Make your own free website on Tripod.com

 

 

 

MEREKA BOLEH BARISKAN 100 PELACUR

Oleh WARTAWAN REFORMASI

KUALA LUMPUR 15 Sept. --- Pejuang Gerakan Reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Sabtu lalu mengulangi pendiriannya bahawa beliau tetap tidak akan sekali-kali tunduk kepada tekanan pihak-pihak tertentu untuk memaksanya mengaku telah melakukan hubungan seks dengan beberapa wanita yang tidak dikenalinya.

"Jika mereka membariskan 100 orang pelacur pun namun untuk memaksa saya mengaku melakukan semua perbuatan terkutuk itu nescaya tak akan saya lakukan," ujarnya ketika melancarkan piagam Gerakan Reformasi yang dinamakan Perisytiharan Permatang Pauh di kediaman asalnya di Permatang Pauh Sabtu lalu.

Menurut Anwar, usaha untuk mencari pelacur dan memaksa mereka mengaku mengadakan hubungan seks dengannya masih lagi diteruskan oleh pihak-pihak tertentu yang ingin menjahanamkan moral dan nama baik keluarganya.

"Saya sedar, segala tuduhan salah laku dan rendah moral sepertimana yang dituduh ke atas saya sebelum ini sehingga mendorong Majlis Tertinggi UMNO memecat keahlian saya dalam parti dilakukan kerana saya tidak henti-henti menegakkan isu moral dan akhlak di dalam UMNO sendiri.

"Jadi untuk memusnahkan saya, mereka cuma ada satu cara sahaja iaitu dengan merosakkan imej saya dan menuduh saya sendiri seorang yang tidak bermoral dan tidak berakhlak. Dalam istilah lain inilah yang dinamakan pembunuhan karektor," ujar Anwar.

Berucap di hadapan lebih 40,000 orang yang sudah sedia menanti kepulangannya sejak Zohor lagi, Anwar menegaskan bahawa isterinya Wan Azizah dan kesemua enam orang anaknya adalah saksi apakah beliau pernah berlaku songsang dalam soal moral dan akhlak.

"Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya tidak bebas ke mana sahaja yang saya suka…saya sentiasa dikawal oleh polis walaupun ketika saya beriadah seperti bermain tenis atau bersukan. Malah dalam setiap majlis rasmi, isteri saya sentiasa berada di sisi.

"Jadi saudara-saudara sendiri fikirlah apakah logik saya mempunyai masa lapang yang begitu banyak atau untuk mencuri-curi peluang menyelinap keluar dan pergi ke kondominium-kondominium tertentu untuk melakukan perbuatan terkutuk dan curang itu," tegas Anwar.

TAMAT