Anwar di mahkamah dalam keadaan seperti telah disiksa

Terjemahan lapuran AFP

KUALA LUMPUR, 29 Sept – Bekas Timbalan Perdana Menteri Dato Seri Anwar Ibrahim, dengan sebelah matanya yang bengkak dan sebelah tangannya cedera, telah dihadapkan di mahkamah pada hari Selasa dengan beberapa tuduhan berthabit rasuah dan seks.

Itu lah kali pertama ia dilihat sejak ditahan pada 20 haribulan September.

Ia menyatakan kebersihannya dari kesemua tujuh tuduhan, ya’ni empat tuduhan mengenai rasuah dan tiga mengenai seks. Ia juga mengadu bahawa ia telah dipukul sehingga hampir pengsan pada malam pertama dalam tahanan. Mata sebelah kirinya kelihatan bengkak dan tanggan kanannya kelihatan cedera.

Mahkamah menolak permintaan mengikat jamin setelah berbicara selama empat jam, tetapi membenarkan doktor mata merawati Anwar. Ia dijangka dihadapkan besok di sebuah mahkamah yang lain.

Anwar, yang telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri yang memungkin sesaorang dipenjara selama-lamanya tanpa pembicaraan, dibenarkan oleh mahkamah untuk menyatakan betapa ia telah disiksa semasa ditahan di ibupejabat polis persekutuan di Bukit Aman.

Ia berkata polis telah memukulnya "dengan teruk, menyebabkan kecederaan yang berat" hingga ia "boleh dikatakan pengsan sehingga pagi esoknya."

"Mata saya ditutup oleh ‘blindfold’ dan saya digari. Apabila sampai ke lokap, ikatan ‘blindfold’ dan gari dibuka tetapi dikenakan kembali sejurus kemudian," ia memberitahu sidang mahkamah.

"Saya ditumbuk dengan kuat sekali di bahagian dagu dan di mata sebelah kiri. Saya juga menerima tumbukan di kepala dari arah kanan dan mereka memukul saya dengan kuatnya di bahagian leher dari arah kiri."

"Kemudian saya ditempeleng kiri dan kanan dengan begitu kuat hingga darah mengalir dari hidung dan kedua bibir saya pecah. Akibat dari ini, saya tidak boleh melihat dan berjalan seperti biasa."

Pada hari ketiga ia ditahan, Anwar telah diubah ke tempat penahanan seorang diri dan pada hari kelima barulah ia dibenarkan diperiksa oleh seorang doktor berbangsa India, yang memberikan ubat kepadanya.

Puan hakim Asmah Mohamad Hashim berkata kes Anwar akan dipindah ke Mahkamah Tinggi.

Anwar, yang kelihatan lebih kurus dari biasa, duduk di atas bangku di mahkamah kecil itu di hadapan dua orang mata-mata. Ia dibenarkan memeluk insterinya, Wan Azizah Wan Ismail, dan dua orang anaknya. Ia juga telah bercakap bersama ibunya melalui talipon bimbit.

Sebelum dibawa ke tempat tahanan, Anwar sempat memberitahu pemberita mengenai penyiksaan terhadapnya semasa ditahan.

"Saya fikir mereka membuat begitu sebagai menyatakan bahawa saya harus bekerjasama," ia berkata. "Penyiksaan telah berhenti buat sekarang."

Anwar berkata ia dimasukkan ke dalam bilik gelap dan "dibawa kesana sini dari tempat penyembunyian sulit." Tetapi dengan tegas ia menambah bahawa ia telah menjadi "lebih yakin tentang perlunya perubahan dan betapa kita mesti terus berjuang."

"Saya dalam keadaan bersemangat," ia berkata.

Semasa Anwar di dalam mahkamah, lebih kurang 200 anggota polis anti-rusuhan dan berpuluh-puluh polis berpakaian awam terpacak di luar. Walau bagaiman pun, tidak ada lapuran baru mengenai apa apa kekacauan.

Sebelum ini, beribu-ribu orang telah turun beberapa kali intuk menunjuk penyokongan terhadap Anwar dan menyahut seruannya kearah pembaharuan dalam tatacara politik dan, dengan itu, menguatkan tentangan terhadap Dr. Mahathir Muhammad, yang kini telah memerintah selama 17 tahun.

Beberapa tunjuk perasaan telah dihentikan oleh pihak polis dengan cara yang mengerikan. Mereka telah menangkap beberapa orang rakan Anwar dan juga telah mengharamkan Wan Azizah dari berucap di khalayak ramai.

Pada hari Isnin, anggota-anggota polis yang menghayun cota telah menangkap ketua sebuah kumpulan pembangkang dan beberapa peserta tunjuk perasaan di Kuala Lumpur.

Kira-kira 50 anggota polis anti-rusuhan dan 200 pegawai berpakaian awam memukul beberapa orang penunjuk perasaan sementara memecahkan perhimpunan sebanyak lebih kurang 3,000 orang itu. Menurut beberapa orang pemberita dan jurugambar yang berada di tempat kejadian, pihak polis menggunakan sejenis penjolok electrik untuk menyiksa mereka yang ditangkap.

Antara yang ditahan ialah Tian Chua, ahli SUARAM yang juga mengetuai kumpulan GERAK.

GERAK adalah antara dua kumpulan yang dibentuk Ahad lepas untuk membela nasib rakyat dan menjuang ke arah islah dan pembaharuan.

TAMAT