Make your own free website on Tripod.com

Anwar Dipecat Dari UMNO

Lengkaplah Sebuah Konspirasi

 Kuala Lumpur Jumaat - Pemecatan YAB. Dato' Seri Anwar Ibrahim secara sebulat suara oleh Majlis Tertinggi UMNO malam tadi disifatkan sebagai langkah akhiran sebuah konspirasi terancang untuk menjatuhkan beliau.

Menurut kenyataan rasmi YAB. Presiden UMNO, MT secara 'musyawarah' telah memutuskan untuk memecat Anwar. Kaedah pemecatan itu dilihat sebagai bukti bahawa segala-galanya sudah dirancang dengan begitu rapi. Suara Mahasiswa difahamkan bahawa jika pengundian dibuat besar kemungkinan keputusan memecat Anwar adalah tidak sebulat suara. Justeru, MT yang umu mengetahui majoriti ahlinya tidak menyenangi Anwar bertindak untuk memilih konsensus supaya keputusan sebulat suara dapat dicapai.

Terdahulu daripada itu, Dato' Seri Anwar telah mengadakan sidang akhbar di kediamannya di Bukit Damansara. Walau bagaimanapun, sesi yang berlarutan sehingga satu setengah jam itu hanya disiarkan kurang dari tiga minit sahaja semasa berita perdana di siaran-siaran nasional.

Ini jelas menunjukkan sikap berat sebelah media tempatan yang tidak memberi ruang kepada Dato' Seri Anwar membela diri.

Dato' Seri Anwar berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak akan meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO walaupun ditekan dengan segala cara kerana beliau dipilih secara sah oleh perwakilan. Beliau juga telah mendedahkan bagaimana sebuah konspirasi yang begitu terancang dan didalangi oleh 'very very important people' yang rapat dengan Dr. Mahathir secara berterusan memfitnah beliau.

(Suara Mahasiswa akan menyiarkan kandungan sidang akhbar tersebut di dalam keluaran-keluaran akan datang)

Dato' Seri Anwar juga telah mempersoalkan prinsip keadilan yang kononnya diamalkan oleh pimpinan Dr Mahathir apabila Timbalan Perdana Menteri sendiri boleh dianiaya sedemikian rupa; apatah lagi rakyat terbanyak. Baliau telah meminta penyokongnya dan gerakan mahasiswa untuk bertindak biak dan tidak melanggar undang-undang.

 

Menurut beliau lagi, beliau juga mempunyai bukti bagaimana nama baik beliau telah dicemari secara terancang. Beliau menyatakan bahawa perjuangan sekarang adalah perjuangan untuk menegakkan keadilan dan kebenaran semata-mata. - SM

 Media DiBoikot

Kuala Lumpur Khamis - Pergerakan mahasiswa telah memutuskan untuk memboikot media cetak dan elektronik tempatan yang secara nyata tidak demokratik, berat sebelah dan tidak profesional.

Acara simbolik membuang akhbar-akhbar akan diteruskan dari semasa ke semasa sehinggalah media tempatan melakukan reformasi untuk memulihkan kredibilitinya - SM