.

Isu Anwar: Adakah sejarah Tuah-Jebat berulang lagi?

Oleh MOHD RAMAN DAUD

MUNGKIN anda pernah mendengar ungkapan 'sejarah berulang'. Istilahnya dalam bahasa Amerika ialah 'retro'.

Mengamati keadaan politik di Malaysia ketika ini, seorang guru bertanya dalam satu forum anjuran Persatuan Guru Bahasa Melayu, hampir dua minggu lalu -- apakah ini suatu perulangan sejarah Tuah dan Jebat?

Salah seorang penceramah forum itu, Khalida Adibah binti Amin (lebih dikenali sebagai Adibah Amin iaitu wartawati ternama Malaysia) menolak kaitan itu.

Dalam Hikayat Hang Tuah, laksamana yang amat disayangi sultan itu dikhianati pembesar istana dengan fitnah ia bermukah dengan gundik raja. Manakala Datuk Seri Anwar pula dituduh silap laku seks di luar tabii dan rasuah.

Cik Adibah berpendapat, laksamana Melaka itu setia membabi buta sehingga tidak dapat membezakan antara yang adil dan benar dengan yang zalim. Manakala Jebat, selaku sahabat, membela Tuah dengan cara yang tidak tepat dan tidak berperikemanusiaan -- mengamuk sehingga membunuh pekerja seisi istana dan orang ramai.

Menurut Cik Adibah, generasi muda Melayu Malaysia pernah diseru agar "kurang ajar'. Jika tidak silap saya, seruan itu datang dari penyair berpengaruh, Usman Awang (kini bergelar doktor kehormat dan sasterawan negara), kemudian disusuli dengan buku Revolusi Mental oleh Senu Abdul Rahman. Ketika itu Malaysia baru merdeka dan di segi persaingan orang Melayu yang bersifat lemah lembut dan 'tidak apa' itu berada di tempat corot.

Apakah seruan itu atau ada banyak faktor lain mendorong tercetus peristiwa rusuhan kaum 13 Mei 1969? Setakat ini belum ada kajian tuntas mengenainya, terutama di segi kejiwaan.

Apa yang jelas peristiwa itu telah menghasilkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) Malaysia.

DEB telah membawa terbentuknya kemakmuran Melayu dan kelahiran golongan usahawan dengan kekayaan berbilion ringgit. Ia paling gigih dijalankan dalam zaman pentadbiran Dr Mahathir.

Tiba-tiba tahun lalu, kemakmuran itu seolah-olah tertimbus apabila ringgit merosot 40 peratus berbanding dengan dolar Amerika. Terdedah hutang korporat yang bertimbun-timbun, termasuk yang ditanggung oleh para usahawan bumiputera tadi.

Sebelum Malaysia, ekonomi Indonesia telah tumbang lebih hebat sehingga menyeret Presiden Suharto. Terdedah pula salahguna kuasa Pak Suharto. Jasanya bertahun-tahun bak panas setahun rosak oleh hujan sehari. Ada yang meramalkan, apa yang menimpa Pak Suharto dikhuatiri boleh menimpa Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi apakah dapat dikatakan ada unsur Tuah-Jebat dalam krisis antara Dr Mahathir dengan mantan timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim? Wajarkah Anwar dianggap gabungan Tuah dan Jebat iaitu pada mulanya setia saja sehingga akhirnya membantah keras? Wajarkah Dr Mahathir pula sebagai lambang 'raja Melaka'?

Tuah-Jebat berlaku dalam masyarakat seluruhnya feudal. Ini jauh berbeza daripada masyarakat berbilang kaum Malaysia hari ini.

Membaca apa jua bahan di Internet dan media mengenai konflik Mahathir-Anwar terpapar kononnya ada pakatan (konspirasi) terhadap Anwar dan betapa perlunya reformasi.

Yang aneh, 30 tahun lalu Dr Mahathir dianggap sebagai tokoh pembaharuan. Beliau pernah dinyahkan dari Umno kerana dianggap golongan ultra oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun ku Abdul Rahman. Malah beliau juga bertanggungjawab membataskan kuasa raja-raja yang sekian lama 'kebal' daripada dakwaan mahkamah.

Bukunya yang terkenal dan pernah diharamkan, Malay Dilemma, memperlihatkan sikap dan cita-citanya. Bahkan ketika Kolonel Sitiveni Rabuka mengadakan pemberontakan di Fiji dalam rangka menguatkan hak peribumi, kononnya buku itu menjadi inspirasinya.

Kejatuhan ekonomi Malaysia telah menjejas impian dan kerja keras Dr Mahathir untuk dikenang sepanjang zaman.

Impian itu termasuklah membina golongan korporat. Tanpa dibela dengan agensi kerajaan seperti Danamodal dan sebagainya, syarikat bumiputera gergasi seperti Renong akan tutup kedai.

Tetapi cara Dr Mahathir dikatakan kian lama tidak sehaluan dengan Anwar yang dikatakan menganggap ini sebagai rasuah dan salahguna kuasa.

Menurut cerita, antara golongan korporat tadi terkait para ahli politik dan anak Dr Mahathir sendiri, Mirzan, yang sedang menempa nama dalam bidang perkapalan. Perbezaan yang diapi-apikan oleh para penyokong kedua-dua tokoh inilah yang dikatakan titik kecai kepercayaan mereka.

Namun ini cuma satu teori saja. Penentu kesahihannya bergantung kepada kesudahan babak Mahathir-Anwar dalam sejarah moden Malaysia.

Penentuan kes Anwar ialah di mahkamah kelak. Ia akan menentukan apakah mantan timbalan perdana menteri itu benar atau sebaliknya, dan diadili dengan saksama.

Pelbagai senario baru akan berlaku. Semua ini tidak terdapat dalam Hikayat Hang Tuah yang tebal itu.

Dulu krisis Tuah-Jebat tanpa melibatkan sokongan rakyat. Kini rakyat Malaysia, dari pelbagai lapisan tetapi majoritinya masih Melayu dan muda pula, sanggup membantah secara terang-terangan. Ini suatu unsur baru.

Satu lagi unsur baru ialah memandangkan pengaruh Anwar di luar negara, terutama di rantau ini, terdapat limpahan simpati terhadapnya.

Lebih lama krisis ini berlarutan, lebih sukar lagi kedudukan Umno selaku tunjang Barisan Nasional yang memerintah.

Jika eksperimen kawalan modal Dr Mahathir didapati gagal menepati sasarannya, kemakmuran akan merosot. Rakyat jelata, terutama golongan pertengahan, semakin marah.

Apa yang cuba ditonjolkan kini oleh Umno dan pentadbiran Dr Mahathir ialah eksperimen ekonominya berhasil dan keputusan mahkamah jelas lagi saksama membuktikan kebenaran dakwaannya.

Bukan kali pertama Dr Mahathir dicabar. Pada tahun 1986, beliau menghadapi tentangan besar daripada timbalannya, Datuk Musa Hitam dan mantan menteri kewangan Tengku Razaleigh Hamzah sehingga mengakibatkan Umno berpecah dua.

Namun selepas sedekad, Razaleigh kembali ke pangkuan Umno bersama-sama para penyokong mereka.

Tampak paradigma Tuah-Jebat tidak boleh dipakai bagi menjelaskan tikai Mahathir-Anwar. Tetapi nanti dulu. Bagaimana pula dengan akibatnya?

Tuah-Jebat mencerminkan konflik yang membawa kelemahan sistem yang akhirnya dialahkan oleh kuasa Barat (Portugis). Ini berlaku apabila pupus kearifan dan rasa budiman bak gagal mengeluarkan rambut dari tepung.

Jadi, apakah konflik Mahathir-Anwar akan membawa tamatnya pertuanan Umno atau Melayu yang selama ini membentuk teras politik Malaysia? Inilah persoalan yang lebih besar maknanya.

Balik ke Berita Bulan Oktober