Kenyataan Akhbar

Jakarta: 30 September 1998

Saya terperanjat dan tergamam dengn tindakan ganas terhadap Sdr Anwar Ibrahim semasa dalam tahanan. Sejak beliau ditahan, saya telah mendapat maklumat bahawa Sdr Anwar dipukul dengan teruk. Tetapi saya tidak mempercayainya kerana pada fikiran saya ia adalah tindakan gila dan bodoh dan saya tidak percaya bahawa Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad, dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor, akan melakukan tindakan bodoh dan gila itu. Lebih-lebih lagi KPN telah membuat kenyataan bahawa Sdr Anwar berada dalam keadaan sihat dan selamat dalam tahanan.

Jelas sekarang bahawa sangka baik saya terhadap Dato' Seri Dr Mahathir dan Tan Sri Rahim adalah tidak kena pada tempatnya. Perdana Menteri dan KPN ternyata mampu dan telah melakukan tindakan bodoh dan gila.

Saya juga telah menerima maklumat bahawa orang yang memukul Sdr Anwar adalah KPN sendiri. Tetapi sebagai Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Dr. Mahathir secara langsung bertanggung jawab terhadap keganasan terhadap Sdr. Anwar. Dato' Seri Dr. Mahathir jangan cuba membohongi rakyat dengan mengatakan bahawa kecederaan Sdr. Anwar adalah disebabkan penderaan ke atas diri sendiri.

Penderaan terhadap Sdr. Anwar bukan sahaja tindakan tidak berperikemanusiaan, tetapi juga perlakuan jenayah yang tidak boleh dimaafkan. Sesungguhnya Tan Sri Rahim Noor telah mencemarkan nama baik polis. Dan cara Sdr. Anwar dipukul, dengan tangannya digari dari belakang dan kepalanya disangkup, menunjukkan Tan Sri Rahim Noor telah berkelakuan seperti samseng bacul.

Sesungguhnya tindakan Dato' Seri Dr. Mahathir telah mengaibkan UMNO dan rakyat Malaysia. Beliau telah membawa UMNO dan Malaysia ke ambang kehancuran. Selagi beliau memimpin UMNO dan Malaysia, UMNO dan Malaysia semakin hampir kepada kehancuran. Untuk menyelamatkan UMNO dan Malaysia, Dr. Mahathir perlu meletak jawatan.

(ditandantangani)

Mohamad Ezam Mohd Nor
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan
Merangkap Setiausaha Politik kepada Sdr. Anwar Ibrahim