Analisis Berita oleh Wartawan Reformasi, ROZAID A. RAHMAN

KEHADIRAN MELAUT RIBUAN MANUSIA

KUALA LUMPUR, 14 Sept. -- Tiga hari yang berlalu – bermula dari Darul Syifa’ Bangi pada hari Jumaat kemudian bergerak ke Cherok Tokun, Bukit Mertajam dan Pondok Derang, Kedah, pada hari Sabtu dan semalam di Ayer Keroh, Melaka - pejuang reformasi, Anwar Ibrahim yang mula turun ke bawah bertemu rakyat telah diberi sambutan wira oleh beribu-ribu manusia .

Kehadiran yang melaut orang-ramai dari pelbagai lapisan latarbelakang dan ideologi politik di kesemua tempat tersebut membuktikan bahawa rakyat biasa tidak menerima bulat-bulat segala dakwaan yang dijatuhkan ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu walaupun media-media tempatan terlebih dahulu menjatuhkan hukuman ke atasnya dengan pelbagai reaksi tokoh-tokoh UMNO dan kerajaan yang kini "menghentam" bekas orang nombor dua dalam negara ibarat seorang penjenayah.

Walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad, berkata beliau tidak berhajat untuk menghalang pertemuan-pertemuan antara Anwar dengan rakyat asalkan ia dilangsungkan dalam suasana aman namun terdapat insiden di mana beliau dihalang daripada berucap dan yang terbaru di Melaka semalam, program di mana sepatutnya beliau memberi ucapan penutup, pihak berkuasa telah membatalkannya dan memadam lampu dewan.

Namun, itu semua tidak menghalang rakyat daripada terus menunggu dengan sabar dan mereka tidak berganjak selama berjam-jam walaupun Anwar dilarang berucap dan program rasmi beliau dibatalkan.

PROGRAM PERTAMA DI BANGI

Darul Syifa’ merupakan destinasi pertama Anwar Ibrahim turun bertemu rakyat setelah seminggu berkampung di kediamannya di Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara. Program di Darul Syifa’ di mana Prof. Dato’ Dr. Harun Din menjadi hos Jumaat lalu dijadualkan bermula selepas solat Isyak. Namun begitu sejurus sebelum Maghrib, orang-ramai telah pun membanjiri surau berhampiran dengan kediaman Harun Din.

Menjelang Isyak, jumlah manusia yang membajiri Darul Syifa’ dianggarkan melebihi 35,000 orang. Anwar dan rombongannya tiba pada pukul 8.45 malam. Ketibaannya disambut dengan laungan "Reformasi" sebanyak empat kali. Beliau terus diiringi ke kediaman Harun Din.

Pada ketika ini, jumlah manusia menjadi semakin ramai dan pihak penganjur telah menaikkan skrin besar di jalan hadapan Darul Syifa untuk memudahkan mereka yang berada di belakang menyaksikan ucapan Anwar. Malang sungguh, beberapa minit kemudian, jurucakap majlis telah mengumumkan bahawa pihak penganjur tidak dibenarkan mengada ceramah mahupun sebarang ucapan.

Beribu orang yang sedang menanti ucapan sulung Anwar di luar kediamannya itu mengeluh kecewa. Namun begitu tidak seorang pun yang mengangkat kaki. Mereka menunggu dan terus menunggu dengan harapan jika tidak dapat mendengar ucapan Anwar, bersua wajah dan bersalam dengannya pun jadilah.

Oleh itu mereka tidak berganjak sehingga jam 11.30 malam. Program tersebut telah ditukar menjadi program sembahyang hajat dan doa. Beribu manusia yang membanjiri Darul Syifa turut menunaikan solat hajat.

Tidak lama selepas itu, Anwar mula bergerak pulang dan sekali lagi manusia berebut-rebut untuk bersalaman dengannya. Ada yang sempat berkata, "Datuk Seri, bersabarlah kami tidak percaya dengan semua dakwaan karut itu," ada yang menjerit "keadilan untuk Anwar " dan ada yang berkata "Kami dokong gerakan reformasi".

 

BERTOLAK KE PERMATANG PAUH

Selepas dua kali membatalkan niat untuk pulang ke kampung halamannya, Anwar Ibrahim akhirnya membulatkan hati. Beliau tidak mungkin dapat menghampakan orang kampung dan para pengundinya buat kali yang ketiga.

Beliau berlepas pulang bersama-sama Dr.Wan Azizah dan anak-anak bersama rombongan penyokong dan bekas staf menjelang tengah hari Sabtu menuju ke rumah asalnya di Cherok Tokun. Sudah sedia menanti di kampung ialah ibu bapanya, adik beradik yang lain, ahli-ahli jawatankuasa UMNO bahagian Permatang Pauh, rakan-rakan dari parti komponen Barisan Nasional serta rakan-rakan dari jauh dan dekat.

Menjelang pukul 4.00 petang, orang-ramai sudah banyak berkumpul. Sementara menunggu ketibaannya, para petugas sukarela Gerakan Reformasi mengedarkan bahan-bahan bacaan dan berita terkini mengenai sambutan jemaah Masjid Jamek Kampung Baru ketika Anwar menunaikan solat Jumaatnya di situ.

Para petugas juga mula menjual buku terbaru bertajuk "Penjelasan Anwar" berharga RM5 senaskhah yang mengandungi transkrip penuh wawacara para wartawan dengannya sehari selepas beliau dipecat serta transkrip penuh sidang akhbar kedua beliau mengenai isu ujian DNA.

Buku tersebut yang dicetak sebanyak 5,000 naskhah hampir habis dijual di Permatang Pauh dan di Darul Syifa.

Anwar dan rombongannya tiba di pekarangan rumahnya pada lebih kurang jam 4.00 petang. Beliau disambut bagaikan seorang wira dan pejuang keadilan dan rakyat oleh ribuan penyokong dan pengundinya. Beliau kemudiannya masuk berehat buat seketika. Program di Tokun bermula dengan ucapan sulung yang disampaikan oleh Pemangku Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh di mana Anwar pernah menjadi ketuanya.

YB Datuk Ahmad Saad yang menyampaikan ucapan ringkas sekali lagi merayu bagi pihak UMNO Bahagian dan para pengundi Parlimen Permatang Pauh kepada Perdana Menteri meminta beliau menimbangkan rayuan agar Anwar diterima balik sebagai ahli parti. Selepas itu, Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, YB Datuk Ahmad Ismail, pula menyampaikan ucapannya. Beliau turut menyatakan pendirian yang sama.

Pada tepat pukul 5.38 petang, barulah Anwar muncul menyampaikan ucapannya dan ternyata beliau amat terharu dengan sokongan rakyat walaupun dirinya memjadi mangsa tohmahan. "Sejak dulu sampai sekarang, saya belum pernah menyaksikan sokongan yang begitu padu daripada rakyat jelata…nyatalah pangkat dan wang ringgit tidak ada makna sekiranya rakyat membenci kita," ujarnya.

Anwar pun selepas itu mengumumkan Perisytiharan Permatang Pauh yang merupakan piagam rasmi Gerakan Reformasi Rakyat yang antara lain beriltizam untuk memperjuangkan keadilan, mendaulatkan kuasa rakyat, mempertahankan keadilan ekonomi, membanteras rasuah, memperkukuh jatidiri dan semangat keterbukaan dan berazam untuk mengerakkan reformasi ini secara aman dan bernafaskan prinsip pemerintahan undang-undang.

 

SERATUS RIBU SAMBUT ANWAR DI KEDAH

Sejurus selepas Maghrib, rombongan Anwar berlepas ke Pondong Derang, dekat Alor Setar di mana beribu orang sanggup berjalan kaki sejauh lebih tiga kilometer dari tempat mereka meletakkan kereta untuk mendengar ucapan Anwar. Lebih 100,000 orang membanjiri pondok berkenaan termasuk sebahagian besarnya pengikut Pas dan mereka yang tidak berparti.

Jalan menuju ke pondok berkenaan penuh sesak dengan manusia dan salah seorang penjual air memberitahu, kereta sudah tidak dapat meneruskan perjalanan pada jarak satu kilometer dari tempat ceramah.

Malah ramai juga yang hampa kerana mereka tidak dapat lagi bergerak ke hadapan pada jarak 1,000 meter dari tempat ceramah dek kerana terlalu ramai manusia yang berhimpit-himpit untuk menuju lebih dekat dengan pentas.

Walaupun kepenatan dan dengan suara yang semakin serak, Anwar kembali menjadi bersemangat apabila menyaksikan beribu orang sanggup datang dari jauh semata-mata untuk mendengar penjelasannya.

BERTEMU RAKYAT TETAP DITERUSKAN WALAU PROGRAM DIBATALKAN

Anwar yang bermalam di kediamannya di Tokun kembali ke Ibu kota pada sebelah tengah hari Ahad dan beberapa jam selepas merehatkan badan dan minda, beliau pun bersiapsedia untuk kembali turun ke padang bertemu rakyat – kali ini di Ayer Keroh, Melaka.

Program di Melaka sebenarnya ialah program penutupan Karnival Pendidikan Teknologi tetapi menjelang Maghrib, pihak berkuasa Tapak Ekspo Ayer Keroh memaklumkan kepada orang-ramai, majlis penutupan yang sepatutnya disempurnakan oleh Anwar terpaksa dibatalkan atas sebab-sebab yang tidak dimaklumkan.

Pada ketika ini, salah seorang staf Gerakan Reformasi telah menelefon Anwar memaklumkan pembatalan itu. Namun Anwar menegaskan bahawa beliau dimaklumkan program tersebut tidak dibatalkan dan akan tetap turun ke Melaka. Ternyata keputusannya itu tidak silap. Walaupun benar program itu kemudiannya dibatalkan juga, tetapi kehadirannya tidak menghampakan lebih 50,000 orang yang membanjiri tapak ekspo itu walaupun lampu jalan dan dewan telah dipadamkan.. Mereka masih tidak berganjak walau dalam kegelapan.

Jika Anwar yang tiba jam 9.00 malam membuat keputusan untuk membatalkan perjalanannya ke Melaka, sudah tentulah ini akan menghampakan rakyat yang telah sedia menanti kedatangannya, Benar sungguh, kenderaan yang membawanya telah diserbu oleh rakyat Melaka di pintu masuk ke tapak ekspo itu sehingga menyebabkan ia tidak dapat bergerak ke hadapan lagi. Hanya beberapa minit kemudian barulah mereka dapat bergerak lebih jauh ke hadapan sehingga ke jalan menuju ke tempat letak kereta Dewan Hang Jebat di mana majlis rasmi berkenaan sepatutnya berlangsung.

Untuk tidak menghampakan mereka yang hadir, Anwar terus menyampaikan ucapannya dan selepas itu diikuti penjelasan ringkas isterinya yang telah bertemu dengan Datin Seri Dr. Siti Hasmah Mohd Ali pada hari suaminya dipecat dari kerajaan. Anwar dengan lebih bersemangat berucap menggunakan alat pembesar suara dari bumbung pacuan empat roda yang membawanya dengan Wan Azizah.

Malah rakyat Melaka enggan membenarkan beliau berhenti berucap walaupun selepas sejam menerangkan sebab-sebab mengapa beliau dipecat dari UMNO dan Kerajaan.

Di pertengahan ucapannya, beliau telah didatangi oleh Timbalan Ketua Polis Negeri Melaka yang bertanyakan permit untuk beliau berucap di situ. Anwar dengan senyuman manis memaklumkan bahawa bersama-samanya terdapat sepucuk surat yang ditandatangani oleh pihak polis Melaka yang mengesahkan bahawa beliau tidak memerlukan permit polis sekiranya datang untuk merasmikan majlis penutup program tersebut.

Malangnya kata Anwar setibanya di sini, beliau dapati dewan telah menjadi gelap dan majlis itu dibatalkan oleh pihak berkuasa tapak ekspo tanpa notis awal. Soal orang ramai yang berkumpul di situ, Anwar menegaskan mereka pada mulanya datang untuk menghadiri program penutup itu tetapi apabila tidak dibenarkan memasuki pekarangan dewan, orang-ramai tidak mempunyai pilihan melainkan menunggu kedatangannya di luar dewan.

Hanya menjelang jam 11.15 malam, barulah Anwar dapat beredar dari situ.

Dan mereka yang menunggunya sejak awal malam tadi pulang dengan wajah yang jelas dan puas kerana hari ini mereka telah mendengar dengan kepala telinga mereka sendiri penjelasan daripada orang yang selama ini mereka ragui selepas membaca mengenainya dalam dada-dada akhbar sahaja.

Dan malam ini (Isnin 14 September) seperti biasa Anwar akan berada di Bukit Damansara menanti kedatangan rakyat yang tidak dipaksa mahupun diupah untuk datang tetapi tetap bertandang atas rasa prihatin dan semangat reformasi.

END