Berita Harian
Jumaat 9 Oktober 1998 18 Jamadilakhir 1419

Norian siasat dakwaan Anwar

KUALA LUMPUR, Khamis - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Norian Mai, berkata beliau akan menyiasat sendiri aduan peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa tidak dibenarkan berjumpa dengan anak guamnya itu.

Menurutnya, beliau akan mendapatkan penjelasan daripada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes berkenaan esok.

Bagaimanapun, katanya, polis akan membuat persiapan untuk membolehkan keluarga Anwar menemuinya.

Beliau mengulas kenyataan Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang mendakwa peguam Anwar tidak dibenarkan berjumpa dengan suaminya sejak dakwaan terhadap Anwar dilakukan pada 29 September lalu sehingga hari ini, kecuali sekali pada 5 Oktober lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Azizah juga mempersoalkan bagaimana peguam hendak menyediakan pembelaan jika tidak dibenarkan berjumpa dengan Anwar.

Dr Wan Azizah dilaporkan berkata, beliau dan anaknya juga tidak dibenarkan berjumpa dengan Anwar kerana dikatakan penyiasatan polis masih belum selesai.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Ekonomi | Pusparia | Sukan ]