.

Azizah: Polis tiada sebab untuk tangkap saya

KUALA LUMPUR -- Isteri kepada mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau tidak nampak sebarang sebab polis harus menangkapnya kerana beliau hanya membela suaminya dan bukan melakukan sebarang kesalahan.

"Saya tidak faham dengan khabar-khabar angin bahawa saya akan ditangkap," kata Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kepada para pemberita di rumahnya di Jalan Damansara di Kuala Lumpur.

"Kenapa pula saya mesti ditangkap sedang saya tidak melakukan sebarang kesalahan?" katanya.

Beliau berkata demikian kepada para pemberita yang berkejar ke rumahnya berikutan khabar-khabar angin bahawa polis mahu menangkap beliau.

Pihak berkuasa telah memberi amaran kepada Dr Wan Azizah selepas suaminya ditangkap pada 20 September lalu supaya jangan mengadakan rapat-rapat umum antikerajaan, yang telah menarik perhatian beribu-ribu orang ke rumahnya di luar ibu kota.

Dalam tunjuk perasaan antikerajaan Sabtu lalu di sebuah daerah membeli-belah di ibu kota, Dr Wan Azizah telah berkereta di jalan raya yang penuh sesak dengan ribuan penyokong Anwar, yang menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, meletak jawatan.

Gambar beliau tersenyum dan melambai-lambai tangan kepada orang ramai semasa berkereta di jalan-jalan raya itu telah disiarkan di akhbar-akhbar tempatan esoknya.

Kelmarin, Dr Mahathir, yang juga Menteri Dalam Negeri, memberi amaran Dr Wan Azizah menghadapi risiko diberkas polis kerana turut sama dalam tunjuk perasaan secara haram. --Reuters.

Balik ke Berita Bulan Oktober