Berita Harian
Jumaat 9 Oktober 1998 18 Jamadilakhir 1419

Burukkan kerajaan perbuatan derhaka: Hishamuddin

KUALA LUMPUR, Khamis - Pemangku Ketua Pemuda Umno, Datuk Hishamuddin Tun Hussain, menyifatkan tindakan bekas ahli Umno memburuk-burukkan kerajaan di luar negara sebagai perbuatan derhaka dan tidak boleh dimaafkan.

Menurutnya, tindakan mereka yang berkenaan, terutama tiga bekas pemimpin Pemuda Umno yang dipecat daripada parti baru-baru ini, adalah tindakan melampau.

"Saya tidak menyangka mereka, yang kami (Exco Pemuda) kenali sejak beberapa tahun lalu sanggup bertindak sejauh itu, buruk-burukkan negara dan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

"Tindakan mereka adalah sesuatu yang tidak boleh dimaafkan. Kita juga tidak tahu apa muslihat mereka sebenarnya," katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Ketiga-tiga bekas ahli Umno itu ialah bekas Penolong Setiausaha Pemuda Umno, Saifudin Nasution Ismail; bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Ezam Mohd Nor dan bekas Ketua Pemuda Pulau Pinang, Datuk Dr Abdul Rahim Ghouse.

Berdasarkan kenyataan akhbar yang difakskan kepada akhbar tempatan dan disebarkan menerusi Internet, Saifudin kini dipercayai berada di Bangkok, Thailand, manakala Dr Abdul Rahim dan Mohamad Ezam pula di Manila, Filipina.

Sebelum ini, Mohamad Ezam dikatakan berada di Jakarta, Indonesia, berdasarkan kenyataan akhbar yang dikeluarkannya.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka, ketiga-tiga bekas pemimpin Pemuda Umno itu menghentam kerajaan dan kepemimpinan Dr Mahathir dengan menggunakan bahasa yang tidak sopan.

Mereka juga dipercayai menggunakan strategi memburuk-burukkan kerajaan dan Dr Mahathir di Filipina, Indonesia dan Thailand, selain menggunakan akhbar di sana untuk menghentam kerajaan.

Hishamuddin berkata, tindakan itu jelas menunjukkan mereka tidak bertanggungjawab terhadap Malaysia yang mereka tinggalkan dan apa yang mereka lakukan lebih teruk berbanding parti pembangkang dalam negara.

Menurutnya, kenyataan yang dibuat oleh Saifudin, Dr Abdul Rahim dan Mohamad Ezam memberi perspektif negatif di kalangan masyarakat negara jiran yang tidak tahu keadaan sebenar di Malaysia.

"Tindakan mereka itu seperti menyogok media asing dalam usaha memburuk-burukkan negara di peringkat antarabangsa.

Sehubungan itu, katanya, Pemuda Umno melalui Majlis Hal Ehwal Antarabangsa yang diketuai Abdul Azim Mohd Zabidi sudah merangka dan menjalankan usaha memberi penerangan kepada masyarakat negara jiran melalui saluran yang sedia ada.

"Pemuda Umno akan mengadakan pertemuan dan berbincang dengan pertubuhan pemuda di negara jiran bagi menjelaskan keadaan dan kedudukan sebenar di negara ini.

"Saya sendiri akan memberi penerangan di peringkat negara-negara jiran melalui jemputan forum dan persidangan yang akan diadakan dalam tempoh terdekat," katanya.

Dalam perkembangan lain, Kedutaan Malaysia di Indonesia akan memerhatikan pergerakan rakyat Malaysia, termasuk tiga bekas ahli Umno yang dipercayai menjalankan kegiatan memburuk-burukkan kepemimpinan negara di sini.

Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Alias, berkata pemerhatian itu turut membabitkan laporan akhbar, jika ada rakyat Malaysia membuat kenyataan memburuk-burukkan kepemimpinan negara.

"Jika didapati ada rakyat Malaysia menjalankan kegiatan memburuk-burukkan kerajaan, termasuk menggunakan akhbar, kita akan melaporkannya kepada kerajaan Indonesia untuk memberhentikan kegiatan itu," katanya.

[ Muka Depan | Berita | Editorial | Ekonomi | Pusparia | Sukan ]