Subject:      Penghinaan Anwar
From:         rozazee@my-dejanews.com
Date:         1998/09/23
Message-ID:   <6ubfoj$oo$1@nnrp1.dejanews.com>
Newsgroups:   jaring.general 
[More Headers]

Article segment 1 of 2 - Get Next Segment - Get All 2 Segments

LENGKAPLAH SUDAH SATU PENGHINAAN

MEREKA datang, mereka meredah masuk secara kasar dan mereka membawanya pergi.
Maka lengkaplah sudah satu penghinaan.

Anwar Ibrahim ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) buat kali
kedua dalam sejarah hidupnya selepas beliau mengetuai satu gerakan rakyat di
Masjid Negara dan Dataran Merdeka  menuntut reformasi untuk kebenaran,
keadilan dan kebebasan.

Perhimpunan tersebut dikecam oleh media massa arus perdana. Sebuah akhbar
berbahasa Malaysia membawa ulasan lidah pengarang muka satu yang berbunyi
"Inikah dia yang dikatakan pemimpin rakyat".

Polis menyifatkan perhimpunan itu sebagai perhimpunan haram. Maka sebab itulah
mungkin Anwar ditahan dibawah ISA -- sebagai pencetus kekacauan dan pengerak
satu perhimpunan haram walaupun ketika polis membawanya pergi, beliau ditahan
mengikut Seksyen 377D yang mungkin boleh disabitkan dengan kes moral.

Pun begitu semuanya telah berlaku. Rakyat yang pro reformasi bangun menyatakan
rasa hati mereka. Mereka mungkin sedar perhimpunan yang mereka adakan adalah
tanpa permit tetapi alasan itu sudah tidak dapat membendung kaki mereka dari
melangkah pergi.

Mereka berhimpun secara aman kerana mereka tahu mereka sudah tidak dapat
meletakkan harapan lagi kepada media massa untuk menyatakan apa yang mereka
rasakan. Mereka juga sedar bahawa mereka bukannya menuntut satu revolusi. Apa
yang mereka tuntut ialah keadilan dan kebenaran.

Jadi jika tuntutan itu sudah tidak bebas lagi untuk disuarakan, mereka mungkin
merasakan satu-satunya medium bagi meluahkan rasa hati ialah melalui
perhimpunan dan perarakan.

Sepertimana duit syiling yang mempunyai dua permukaan yang berbeza, begitulah
juga dengan pendapat dan tindak tanduk. Kita tidak mahu menghabiskan masa
berdebat mengenai perbezaan anutan dan pendapat.

Yang pro reformasi akan berkata apa yang mereka lakukan adalah didorong oleh
rasa prihatin kepada keadilan dan kebenaran serta rasa kesal dengan apa yang
terjadi ke atas pemimpin mereka, Anwar Ibrahim.Yang pro arus perdana akan
mengecam kumpulan reformasi.

Tak apalah. Lagi pun "life is a sea of choice" - manusia berhak menentukan
destini mereka sendiri dan pilihan hidup mereka.

Apa yang hendak saya ceritakan ialah kejadian pada hari Ahad malam Isnin 20
September 1998. Selepas perarakan selesai di Dataran Merdeka, terdapat satu
kumpulan perarakan yang meneruskan perjalanan mereka ke Menara Dato' Onn di
PWTC. Dari sana mereka meneruskan perjalanan ke Sri Perdana.

Sudah tentulah tindakan tersebut tidak menyenangkan hati pihak berkuasa dan
keselamatan. Belum pernah dalam sejarah Malaysia, kediaman rasmi Perdana
Menteri didatangi oleh sekumpulan manusia yang menuntut reformasi dilakukan.

Setibanya di sana, Polis Simpanan Persekutuan (FRU) menghalang kumpulan pro
reformasi yang jumlahnya telah mencecah beribu-ribu orang daripada terus duduk
di situ. Mereka dipancut dengan bedilan air dan gas pemedih mata.

Pada waktu itu saya bersama beberapa rakan yang lain sudahpun dalam perjalanan
ke kediaman Anwar Ibrahim di Bukit Damansara. Ketika melalui Jalan Parlimen,
orang-ramai yang sudah terkena gas pemedih mata mula melarikan diri dan turun
dari Jalan Damansara ke Jalan Parlimen.

Saya dan dua rakan yang lain terus memandu kereta kami ke Bukit Damansara.
Dalam perjalanan itu saya menerima panggilan dari Ketua Pemuda UMNO Jelutong,
Azman Shah Omar Shah, pada pukul 8.30 malam bahawa terak polis telah mengepung
rumah Anwar. Polis telah tiba untuk membawanya pergi.

Maka bermulalah drama dan episod sedih lagi mengharukan.

Ketika saya sampai, polis telah pun mengepung rumah Anwar. Para penyokongnya
yang berjumlah beribu orang itu enggan berganjak. Pada waktu itu Anwar yang
jelas kelihatan letih dan ditemani oleh Wan Azizah   sedang berucap di hadapan
para wartawan dan penyokong-penyokongnya di dalam rumah. Jam menunjukkan pukul
8.50 malam.

Article segment 1 of 2 - Get Next Segment - Get All 2 Segments

Subject:      Penghinaan Anwar
From:         rozazee@my-dejanews.com
Date:         1998/09/23
Message-ID:   <6ubfni$oe$1@nnrp1.dejanews.com>
Newsgroups:   soc.culture.malaysia 

Article segment 2 of 2 - Get Previous Segment - Get All 2 Segments

Sewaktu beliau sedang memberikan sidang akhbarnya itu, para komando dari Unit
Tindakan Khas Polis menyerbu masuk dengan menendang dan memecahkan pintu
hadapan rumah. Anggota unit UTK ini masuk dengan memakai topeng muka dan
bersenjatakan senapang separa automatik Heckler and Koch MP5.

Pada masa yang sama sebahagian lagi ahli keluarga Anwar termasuk bapa dan
abangnya Rani sedang menunaikan solat Isyak. "Mereka masuk secara kasar
seperti hendak menangkap seorang pembunuh upahan dan memijak sejadah kami
bagaikan manusia yang tidak beradab," kata Rani, abang Anwar.

Anwar dan isterinya pada waktu itu yang dikepung oleh pengawal peribadinya
telah meminta semua orang bertenang dan memberi kerjasama kepada polis yang
datang menahannya.

Namun suasana agak kelam kabut dan tidak terkawal. Pada waktu itu seketumbukan
lagi pasukan polis berpakaian seragam hijau masuk ke pekarangan rumahnya siap
dengan belantan dan perisai serta membuat tembok manusia sehingga ke pintu
utama rumahnya. Pada ketika ini pasukan komando UTK sudah pun mengepung Anwar
dan sanak saudaranya.

Anwar menyeru para wartawan masuk ke ruang lobi rumahnya. Kumpulan UTK
menyerbu masuk untuk mendapatkan Anwar dan pada ketika ini ada gelas pintu
kaca yang pecah. Dengan senjata ditangan, mereka telah berjaya mengepung
Anwar dan isterinya yang berada di belakang benteng manusia pengawal-pengawal
pribadinya.

Di luar beribu lagi penyokong pro reformasi terus menjerit dan melaungkan
perkataan "Allahu Akhbar" dan "Bebaskan Anwar".

Pada lebih kurang pukul 9.15 malam, Ruslan Kassim, Ketua Pemuda Negeri
Sembilan, dibawa keluar oleh polis dari kediaman Anwar oleh sepasukan polis
beruniform biru dan berpangkat. Dia bagaimanapun tidak digari.

Lima minit kemudian, dia dibawa masuk ke ruang legar rumah Anwar oleh Ketua
Polis Brickfield ACP Koh Hong Sun manakala beberapa lagi anggota polis
berpangkat kelihatan masuk ke rumah Anwar.

Di ruang tamu, polis telah menghalang sesiapapun daripada memasuki pintu ke
ruang dapur dan ke bilik atas di mana Anwar telah dibawa bersama isterinya.
Sesiapapun tidak dibenarkan masuk ke bilik atas termasuk bapa, abang, adik dan
kakaknya.

Menjelang 9.30 malam, peguam Anwar, Christopher Fernando, Sulaiman Abdullah
dan Pawanchek Merican dibenarkan memasuki bilik di mana Anwar dan isterinya
ditahan polis.

Semua sanak saudara diminta bertenang dan jangan membuat bising oleh petugas-
pertugas Gerakan Reformasi. Setelah sekian lama menanti, pada tepat jam 8. 57
malam, Anwar dibawa keluar menerusi laluan tepi di dalam rumahnya oleh
sepasukan polis beruniform.

Pada waktu itu semua wartawan yang sedia menanti di ruang tamu rumah sudah
dapat menghidu bahawa mereka telah "tertipu" dan sebahagian besar jurugambar
gagal merakamkan detik-detik Anwar diusung polis keluar dari kediamannya.

Sewaktu dibawa pergi Anwar tidak berkata apa-apa melainkan mengukir senyuman
manis ke arah para penyokongnya dan mengangkat tangan. Pada ketika itu
kedengaran gema suara yang menjerit "Allahu Akhbar" dan "Perjuangan Tetap
Diteruskan".

Pasukan FRU lalu membawa Anwar pergi dengan menaiki Perodua Rusa bersama
isteri dan anak-anaknya.

Dua buah helikopter polis berlegar-legar di atas bumbung kediaman Anwar dan
menyuluh lampu ke arah orang-ramai.

Bagaimanapun kereta yang membawa Anwar telah berhenti di pertengahan jalan
dan polis membawa Anwar masuk ke sebuah lagi kenderaan lain dan meninggalkan
Azizah serta peguam yang mengiringi Anwar, Sulaiman Abdullah. Anak-anak Anwar
kembali ke rumah mereka dengan sebuah kenderaan pada pukul 10.45 malam dan
pada pukul 11.22 malam, Azizah tiba bersama Sulaiman.

Serikandi Gerakan Reformasi itu lantas menenangkan semua yang masih ada di
pekarangan rumahnya dan semangat jati serta juang yang ditonjolkannya
merupakan ramuan pengubat duka buat seketika bagi mereka yang masih kental
dan enggan mengalah.

Dan akhirnya pada saat-saat seperti ini, hanya Allah jua tempat kita memohon
pertolongan.  Hasbun Allaahu wa Ni'ma al-Wakeel.

TAMAT






-----== Posted via Deja News, The Leader in Internet Discussion ==-----
http://www.dejanews.com/rg_mkgrp.xp   Create Your Own Free Member Forum

Article segment 2 of 2 - Get Previous Segment - Get All 2 Segments