KENYATAAN AKHBAR ANWAR IBRAHIM

Berkaitan pengakuan Sukma dan Dr Munawar

Pada 19 Sept 1998

Dua peristiwa yang berbangkit di mahkamah hari ini, dengan kepantasan yang luar biasa, membuktikan apa yang saya tuduh selama ini ada konspirasi politik di peringkat tertinggi yang melibatkan Perdana Menteri sendiri, iaitu untuk membunuh karier politik saya dengan cara yang cukup ganas dan jahat.

Pertama harus saya jelaskan, ini fitnah jahat muncul dari pakatan khianat yang mahu memusnahkan pengaruh politik saya. Saya nafikan sekeras-kerasnya dan saya akan menentang sampai habis. Saya tidak berdosa, saya tidak terlibat, walaupun orang itu dipaksa membuat tuduhan, disuruh membuat kenyataan. Saya tidak bersalah dan saya dianiayai dan dikhianati dan malah diaibkan.

Saya tidak menyalahkan adik angkat saya, Sukma Darmawan dan rakan saya, Dr. Munawar Anees walaupun mereka membuat pengakuan, kerana Sukma Darmawan ditahan lebih dari 12 hari. Tidak dibenarkan keluarganya berjumpa, tidak dibenarkan peguam menemuinya. Beliau telah diugut, dipaksa dan pada hari ini bila di mahkamah, untuk melihat bapa saya pun beliau takut. Dan sebaik sahaja beliau angkat kening, melihat bapa saya disergah oleh pegawai polis. Zalim, zalim.

Saya faham dalam keadaan jiwa tertekan, tuduhan-tuduhan dibuat, Dr Munawar Anees dituduh melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri digunakan oleh Dr. Mahathir untuk membunuh musuh politik beliau, bukan untuk keamanan negara. Percayalah, beliau sekarang sudah takut dan gusar kerana rakyat mahu menentang beliau. Yang mampu beliau gunakan tidak berapa kerat konspirator di kalangan polis, yang bekerja semata-mata untuk memenangkan Dr Mahathir secara tipu helah, secara penekanan, secara menderitakan rakyat terbanyak. Saya akan terus melawan kenyataan ini.

ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) untuk menjaga keselamatan negara. Ini ditangkap Dr Munawar, guna ISA….Dia takut hukum gantung. Kalau dia takut hukum gantung, mengaku salah ini, denda 6 bulan. Di antara 6 bulan dengan hukum gantung, dia pilih 6 bulan. Ini cara mereka tapi gunakan ISA. Kes Dato’ Nallakaruppan sampai hari ini belum selesai. Sebab apa? Dia takut orang-orang ini dikeluarkan. Sebab itu, tangkap, gertak, bawa mahkamah, jangan bagi jumpa peguam. Kemudian polis pula ambil peguam polis, suruh peguam itu jumpa keluarga tertuduh, mengaku salah kemudian di mahkamah sendiri tidak dibenarkan jumpa keluarga.

Jadi nampaknya ada satu kecenderungan dalam sistem negara kita di bawah Perdana Menteri sekarang, semata-mata untuk pertahankan kuasanya. Dia akan buat apa sahaja. Kalau benar tuduhan yang dahulu saya rendah moral, dipecat. Tuduhan ini tuduhan baru selepas saya dipecat, baru ditangkap orang yang direka cerita-cerita baru. Sebab itu percayalah tiap dua hari sekali ada orang yang akan dihadapkan ke mahkamah. Stail terrorist, stail gestapo, ala Mahathir!

Tapi memang tujuannya mengaibkan. Isteri saya dan anak-anak, keluarga saya tentu sedih hari ini kerana saya dituduh begitu jahat dan khianat yang dilakukan oleh orang yang dianggap diri dia pemimpin besar negara. Boleh saudara bayangkan sampai sanak keluarga, bapa saya tunggu di mahkamah hendak jumpa dan bertanya khabar pun tak boleh. Hakim pun kata boleh jumpa selepas ini. Lepas itu ditutup sahaja pintu dan ditarik keluar, tak sempat pun jumpa.

Itulah sebabnya mengapa saya katakan kita perlukan reformasi. Reformasi undang-undang, reformasi sistem keadilan, reformasi untuk menjamin kebenaran dan keadilan negara ini.

Sebenarnya mereka mulai takut kerana kuasa polis di tangan Menteri Dalam Negeri iaitu Perdana Menteri. Sebab itu kadang-kadang saya aneh kerana tindakan-tindakan yang mereka ambil itu sesudah pemecatan dibuat. Maknanya, semasa pemecatan dibuat dia tidak ada kes dan tidak ada bukti. Dan sekarang ini direka terus, kalau tak boleh reka, dipaksa, dan memang saya sedih betul.

Dan yang menghairankan juga ialah sikap Ketua Polis Negara sendiri. Kenyataan-kenyataanya menunjukkan bahawa dia amat berat sebelah, tak professional. Kenyataan-kenyataan dia hanya menengking, memarah, dan memberi amaran kepada saya. Siasatannya hanya terhadap saya. Mengapa dia tak jalankan siasatan terhadap tuduhan peguam Marina Yusof terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir?

Jadi saya nasihatkan Ketua Polis Negara, jalankan tugas dengan bijak, dengan professional, dengan bebas! Jangan rosakkan imej pasukan keselamatan dan polis di negara kita.

Sebenarnya, mengapa mereka agak ketagih untuk segera mengambil tindakan sekarang?… Kerana mereka lihat susah nak membendung kemarahan rakyat. Rakyat umumnya benci dengan kezaliman ini. Melainkan beberapa pembesar dan taukeh-taukeh tertentu nak pertahankan pangkat mereka dan periuk nasi mereka.

Sambutan yang saya dapat di Kedah, Melaka, Bangi, Tanjung Karang, Kuala Terengganu, dan semalam di Kota Bharu luar biasa. Sebab itu, mereka rasa gementar. Dia mesti jejaskan imej saya supaya rakyat tertanya-tanya. Tujuan dia memaksa orang buat pengakuan di mahkamah tidak lain…. bukan membolehkannya melibatkan sabit kepada kesalahan saya, tetapi sekadar mengaibkan dan menjejaskan imej bahawa orang yang memimpin reformasi ini katanya tidak baik. Yang lebih baik ialah Perdana Menteri yang ada sekarang!

Sebab itu saya cabar Perdana Menteri selaku Menteri Dalam Negeri - jangan nak tunjuk handal dan berani dengan meminta dan menekan orang lemah. Sebenarnya dia takut dengan meledaknya kemarahan rakyat. Saya cabar mereka mengambil tindakan yang berani. Bawa saya ke mahkamah dan saya akan lawan habis-habisan.

Selain daripada itu, saya dah terangkan pendirian saya tentang jalur-jalur perundangan dan mahkamah. Kita tidak harus gusar dan lentur sedikit pun semangat kita untuk meneruskan gerakan reformasi.

Terima kasih.