Lelaman pro-Anwar sebar amaran

Pesanan Internet seru penyokong usah 'terperangkap' semasa ketiadaan Dr M

KUALA LUMPUR, Okt 16 -- Para penyokong mantan Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam diberi amaran supaya jangan "terperangkap" oleh beberapa helah semasa ketiadaan Perdana Menteri yang sedang melakukan lawatan rasmi lima hari ke Jepun.

Amaran melalui Internet di lelaman yang menyokong Datuk Seri Anwar itu ekoran lawatan Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad ke Tokyo mulai kelmarin.

Dua hari sebelum itu, Dr Mahathir membayangkan adanya "kumpulan tertentu" yang cuba mencetuskan "huru-hara" kerana mahu "berkuasa dengan mengadakan rusuhan dan mendapatkan keadilan melalui demonstrasi di jalan-jalan raya".

Kumpulan yang dimaksudkan itu ialah Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak), sebuah perikatan yang dibentuk tiga parti pembangkang dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bulan lalu.

Amaran itu menyebut bahawa satu lagi tunjuk perasaan besar-besaran akan diadakan esok, seperti yang berlaku minggu lalu di mana 10,000 orang penyokong Datuk Seri Anwar berhimpun di pusat bandar.

Perhimpunan selama lima jam itu, yang disertai oleh sekumpulan wanita dan kanak-kanak, telah disuraikan secara aman.

"Polis mungkin telah diarahkan supaya menggunakan apa juga cara bagi mewujudkan keadaan yang boleh membawa kepada huru-hara," ujar amaran itu.

"Memang itulah kebiasa an Dr Mahathir yang selalunya berada di luar negara apabila sesuatu masalah berlaku (dalam negeri)," kata amaran itu lagi.

"Mungkin ada di antara kita yang masih ingat tragedi di Baling, Memali. Arahan supaya menyerang orang-orang yang tidak berdaya untuk melawan telah ditandatangani oleh Dr Mahathir sendiri tetapi ketika tragedi itu, beliau berada di China. Dengan demikian, beliau mudah saja mengelak daripada dipersalahkan."

Tragedi di Kedah itu berlaku pada 19 November 1985 di mana 18 orang, termasuk empat anggota polis, terbunuh apabila sebuah kumpulan pelampau Islam mencabar para anggota pasukan keselamatan.

Ketika itu, Datuk Musa Hitam selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri memangku jawatan Perdana Menteri semasa ketiadaan Dr Mahathir.

"Semoga peristiwa seperti itu tidak berulang," kata amaran dalam Internet itu. -- AFP.