Make your own free website on Tripod.com


.

Polis menahan 134 orang dalam perhimpunan terbaru

Kuala Lumpur Okt 17 (AFP) - Polis Malaysia hari ini menahan 134 orang dalam perhimpunan antikerajaan terbaru menyokong bekas timbalan perdana menteri Malaysia, Anwar Ibrahim, menurut agneis berita rasmi Bernama.

Mereka yang ditangkap termasuk 17 wanita, kata laporan tersebut, dan memetik ketua polis Kuala Lumpur sebagai berkata bahawa para penunjuk perasaan tersebut ditahan kerana mereka tidak memiliki permit dan enggan bersurai ketika diarah berbuat demikian.

Kira-kira 10,000 penunjuk perasaan melancarkan sebuah lagi protes antikerajaan di tengah-tengah kota raya, meminta Perdana Menteri Mahathir Mohamad meletakkan jawatan.

Meskipun dikelilingi kehadiran polis yang besar, mereka terus dengan berani memegang sepanduk-sepanduk melaungkan "Undur Mahathir!" dan "Reformasi!"

Mereka kemudian bergerak ke Masjid Negara dan Istana Negara, mendesak Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung campur tangan dan meminta Mahathir meletakkan jawatan, membubarkan parlimen dan mengisytiharkan pilihan raya.

Polis akhirnya hilang sabar dan menggunakan meriam air untuk menyuraikan mereka. Tidak merasa diancam, orang ramai terus ke tengah-tengah kota untuk konfrontasi akhirnya disuraikan lewat malam.

Balik ke Berita Bulan Oktober


Berita Minggu Online

Tiga ditahan dalam majlis Gerak

MELAKA: Tiga lelaki ditahan kerana cuba menghalang polis menyuraikan perhimpunaan haram Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak) yang diadakan di Balai Islam Pas, Telok Mas dekat sini, malam semalam.

Mereka yang berusia di antara 19 hingga 35 tahun itu ditahan di kawasan berkenaan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah.

Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner I, Datuk Arthur Edmonds, berkata ketiga-tiga mereka ditahan kerana cuba menghalang polis daripada melaksanakan tugas menyuraikan perhimpunan haram berkenaan.

Katanya, polis menasihatkan orang ramai yang hadir pada majlis itu pada kira-kira jam 8 malam, bahawa perhimpunan yang diadakan itu tidak mendapat kebenaran.

Namun begitu, katanya, orang ramai terus berkumpul dengan memulakan ceramah dan polis terpaksa meminta mereka bersurai.

"Atas nasihat polis, mereka yang hadir pun bersurai secara aman dan tiada kejadian buruk berlaku, kecuali tiga lelaki ditahan kerana cuba menghalang tugas polis," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kira-kira 3,000 orang yang hadir pada perhimpunan itu bersurai pada kira-kira jam 10.45 malam, selepas mendengar ucapan beberapa perceramah seperti Naib Pengerusi DAP, Ahmad Nor; Timbalan Pengerusi Parti Rakyat Malaysia, Razak Ahmad; dan Naib Ketua Pemuda Pas, Mahfuz Omar, yang juga Setiausaha Gerak.

DAP juga membuka kaunter mengumpul tandantangan orang ramai yang hadir di perhimpunan itu, bagi mendapatkan sokongan meminta pembebasan Lim Guan Eng yang menjalani hukuman penjara sekarang.

Polis turut mengadakan sekatan pemeriksaan jalan raya di kedua-dua laluan di antara Melaka-Muar iaitu kira-kira 500 meter daripada tempat perhimpunan berkenaan.

Ini menyebabkan kesesakan lalu lintas sehingga kira-kira jam 11 malam dan Radio Malaysia Melaka turut menasihatkan pemandu yang ke Muar atau Melaka menggunakan laluan lebuh raya Utara-Selatan melalui persimpangan bertingkat Tangkak dan Ayer Keroh.

Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Isnin, berharap Gerak mengkaji semula tindakan mengadakan perhimpunan haram berkenaan kerana itu bukan budaya masyarakat negara ini.

Katanya, penganjuran perhimpunan itu mempunyai kepentingan sendiri dan sengaja hendak menimbulkan keadaan huru hara.

"Sebenarnya, negara aman dengan kegiatan harian berjalan seperti biasa, termasuk mereka yang berniaga atau bekerja sebagai kakitangan kerajaaan atau swasta," katanya.

Menurutnya, orang ramai pula memahami bahawa polis terpaksa bertindak bagi menjaga keamanan apabila perhimpunan diadakan secara haram.

"Semua peraturan perlu dipatuhi kerana negara mempunyai undang-undang dan jangan pula undang-undang dicabuli," katanya.