Damansara itu dan berehat buat seketika dengan staf dan para sahabatnya. Di situ, beliau duduk bersila bersama-sama tujuh atau lapan orang dan minta mereka yang hadir memberi komen mengenai ucapannya serta input baru yang perlu dimasukkan ke dalam ucapan berikutnya keesokan hari.

Dari raut wajahnya tidak dapat dinafikan bahawa beliau sememangnya kepenatan. Manakan tidak. Melihat beliau bersyarah dan berpidato menyebabkan seorang wartawan veteran yang pernah membuat liputan pidato-pidato Anwar sewaktu di universiti dahulu dan pada era ABIM berkata;

"Mungkin ada hikmahnya atas apa yang berlaku pada Anwar," katanya sambil menambah "Anwar selepas dipecat dari UMNO adalah Anwar yang rakan-rakan pernah kenali sewaktu era pelajar dan ABIMnya."

Ahad lepas, dalam kolumnya YANG TERSIRAT YANG TERSURAT, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Khalid Mohd menulis; "Meneruskan perjuangan di luar UMNO bukanlah suatu yang mudah. Lihatlah apa yang berlaku kepada Tengku Razaleigh Hamzah dengan Semangat 46nya."

"Setelah 10 tahun, parti itu terkubur, pemimpinnya bertabur. Ada yang kembali ke pangkuan UMNO tapi tidak mendapat tempat. Bagaimanapun, Anwar agak istimewa dalam hal ini. Beliau datang dari ABIM dan masih belum lekang dengan pertubuhan yang diasaskannya itu. Imej ABIMnya masih kuat. Ia terpancar kembali sekarang."

Kini mereka yang pernah berjuang bersama-samanya di dalam gerakan pelajar dan ABIM dahulu muncul semula mengelilingnya selepas boleh dikatakan hampir kesemua pemimpin atasan UMNO menyepikan diri daripadanya – suatu pandangan yang cukup kontras dengan apa yang pernah mereka lakukan apabila beliau mengadakan sidang akhbar pada 25 Ogos 1993 untuk mengumumkan keputusannya bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Tetapi, bagi Anwar, itu tidak menjadi hal. Ini kerana beliau adalah pemimpin massa. Karektor dan karisma sepertinya mampu menarik minat ribuan manusia untuk berkumpul dan mendengar apa yang hendak diperkatakannya. Malah pada hari di mana beliau dipecat dari kerajaan, beliau sudahpun bangun berucap dan mengingatkan bahawa "Saya cukup beristigfar dengan apa yang berlaku ke atas saya hari ini. Hari ini kita akan lihat siapa yang berpaut kepada idealisma perjuangan dan keadilan akan tetap kekal bersama kita dan siapa yang berpaut kepada pangkat dan jawatan akan pergi meninggalkan kita."

Dan sejak dari hari itu, dalam sekelip mata sahaja, Anwar kelihatan semula seperti Anwar Ibrahim yang suara-suara lantang dan keadilannya bergema di segenap sudut bangunan kampus universiti. Pada usia 51 tahun, kita mungkin bagaikan tidak percaya melihat beliau berucap berapi-api dan penuh semangat selama dua jam tanpa henti dan tanpa teks.

Sudah 16 tahun Anwar meninggalkan lapangan yang pernah beliau menjuarainya tetapi apabila suaranya yang telah "di UMNO kan" itu ditutup rapat oleh sahabat-sahabat dan rakan-rakan yang baru tujuh hari yang lalu masih memanggilnya "Yang Amat Berhormat Datuk Seri", maka tidak ada siapa pun yang dapat menidakkan kepulangan ribuan lagi sahabat yang selama ini berdiri di luar UMNO.

"Jika orang UMNO sudah meninggalkan Anwar ramai lagi yang di luar UMNO boleh menerima kehadirannya," kata seorang peminat Gerakan Reformasi – slogan yang diketengahkan Anwar Ibrahim sejak beliau dipecat dari UMNO.

Apa pun komen dan reaksi ramai, namun kehidupan Anwar Ibrahim yang mungkin pada kaca mata pemimpin UMNO sendiri sudah layu dan longlai adalah sebaliknya.

Antara pagi sehingga tengah hari atau selepas zohor, Adlin M. Zabri, bekas Setiausaha Akhbarnya di Kementerian Kewangan, memang pening kepala menguruskan jadual temuramah eksklusif para wartawan terkenal dari akhbar Times, Bangkok Post dan lain-lain majalah antarabangsa yang berebut-rebut untuk mendapatkan liputan eksklusif untuk media masing-masing.

Malah untuk membolehkan setiap seorang daripada mereka berpeluang menemuramah Anwar, Adlin mahu tidak mahu terpaksa mengatur tiga temuramah berjalan serentak pada satu-satu masa. Dan di antara kesibukan melayani kedatangan wartawan tempatan dan antarabangsa, Anwar masih sempat mencelah seketika untuk bertemu dan berbual-bual dengan para tetamunya.

Petang tadi lebih kurang jam 5.30, beliau keluar menghabiskan masa kira-kira sepuluh minit bertemu dan melayani orang-ramai yang berada di luar pagar kediamannya termasuklah mereka yang membuka gerai sementara menjual kaset dan video ucapannya. Setengah jam sebelum itu, beliau mengadakan sidang akhbar hariannya di harapan berpuluh lagi wartawan tempatan dan asing yang nampaknya masih belum hilang minat mereka terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu – walaupun kebarangkalian untuk disiarkan oleh media tempatan boleh diduga oleh rakyat.

Dalam pada itu, sejak empat hari lalu, mereka yang turut berucap mengiringi ucapan Anwar semakin rancak dan bertambah. Antaranya ialah Datuk Dr. Hassan Ali yang merupakan rakan sekampus Anwar di Universiti Malaya dan semalam Dr. Chandra Muzaffar – seorang aktivis gerakan sosial yang terkenal di negara ini.

Pendek kata, Anwar Ibrahim dan rakan-rakan seperjuangan dengannya ketika zaman muda-muda dahulu telah kembali kepada dirinya yang sebenar. Dia telah mula meminta yang berpangkat adik memanggilnya "Abang" dan para sahabat memanggilnya "Saudara Anwar" . Hilang sudah "Datuk Seri" dan "Yang Berhormat". Anwar kini adalah Anwar yang diidolakan oleh ribuan pelajar dan pejuang yang dikagumi dan dihormati oleh ribuan dan mungkin juga jutaan rakyat.

Nampaknya hari-hari biasa bagi seorang YB semakin menjadi luar biasa. Hanya masa dan waktu sahaja yang akan menentukan destininya.

End