ANWAR JELASKAN KENAPA

BELIAU MELAYANI MEDIA ASING

KUALA LUMPUR 15 Sept. --- Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau tidak mempunyai pilihan melainkan melayani permintaan media-media asing kerana mereka sanggup menyiarkan berita mengenai pembelaan dirinya daripada segala dakwaan salah laku dan rendah moral yang dilemparkan secara bertubi-tubi oleh media tempatan.

Kata Anwar, pemimpin-pemimpin UMNO dan kerajaan tidak boleh menyalahkannya kerana memberi layanan dan tempat kepada media asing kerana "media tempatan telah menutup pintu mereka kepada saya".

"Saya tidak ada tempat lain untuk mempertahankan diri saya daripada serangan bertubi-tubi yang dilakukan oleh media-media tempatan. Jadi apabila ada media yang mahu dan bersedia menyiarkan kenyataan dan berita dari kacamata saya sendiri sebagai seorang yang tidak diberi keadilan dalam mempertahankan diri maka sesiapapun tidak layak mempertikaikannya," tegas beliau ketika berucap di perjumpaan dengan rakyat di kediaman asalnya dekat Permatang Pauh, Sabtu lalu.

Anwar menjelaskan bukanlah niat beliau untuk mempertikaikan kewibawaan media tempatan mahupun para wartawan yang membuat liputan ke atas isunya. Bagaimanapun beliau cuma meminta agar dirinya diberi keadilan yang sewajarnya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu menegaskan bahawa dirinya telah terlebih dahulu diadili oleh media tempatan sebelum mahkamah undang-undang memutuskan sama ada beliau bersalah.

Contoh yang paling jelas ialah sewaktu pihak polis dan Jabatan Peguam Negara mengemukakan afidavit mengenai kes Dato Nalla di mana salinannya telah diperolehi oleh pihak media dan disiarkan dengan meluas seolah-olah satu pertuduhan dan dakwaan rasmi telahpun dilakukan ke atas Anwar.

Sedangkan afidavit itu bukanlah satu dokumen umum sebaliknya ia adalah untuk penelitian dan pertimbangan mahkamah dan hakim. TAMAT.