Make your own free website on Tripod.com

JEMAAH KAMPUNG BARU

ENGGAN BENARKAN ANWAR PERGI

Oleh ROZAID A. RAHMAN

(Yang Melaporkan Dari Kampung Baru, Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR 11 Sept. --- Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menunaikan sembahyang fardhu Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru hari ini telah diserbu oleh ribuan jemaah yang enggan membenarkan beliau meninggalkan pekarangan masjid itu selagi tidak menyampaikan ucapan.

Kehadirannya bersama bekas para pegawai dan sahabat-sahabatnya sejurus sebelum masuk waktu telah disambut dengan laungan "Allahu Akhbar" dan "Hidupkan Gerakan Reformasi" oleh orang-ramai yang berhimpun di luar masjid. Para jurugambar media asing dan tempatan yang seperti sudah menghidu akan kehadirannya di masjid itu awal-awal lagi sudah berkumpul di pintu masuk utama.

Kemudian sebaik sahaja selesai solat Jumaat, ribuan jemaah yang mula sedar akan kehadirannya telah menyerbu dan enggan membenarkan beliau meninggalkan kawasan masjid selagi tidak menyampaikan ucapan.

Anwar yang pada mulanya mahu meninggalkan kawasan masjid dengan segera terpaksa menenangkan para jemaah dan menyeru mereka supaya tidak menolak. Beliau masuk kembali ke dalam kawasan masjid selepas berdiri selama lima minit di muka pintu yang telahpun dipenuhi dengan ratusan jemaah.

Oleh kerana tidak dapat keluar, beliau beredar semula ke dalam masjid dan tiga minit kemudian menyampaikan ucapannya. Dengan suara yang serak ekoran ucapan berapi-api selama lebih tiga jam di hadapan 30,000 hadirin di kediamannya semalam, Anwar memulakan ucapan di sini dengan mengimbau kembali kenangan nostalgik di masjid ini sejak era pelajar lagi. Di sinilah katanya beliau sering berhimpun dan menyampaikan ucapannya sebagai pemimpin pelajar.

"Saudara-saudara, sejak saya dipecat 2 September lalu, saya dapati sokongan moral rakyat bukannya berkurangan tapi kian bertambah. Dari lima ribu kepada sepuluh ribu dan semalam rakan-rakan menganggarkannya tiga puluh ribu orang.

"Saya sendiri tidak faham mengapakah saya ditakuti sehingga dipecat dari parti dan kerajaan tetapi akhirnya saya dapati bahawa saya harus mempertahankan keadilan dan membersihkan diri saya dari fitnah kerana kita semua mendokong prinsip moral yang tinggi.

"Kita juga harus menegakkan keadilan kerana kita mempertahankan para ulama kita…kita harus menegakkan keadilan kerana kita tidak mahu dihina…kita mahu menegakkan keadilan supaya ekonomi negara kita tidak dibolot oleh dua atau tiga kerat manusia dan tidak bongkak dengan mahligai besar…," tegas Anwar diikuti oleh laungan "Hidupkan Reformasi".

Sebab itulah kata Anwar, beliau melancarkan gerakan reformasi. Beliau juga menjelaskan mengapakah beliau dipecat tanpa dibicara. "Saya dipecat atas fitnah dan perencanaan jahat pihak-pihak tertentu dalam parti, kerajaan dan korporat," katanya.

"Kenapa aib dan pecat saya? Dan kenapa tidak mendakwa saya sahaja jika benar saya melakukan kesalahan moral dan rasuah? Ini kerana mereka tidak ada bukti untuk bertindak demikian dan mungkin juga sedang berusaha keras untuk mencari bukti," jelas Anwar lagi. Beliau juga memberitahu para jemaah, untuk mengadakan juga bukti, pihak-pihak tertentu mencari wanita yang sanggup mengaku mengadakan hubungan seks dengannya.

Dan amat malang sungguh kerana beliau terlebih dahulu diadili oleh media dan akhbar sebelum mahkamah undang-undang membicarakan kebenaran. "Apakah saya telah dinafikan keadilan dan kebenaran?’’ ujarnya.

Ucapannya itu terhenti seketika apabila seorang jemaah masjid membawa alat pembesar suara dan pada waktu itu boleh dikatakan semua orang masuk semula ke dalam masjid. Bagaimanapun untuk tidak menganggu mereka yang hendak menunaikan solat sunat, Anwar menggesa orang-ramai memberi laluan kepadanya untuk bergerak ke pekarangan masjid semula.

Dari situ beliau meneruskan ucapannya. "Sebab itulah rakyat perlu faham apakah yang dimaksudkan dengan gerakan reformasi. Walaupun suara saya dihalang dan walaupun mungkin saya ditahan atau dihukum sebagai pengkhianat, saya mahu adik-adik dan abang-abang meneruskan suara reformasi saya untuk masa depan agama, negara dan bangsa." ujarnya.

Jelas Anwar, mereka boleh merancang pelbagai konspirasi dan komplot tetapi beliau serahkan kepada Allah kerana Allah ada perancanganNya dan yang akhirnya akan terbongkar ialah perancangan dan perencanaan Allah. Kata Anwar, beliau meminta sokongan rakyat bukan kerana ketagih hendak menjadi Timbalan Perdana Menteri semula tetapi "saya mahu teruskan dengan reformasi rakyat kerana masanya telah tiba untuk kita semua melancarkan gerakan ini".

"Saya juga ingin memberitahu saudara-saudara bahawa perjuangan ini akan saya teruskan walaupun saya dihina oleh rakan-rakan saya sendiri dan juga pihak akhbar. Saya mungkin boleh dihukum mati atas dakwaan mengkhianat. InsyaAllah moga-moga tuhan tidak tiupkan rasa takut untuk mati kepada saya kerana jika Anwar Ibrahim pergi saya yakin akan muncul seribu lagi Anwar di bumi Malaysia ini," tegas beliau dengan penuh semangat. END.