Satu Pengalaman


Assalamualikum warohmatullahi wabarokatuh.

Inginku curahkan,
sedikit pengalaman,
bersama pejuang,
Gerakan Reformasi,
Melahirkan rasa hati,
Untuk menegakkan demokrasi,
Kebenaran.... Keadilan.... keredaan Illahi.

Di bumi fana ini.


Pengalaman di Dataran Merdeka
Pengalaman di Dataran Merdeka 26 September 1998 (Hari ke 6 selepas Sdr. Anwar Ibrahim beserta 12 yang lain ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri).

Pada 29 September 1998, saya bersama dengan dua orang rakan menuju ke pusat Bandaraya Kuala Lumpur selepas Solat ‘Asar. Kami tiba di Jalan Raja Laut dengan kereta pada kira-kira jam 5.15 petang. Apa yang jelas kami lihat ialah pasukan simpanan persekutuan (FRU) sudah pun mengambil posisi berhadapan dengan bangunan Sultan Abdul Samad menghadap ke Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan pasukan berkuda di hadapannya. Trak FRU yang dilengkapi dengan penyembur air juga sudah bersedia. Sebuah helikopter kelihatan jelas di udara mengawasi segala pergerakan di sekitar Dataran Merdeka.

Saya melihat orang ramai berkumpul si tepi-tepi jalan di sekitar Jalan Raja Laut, Jalan Tun Perak dan Jalan Tuanku Abdul Rahman. Pihak polis yang berpakaian seragam mengawasi lalu-lintas serta memastikan tiada orang awam yang menyeberangi jalan ke Dataran Merdeka.

Kami terus mencari tempat letak kereta dan kemudian menaiki STAR dari stesen SOGO ke perhentian Masjid Jamek Kuala Lumpur. Di luar stesen dan perkarangan Masjid Jamek kelihatan orang ramai berkumpul, berbual-bual dan keluar masuk kawasan masjid. Sebahagiannya menuju ke tepi sungai untuk memerhatikan gelagat anggota polis yang berada di belakang bangunan mahkamah dan Bangunan Sultan Abdul Samad. Apa yang jelas ialah setiap pelusuk, lorong yang menuju ke Dataran Merdeka dikawal oleh polis.

Kira-kira jam 5.00 pm, kenderaan masih lagi ada yang mangambil laluan Jalan Tuanku Abdul Rahman, jalan Tun Perak dan menuju ke arah Jalan Raja Muda. Beberapa buah kenderaan dan teksi mula membunyikan hon masing-masing dengan sorakan serta sokongan dari orang ramai mula bergema. Kira-kira 10 minit kemudian, Jalan Tun Perak ditutup dan pihak polis berusaha menutup Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan menyegerakan pergerakan saki baki kenderaan yang lalu di situ. Sorakan dan tepukan terus berkumandang. Tiada jeritan kesat, tiada kata-kata cercaan didengari. Susah untuk mengagak bilangan rakyat yang berkumpul, mungkin 20 ribu, dan mungkin 30 ribu, tetapi bilangan helikopter yang berlegar di udara sudah bertambah menjadi 2-3 buah.

Orang ramai mula bergerak menuju ke persimpangan Jalan tuanku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak setelah jalan-jalan tersebut ditutup. Mereka yang hadir tidak kira kaum dan umur. Lelaki dan wanita bersama dalam perhimpunan aman ini. Pihak polis berpakaian biasa mula berperanan mengambil gambar dengan camcorder, mata mereka liar mencari individu yang boleh diagakkan sebagai ketua-ketua perhimpunan. Apa yang menyedihkan, beberapa pemuda yang terlajak soraknya menjadi mangsa, ditarik dan diseret ke trak polis.

Mereka yang berhimpun secara aman tanpa sebarang senjata diherdik, ditakut-takutkan serta dihalau oleh pihak polis. Tidak dinafikan ada sebilangan anggota polis yang memujuk agar beredar secara baik dan menegur secara baik. Menggunakan FRU untuk menakutkan orang ramai dengan mengetuk belantan pada perisai masing-masing dengan bunyi yang memekakkan oleh barisan pertama serangan FRU, anggota yang bersenjatakan penembak gas pemedih mata di barisan kedua, senjata M16 di barisan ketiga dan kenderaan yang dilengkapi meriam air yang di dalamnya terdapat anggata FRU yang bersenjata (tidak diketahui apakah persenjataan mereka).

Orang ramai mula berundur dan ada yang lari kerana risaukan keselamatan masing-masing.

Ada yang mula menjerit dengan perkataan "lari" dan "zalim!"

Dilubuk hati saya, sungguh memalukan menentang orang awam, rakyat Malaysia yang tidak bersenjata dengan senjata lengkap. Ini bukan di Palestin atau di Korea di mana mereka menunjuk perasaan dengan bersenjata serta menyerang pihak keselamatan. Apakah mereka yang memberi arahan dan yang mengikut arahan ini tidak berperasaan? Tidakkah mereka berfikir ini masa mereka dipergunakan dan satu hari nanti mereka sendiri akan ditunggang dan dianiaya oleh pemimpin yang zalim ini!

Mereka yang dihalau, dikejar bagaikan haiwan adalah saudara seagama, sebangsa yang cuma berkumpul menuntut keadilan dengan berhimpun secara aman. Tidak ada ceramah umum, tidak ada laungan reformasi, tapi cuba berdiri bersama-sama menyatakan sikap dan prinsip perjuangan.

Lebih kurang pada jam 7.00 petang, orang ramai dari pelbagai kaum dan umur yang bertempiaran berundur pergi ke Masjid Jamek, sekitar Wisma Yakin, Sogo, pasar malam di belakang Jalan Tuanku Abdul Rahman atau arah ke Pasar Seni.

Saya menunaikan Solat Maghrib di surau Sogo yang agak sesak dengan pengunjung Sogo dan juga mereka yang bersama dalam perhimpunan di sekitar Dataran Merdeka. Doa yang dibaca oleh Imam sungguh memberi erti serta menaikkan semangat. Kita bermohon kepada Allah agar diberiNya Taufik dan Hidayah, menguatkan Iman dan amal baik kita, memohon agar sentiasa di pihak yang menegakkan agama Allah, memohon agar diselamatkan dari pemerintah yang zalim dan memohon agar pemerintah yang zalim diberikan azab yang setimpal dengan perbuatannya.

Selepas solat kami dimaklumkan bahawa Sogo ditutup awal pada petang itu, jam menunjukkan kira-kira jam 8.00 malam. Kami bergegas ke pasar malam untuk megalas perut sebelum terus ke Dataran Merdeka. Di Dataran Merdeka mereka yang berhimpun pada sebelah petangnya berkumpul semula selepas menunaikan solat Maghrib. Kelihatan anggota FRU berihat sambil menghisap rokok, masih dengan pakaian yang lengkap. Mereka sememangnya keletihan, letih kerana makan minum mereka tidak dipedulikan, sembahyang mereka tidak ada yang mengingatkan, laungan azan mengajak para mukminin dan mukminat bersama-sama menyembah Allah sudah tidak memberi apa-apa erti. Latihan dan arahan yang diberikan kepada mereka menjadikan mereka insan yang tidak berperikemanusiaan. Di manakah perhubungan mereka dengan makhluk dan di manakah perhubungan mereka dengan Allah? Apakah bentuk latihan dan pendidikan yang diberikan kepada mereka?

Siapakah yang akan bertanggung jawab di atas kesesatan umat Islam yang mana mereka itu seharusnya mempunyai rasa mesra dan sayang sesama insan! Pemimpin yang zalim ini bertanggung-jawab penuh. Pemimpin ini bersama kroni dan koncu-koncunya tidak akan terlepas dari mahkamah Allah, tidak akan terlepas dari siksaan alam barzakh, tidak akan terlepas dari siksaan di Padang Masyar dan mereka akan berhadapan dengan Allah dengan penuh kehinaan serta akan di tempatkan di Neraka Jahannam. Bertaubatlah sebelum terlambat, dosa itu bukan saja pada satu insan tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia dan ummah.

Mereka yang dipenatkan Allah tidak berdaya lagi menghalang para belia berkumpul di Dataran Merdeka. Apakah mereka yang keletihan ini akan diherdik sekembalinya mereka ke markas dengan ancaman serta amaran-amaran? Apakah dengan ini akan membuat mereka lebih ganas dan bertidak di luar batas kemanusiaan pada perhimpunan yang berikutnya?

Kita berdoa agar mereka di bukakan pintu hati oleh Allah dan kita diberikanNya kekuatan dalam bersama-sama mengharungi dugaan-dugaan yang penuh ranjau. Ayat dari Surah Al-Ankabut bermain di kepala saya dengan tekad yang nyata, yakni akan terus bersama pejuang-pejuang kebenaran, pejuang-pejuang keadilan, pejuang-pejuang Islam dan menjadi Ansarullah (Penolong Agama Allah) yang dijanjikan syurga.

Firman Allah yang bermaksud:

"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) menyatakan 'kami telah berIman' sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahu orang-orang yang dusta."

(Surah Al-Ankabut:2-3)

Kami tidak lama di Dataran Merdeka, selepas kira-kira 10 minit memerhatikan perkembangan di sana, kami pun beredar untuk Solat Isya'. Perhimpunan yang sungguh bererti ini mesti diteruskan, dihidupkan dalam usaha menegakkan kebenaran dan keadilan. Semoga Allah memberi kita kekuatan dalam menegakkan yang hak.

Wassalamualaikum warohmatullahi wobarokatuh.