ANWAR LANTIK RAKYAT JURUCAKAP RASMI

Oleh WARTAWAN REFORMASI

KUALA LUMPUR 15 Sept. --- Rakyat jelata daripada kalangan pemandu teksi sehingga ke petani hari ini dilantik secara rasmi oleh pejuang Gerakan Reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai jurucakap reformasi.

Pelantikan ini diumumkan Anwar ketika berucap di hadapan rakyat di kampung asalnya di Cherok Tokun serta ceramah umum di Pondok Derang, Kedah Sabtu lalu dan yang terbaru di Ayer Keroh, Melaka, Ahad lalu.

Anwar menegaskan, selepas beliau kehilangan kuasa, terdapat satu perkara yang telah menyedarkannya. Perkara itu ialah, yang berani ke hadapan dan menyatakan sokongan mereka secara terang-terang bukanlah pemimpin-pemimpin besar dalam UMNO dahulu tetapi rakyat jelata dari pelbagai lapisan masyarakat.

Mereka, katanya bukan sahaja berani ke hadapan malah bersedia menyumbangkan tenaga secara sukarela yang prihatin kepada tuntutan gerakan reformasi.

"Saya sungguh terharu dan ia lantas menginsafkan saya bahawa pangkat, kuasa dan wang ringgit tiada ertinya jika seluruh rakyat membenci dan menolak pemimpin mereka. Oleh itu, saya ingin mengumumkan di sini bahawa saya dengan ini secara rasminya melantik semua pemandu teksi, buruh, petani, pekerja dan rakyat jelata tanpa mengira parti dan bangsa mereka sebagai jurucakap rasmi reformasi.

"Nyatakanlah dan sebarkanlah kebenaran dan keadilan untuk masa depan negara ini," tegasnya lagi.

Kata Anwar lagi, beliau kecewa kerana rakan-rakan seperjuangannya dalam UMNO dahalu terutama mereka yang berkedudukan dalam kerajaan takut untuk tampil ke hadapan menyatakan kebenaran dan menuntut keadilan. "Malah nak telefon tanya khabar pun dah tak mampu lagi."

Namun begitu beliau memahami perasaan mereka cuma kata Anwar janganlah memilih untuk berdebat dengannya melalui media seolah-olah mereka tidak pernah mengenali dirinya sepanjang 16 tahun berkhidmat dalam parti dan kerajaan.

TAMAT.