KENYATAAN AKHBAR






Jakarta: 2 Oktober 1998

Laporan perubatan Datuk Dr. Haji Shukri Mohamad yang menegaskan bahawa pejuang reformasi Saudara Anwar Ibrahim telah dipukul semasa dalam tahanan telah sekali lagi membuktikan bagaimana rejim rasuah Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad mampu melakukan kezaliman dan penghinaan kepada sesiapa sahaja terutamanya orang yang lemah.

Peristiwa Saudara Anwar dipukul telah menyebabkan rakyat semakin marah dan amat mengaibkan Malaysia di mata dunia. Tetapi rakyat dan dunia mungkin tidak akan tahu hakikat sebenar mengenai pemukulan tersebut kerana Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor akan berusaha menutup tindakan bodoh dan gila mereka.

Kami telah mendapat maklumat bahawa orang yang memukul saudara Anwar adalah tidak lain dari Tan Sri Rahim Noor. Dengan bertindak sedemikian beliau telah berkelakuan seperti samseng bacul dan mencemarkan nama baik Polis. Tetapi Datuk Seri Dr. Mahathir sebagai Menteri Dalam Negeri dengan sendirinya bertanggungjawab terhadap tindakan jenayah terhadap pejuang reformasi yang kami sayangi.

Usaha untuk menutup kejadian tersebut telah bermula dengan kenyataan Datuk Seri Dr. Mahathir bahawa kecederaan saudara Anwar mungkin disebabkan oleh diri beliau sendiri.

Tan Sri Rahim Noor kini berusaha untuk menutup kejadian tersebut dengan menekan laporan perubatan yang dibuat oleh Datuk Dr. Haji Shukri Mohamad yang menegaskan bahawa saudara Anwar telah dipukul semasa dalam tahanan. Pada 30 September, seorang jurucakap polis dari Bukit Aman telah mengarahkan media massa melalui Bernama supaya tidak mengguna dan menerbitkan laporan kesihatan yang dibuat oleh Datuk Dr. Shukri.

Kami mempunyai cukup alasan untuk berpendapat bahawa sebarang penyiasatan yang diarahkan oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara adalah tidak lain dari langkah untuk menutup dan membersihkan tangan mereka dari perlakuan jenayah tersebut.

Rakyat dan dunia hanya akan mengetahui hakikat mengenai kejadian tersebut sekiranya siasatan dilakukan di bawah pengawasan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan dianggotai oleh wakil-wakil hak asasi manusia serantau.

Kami yakin bahawa Tan Sri Rahim Noor akan menjadi penghalang pertama kepada penyiasatan bebas. Justeru itu untuk menjamin penyiasatan yang bebas Tan Sri Rahim perlu dilucutkan dari tanggungjawab beliau.

Dengan membiarkan KPN berkelakuan seperti samseng dan memukul saudara Anwar secara bacul, Datuk Seri Dr. Mahathir terbukti cuai dengan tugas-tugasnya. Sesungguhnya beliau telah hilang keyakinan rakyat dan perlu akur dengan tuntutan rakyat dengan meletak jawatan. Semakin lama beliau ingin berpaut kepada kuasa, Malaysia sesungguhnya semakin hampir kepada kehancuran.

Pemimpin-pemimpin UMNO harus sedar bahawa ahli-ahli UMNO telah hilang kepercayaan kepada Datuk Seri Dr. Mahathir sebagai pemimpin UMNO. Beliau terus menerus mengaibkan UMNO dan bangsa Melayu. Semakin lama beliau memimpin UMNO, UMNO akan menjadi semakin lemah.

Kita menyaksikan betapa apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Dr. Mahathir untuk menghina dan mengaibkan saudara Anwar telah menjadikan pejuang reformasi tersebut semakin disayangi rakyat. Penghinaan, penganiayaan dan penderaan terhadap beliau menjadi bukti betapa reformasi adalah satu kemestian.

Saudara Anwar perlu dibebaskan dengan serta-merta, dan tanpa syarat. Beliau adalah harapan dan masa depan UMNO dan rakyat Malaysia.

Kami menyeru rakyat Malaysia bersama dengan Dr. Wan Azizah serta segala pertubuhan meneruskan gerakan reformasi untuk membawa Malaysia keluar dari krisis masa kini dan membina masa depan yang lebih gemilang untuk Malaysia.

(tandatangan)

Mohamad Ezam Mohd Nor
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan
Merangkap Setiausaha Politik Anwar Ibrahim