ISA terhadap perusuh -- Jika perhimpunan haram timbulkan huru-hara di Parlimen hari ini

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Polis tidak menolak kemungkinan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan tindakan lebih tegas terhadap penganjur serta orang ramai yang menyertai perhimpunan haram sekiranya berlaku huru-hara yang mengancam keselamatan negara semasa sesi pembentangan belanjawan negara 1999 esok.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Kamaruddin Md. Ali ketika memberi amaran itu berkata, tindakan tegas perlu diambil terhadap mereka yang kini bertindak semakin 'garang'.

Katanya, polis telah mengenal pasti mereka yang menganjurkan perhimpunan haram di ibu negara sejak 28 September lalu termasuk yang terakhir sekali pada Sabtu lalu.

Perhimpunan seumpama itu dijangka terus diadakan dan terdapat desas-desus yang mengajak orang ramai berhimpun di hadapan bangunan Parlimen esok sambil membawa lastik, batu dan bom api.

Golongan tertentu juga mengedarkan risalah secara meluas dan menerusi Internet memujuk orang ramai menyertai gerakan reformasi dengan berhimpun di Masjid Negara dan berarak ke Parlimen esok.

Selain perhimpunan di Parlimen esok, para penyokong Anwar turut merancang meneruskan perhimpunan haram 'mingguan' mereka di Jalan Tuanku Abdul Rahman Sabtu ini, yang meminta orang ramai datang membawa ''tuala kecil, sedikit minyak tanah dan botol.''

Kamaruddin berkata, polis mendapat maklumat ura-ura mengenai perhimpunan haram yang akan diadakan sempena pembentangan belanjawan negara di Parlimen, esok dan Sabtu ini - memaksa pihaknya membuat persiapan keselamatan yang lebih rapi.

''Saya ingin tegaskan bahawa polis tidak akan bertolak-ansur dan jika perlu akan menggunakan ISA terhadap penganjur terbabit.

''Orang ramai juga diminta agar tidak terpengaruh dengan risalah-risalah yang disebarkan dan menghindarkan diri daripada terlibat kerana polis tidak mengeluarkan sebarang permit untuk perhimpunan yang digembar-gemburkan itu.

''Mereka hendaklah menghormati dan jangan mengganggu-gugat perjalanan sidang Parlimen,'' katanya kepada Utusan hari ini.

Kamaruddin berkata, mereka yang masih terlibat dan enggan bersurai dalam mana-mana perhimpunan haram berkemungkinan ditahan mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Bagaimanapun, kata beliau, penganjurnya pula akan dikenakan tindakan yang lebih berat sesuai dengan peranan mereka.

''Kita akan meningkatkan kawalan di sekitar kawasan terlibat dan kalau keadaan mendesak beberapa batang jalan akan ditutup,'' jelasnya.

Sejak 28 September, beberapa perhimpunan haram yang tidak diketahui penganjurnya itu diberikan pelbagai nama seperti Perhimpunan Sejuta Reformasi, Perhimpunan Rintihan Rakyat Kepada Raja-raja, Berhimpun Menuntut Keadilan dan Perhimpunan Susulan Sejuta Reformasi, Sabtu lalu.

Semasa perhimpunan Sejuta Reformasi 10 Oktober lalu, kanak-kanak dan wanita telah digunakan sebagai perisai untuk mengelak penunjuk perasaan daripada tindakan polis.

Perhimpunan-perhimpunan itu yang seolah-olah menjadi aktiviti tetap mingguan menimbulkan kebimbangan di kalangan warga kota terutama peniaga di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Dataran Merdeka.

Mereka kecewa dengan tindakan para penyokong Anwar yang masih berdegil itu kerana ia bukan sahaja disifatkan memburukkan lagi keadaan tetapi turut menyusahkan orang ramai selain menjejaskan punca rezeki mereka.

Semalam, sebanyak 128 daripada 136 orang yang mengingkari perintah bersurai oleh polis dalam perhimpunan haram 17 Oktober lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini.

Seorang daripada kumpulan itu, Omar Marny didenda RM2,000 atau penjara sebulan manakala selebihnya mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu.

Majistret Muzalmah Mustapha Kamal membenarkan mereka masing-masing diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu perbicaraan serentak 2 Mei tahun depan.

Kamaruddin berkata, polis akan mengambil tindakan yang sesuai dengan keadaan untuk menyuraikan orang ramai sekiranya terdapat perhimpunan haram esok.

''Bagaimanapun, saya berharap tindakan mahkamah semalam dapat menyedarkan orang ramai sekali gus mengurangkan penglibatan mereka dalam perhimpunan haram di ibu negara,'' tegasnya.

Sehingga ini, empat orang lagi masih ditahan di bawah ISA ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, 2 September lalu.

Mereka ialah bekas Ketua Pemuda UMNO Negeri Sembilan, Ruslan Kassim, Presiden Jemaah Islah (JIM) Saari Sungib, seorang peguam Zulkifli Nordin dan Abdul Malek Hussein.

Oleh: MOHD. RADZI MOHD. ZIN