Make your own free website on Tripod.com
Berita Minggu Online

Norian Mai nafi lucut jawatan

KUALA TERENGGANU: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri

Norian Mai menafikan khabar angin dan laporan dalam Internet yang mendakwa beliau meletakkan jawatan kerana dikatakan tidak bersetuju dengan tindakan polis dalam mengendalikan isu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gerakan reformasi. Dalil bukan Norian yang letak jawatan

(kembali - return)

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Kesatuan Kakitangan Pentadbiran dan Awam Polis Semenanjung Malaysia (Pacsu) di sini, beliau berkata:

"Tidak ada apa yang saya hendak jelaskan (mengenai isu berkenaan). Jika saya tidak menyandang jawatan sekarang, masakan Pacsu menjemput saya untuk merasmikan mesyuarat mereka," katanya.

Beliau menasihatkan kepada pengguna Internet supaya jangan terus percaya dan menganggap benar segala berita yang dimasukkan.

Katanya, polis mempunyai unit khas yang dibentuk bagi meneliti berita disebar dalam Internet khususnya berkaitan kepentingan awam.

Norian juga menafikan polis terbabit dalam konspirasi politik untuk menjatuhkan Anwar.

"Tuduhan itu tidak berasas," katanya.

Beliau berkata, sebarang tindakan polis dalam keadaan sekarang adalah atas kepentingan keselamatan negara dan orang awam tanpa membelakangkan undang-undang.

Mengenai kecederaan dialami Anwar, beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan.

Katanya, polis sudah mendapat khidmat dua pakar forensik bagi memeriksa kecederaan yang dikatakan dialami Anwar.

Tindakan lanjut bergantung kepada hasil siasatan yang sedang dijalankan. Siasatan dijangka siap tidak lama lagi.

"Kita menjangkakan siasatan ini akan mengambil sedikit masa kerana membabitkan laporan pakar dan ia akan diserahkan kepada pihak berkenaan apabila penyiasatan selesai," katanya.

Norian juga meminta semua kakitangan awam dan anggota polis tidak membabitkan diri dalam sebarang kegiatan kumpulan reformasi.

Beliau berkata, kakitangan jabatan dan anggota polis perlu mengambil pendirian berkecuali dan tidak terbabit dalam kegiatan politik terutama ketika menjalankan tugas harian.

Beliau juga meminta kakitangan awam dan anggota polis tidak membincangkan isu berkenaan walaupun selepas bertugas untuk mengelakkan sebarang gambaran yang salah daripada masyarakat.

Di KUALA LUMPUR, ulama terkenal, Prof Datuk Harun Din menyangkal khabar angin kononnya beliau ditahan polis berhubung isu berkaitan Anwar.

Beliau berkata, khabar angin itu menyebabkan kediaman beliau dihujani pengunjung dan panggilan telefon dari pelbagai pihak bagi mendapatkan kepastian.

"Bukan rumah saya sahaja jadi tumpuan malah kebanyakan sahabat saya turut mendapat panggilan dari seluruh tanah air," katanya kepada pemberita di kediamannya di Darul Syifaq, Bangi di sini semalam.

Sambil berterima kasih kepada masyarakat kerana mengambil berat mengenai kesihatan dan keselamatannya, Dr Harun berkata beliau sihat dan tidak pernah ditahan polis.

"Pada pandangan saya, tiada sebab polis harus berbuat demikian kerana saya tidak melanggar sebarang peraturan dan undang-undang keselamatan," katanya.

Menurut Dr Harun, dalam usia yang sudah meningkat dan baru menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) di sini tidak mengizinkan beliau aktif dalam sebarang pergerakan fizikal.

"Doktor menasihati saya supaya menjaga kesihatan dengan mendapat rehat yang cukup dan menjalani rawatan rapi serta mematuhi program kesihatan sebelum pulih sepenuhnya," katanya.

Mengenai kedudukan Anwar, beliau berkata Anwar sudah diberi peluang untuk membela diri di mahkamah dan seterusnya proses pengadilan akan berjalan.

"Hal ini memberi suatu nafas lega kepada seluruh umat Islam dan warga Malaysia yang cintakan keadilan," katanya.

Harun juga berkata, menurut syariat Islam, seseorang yang mengetahui dirinya bersalah kerana melakukan zina atau liwat misalnya, sepatutnya mengaku bersalah, demikian juga sebaliknya.

"Bagaimanapun jika berlaku seseorang itu melakukan kesalahan (dosa) lalu ia terlepas daripada hukuman dunia, namun seksa di akhirat akan tetap menunggu untuk pembalasan," tambahnya.

Anwar tidak mengaku bersalah atas lima tuduhan meliwat lima lelaki iaitu Hairany Mohd Naffis, Azizan Abu Bakar, Dr Munawar Ahmad Anees, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja dan Mior Abdul Razak Yahya di Mahkamah Sesyen di sini dan di Petaling Jaya.

Anwar juga mengaku tidak bersalah atas lima tuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen pada 29 September lalu.

[ Hompej | Berita | Sukan | Rencana | Hiburan ]

kembali (return)