Make your own free website on Tripod.com
Berita Harian
Jumaat 9 Oktober 1998 18 Jamadilakhir 1419

Umno kemas kini jentera penerangan

BINCANG... Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad dan Setiausaha Agung Umno, Datuk Sabbaruddin Chik membincangkan sesuatu pada majlis Taklimat Penerangan dan Sesi Bersama Perdana Menteri di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Naib Presiden Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

KUALA LUMPUR, Khamis - Jawatankuasa Penerangan Umno bahagian diminta mengemaskinikan jentera bagi menjelaskan kepada ahli mengenai masalah ekonomi dan politik yang dihadapi sekarang.

Serentak itu, Ketua Penerangan Umno, Datuk Dr Yusof Nor, berkata penerangan yang baik penting bagi memastikan ahli faham masalah semasa, selain menjaga kepentingan semua pihak dan mengelak perpecahan.

"Bahagian perlu mengemas kini jentera penerangan supaya lebih berkesan bagi menghadapi cabaran semasa kerana kita dapati masih ramai yang keliru," katanya kepada pemberita selepas majlis talimat penerangan dan Sesi Bersama Perdana Menteri, di sini hari.

Pada majlis itu, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad yang juga Presiden parti, memberi taklimat tertutup kepada peserta selama kira-kira sejam.

Yusof berkata, majlis itu diadakan selaras keputusan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) parti minggu lalu supaya jentera penerangan Umno bahagian menghadiri kursus khas.

Pada majlis itu juga, katanya, peserta kursus memberi sokongan padu kepada Dr Mahathir dan meminta beliau terus memimpin negara.

Menurutnya, kepemimpinan Perdana Menteri masih diperlukan untuk menghadapi cabaran dan tindakan tidak bertanggungjawab parti pembangkang yang cuba mengambil kesempatan dengan menubuhkan Gerakan Keadilan Rakyat (Gerak).

Yusof berkata, dalam taklimat itu Dr Mahathir menerangkan mengenai isu penting perjuangan dan maruah bangsa serta gerakan parti pembangkang menggunkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan sokongan.

"Presiden parti mengharapkan setiap anggota jawatankuasa penerangan mempunyai komitmen tinggi supaya kepentingan parti sentiasa terpelihara dan tidak ada perpecahan berlaku," katanya.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Ekonomi | Pusparia | Sukan ]