YANG TERSIRAT YANG TERSURAT

POLITIK SEMBAHYANG HAJAT
SEMBAHYANG hajat dewasa ini sudah menjadi semacam satu perkara mudah yang dilakukan di mana-mana sahaja termasuk di atas jalan yang kotor. Begitu juga pembacaan yasin. Di Jakarta, ada yang bersembahyang di depan pintu pagar Kedutaan Malaysia.

Perhimpunan politik pula diadakan dengan berselindung atas nama sembahyang hajat dan membaca yasin. Perkara ini terang-terang berlaku di sebuah sekolah agama di Pokok Sena, Kedah, kelmarin.

Presiden Pas, Fadzil Noor, membidas polis kerana menghalang perhimpunan itu yang, menurutnya, adalah untuk bersembahyang hajat dan membaca yasin.

Polis, katanya, telah melakukan dosa besar dan perlu berjawab dengan Tuhan nanti.

Tujuan utama perhimpunan itu adalah politik, politik menghentam kerajaan. Sembahyang hajat dan membaca yasin cuma perkara sampingan sahaja. Fadzil dan Pas bebas menghentam kerajaan, tapi janganlah berselindung di sebalik program keagamaan. Janganlah guna agama untuk matlamat politik. Jika polis perlu berjawab dengan Tuhan, rasanya banyak lagi yang Pas kena jawab.

Sembahyang hajat boleh dilakukan di mana-mana dan tidak payah menghimpunkan berpuluh ribu orang sehingga mencetuskan masalah keselamatan kepada pihak polis. Dalam sebuah negara di mana terdapat masjid di setiap penjuru, kenapa perlu bersesak-sesak di sekolah agama, di jalan-jalan dan di markas parti.

Ternyata ada agenda politik di belakang semua itu. Jika tidak, sembahyang boleh dilakukan dengan lebih tenteram di masjid atau di rumah. Apabila ibadah sembahyang mahu dipertunjukkan kepada dunia, ia menjadi cerita lain.

Parti Pas sebenarnya dengan cekap sedang mempergunakan situasi politik sejak Anwar Ibrahim dipecat, ditangkap dan didakwa. Pas mempelopori apa yang dipanggil Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (Gerak). Tujuannya untuk berkempen menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menegakkan keadilan.

Sebenarnya, Pas menyedari betapa mudahnya memikat hati orang ramai dengan menggunakan isu Anwar.

Pas hanya mahu mengambil kesempatan ini bagi keuntungan politiknya dalam pilihan raya umum nanti.

Mempercayai bahawa Pas benar-benar jujur hendak memperjuangkan Anwar adalah pemikiran lurus bendul. Pas sedang menggunakan isu Anwar untuk kepentingannya. Itu sahaja.

BARISAN NASIONAL HADAPI CABARAN BESAR<
Dr. Mahathir Mohamad, semasa di Tokyo, melahirkan keyakinan bahawa Barisan Nasional akan memenangi pilihan raya umum akan datang. Apa yang menarik, beliau turut menyebut bahawa kemenangan itu mungkin tidak sebesar mandat yang ada sekarang.

Barisan Nasional kini menikmati majoriti dua per tiga di Dewan Rakyat, satu rekod yang sudah begitu lama dipegangnya. Mandat Kerajaan Barisan Nasional tamat pada April 2000 dan ramai percaya pilihan raya akan diadakan pada tahun depan apabila ekonomi bertambah baik.

Bagaimanapun satu faktor baru telah tercetus dan tidak memihak kepada BN iaitu isu Anwar Ibrahim.

Selain penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri itu, parti-parti politik seperti Pas dan DAP juga sedang mengambil kesempatan untuk menonjolkan diri masing-masing di mata rakyat. Semua ini dibuat dengan matlamat memancing undi untuk pilihan raya nanti.

Parti-parti pembangkang berselindung di sebalik kempen menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan kempen menegakkan keadilan. Pemecatan Anwar yang diikuti dengan penahanannya di bawah ISA serta pendakwaan beliau di mahkamah telah membuka peluang besar kepada Pas dan DAP mencari keuntungan politik. Dan mereka sedang mendapatnya.

Barangkali, bertolak daripada senario inilah Perdana Menteri menyatakan bahawa kemenangan Barisan Nasional kali ini mungkin tidak sebesar yang diperolehi selama ini.

Apa yang diucapkan itu hendaklah dilihat sebagai amaran awal beliau kepada parti-parti komponen Barisan Nasional khususnya UMNO bahawa cabaran yang dihadapi kali ini adalah besar.

Adalah mustahak bagi Barisan Nasional mengekalkan kelebihan dua per tiga itu. Tanda tanya besar sekarang ialah sama ada kelebihan tersebut dapat dikekalkan ekoran apa yang telah berlaku.

Sejauh manakah kecenderungan baru yang wujud setelah peristiwa 2 September akan diterjemahkan ke dalam bentuk undi dan diberikan kepada parti-parti pembangkang?

Perkembangan semasa tidak menjanjikan laluan mudah bagi BN. Barisan Nasional tidak boleh mengambil mudah apa yang sedang berlaku dan tidak boleh terlalu yakin bahawa akhirnya rakyat akan tetap mengundi mereka, seperti selalu.

Andaian ini amat bahaya.

ASEAN MULA RETAK?
SATU daripada tonggak yang menjadi kekuatan ASEAN ialah dasar tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara anggota.

Tonggak ini mesti dipelihara sekiranya para pemimpin ASEAN hari ini tidak mahu melihat perpecahan pertubuhan tersebut.

Perpecahan ASEAN bukanlah satu perkara yang tidak boleh berlaku. Sebelum kelahiran ASEAN, negara-negara Asia Tenggara dirundung sengketa dan pertikaian yang menumpahkan darah.

Tahun-tahun 1960-an merupakan masa yang penuh pergolakan di rantau ini. Pengaruh komunis, perang di Indochina dan konfrantasi mencetuskan konflik yang tidak menjanjikan harapan bagi Asia Tenggara sehinggalah kelahiran ASEAN.

Pertubuhan itu tidak mampu berpecah dalam saat-saat krisis ekonomi dan cabaran masa depan yang semakin besar. Malangnya, bibit-bibit perpecahan sedang disemai.

Tingkah laku Presiden B.J. Habibie dan Presiden Joseph Estrada dalam isu Anwar Ibrahim, misalnya, sudah sampai ke peringkat mencampuri urusan dalaman negara anggota - tonggak yang menjadi kekuatan ASEAN.

Anwar memang diketahui umum rapat dengan Habibie, tapi sejauh mana keakraban Estrada dengan Anwar tidak begitu diketahui. Hubungan peribadi di antara pemimpin-pemimpin ASEAN adalah juga satu kekuatan yang turut menyumbang kepada kejayaan pertubuhan itu selama ini.

Banyak masalah dalam ASEAN dan di antara negara anggotanya diselesaikan menggunakan hubungan persahabatan ini.

Langkah Habibie membatalkan lawatannya ke Malaysia - yang pertama sejak menjadi Presiden - tidak memberikan isyarat yang membina. Dalam diplomasi, ia isyarat yang tidak baik. Begitu juga dengan komen-komen Estrada yang memberi gambaran seolah-olah sudah tiada keadilan lagi di Malaysia.

Mereka berdua, terutamanya Habibie, hendaklah sedar implikasi tindak-tanduk mereka yang boleh dan sedikit sebanyak sudah pun menjejaskan hubungan dengan Malaysia. Mereka adalah ketua negara serta ketua kerajaan negara masing-masing. Adalah sukar bagi mereka mengasingkan ulasan peribadi dengan ulasan sebagai ketua kerajaan.

ASEAN bukan sahaja akan retak, tapi akan pecah jika dasar tidak mencampuri urusan dalaman negara anggota tidak lagi dihormati.

PENCALONAN RAZALEIGH
Timbalan Ketua Perhubungan UMNO Kelantan, Annuar Musa, tidak senang dengan Pas Kelantan kerana mencadangkan supaya UMNO negeri itu mencalonkan Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Timbalan Presiden UMNO.

Apa yang menarik ialah betapa orang-orang UMNO, baik yang di Kelantan mahu pun yang di luar Kelantan, melenting dengan satu cadangan yang bukan pun serius daripada seorang pemimpin peringkat rendah Pas.

Jelaslah, pencalonon Tengku Razaleigh perkara sensitif. Sebagai respon, Annuar mencadangkan pula supaya Pas Kelantan menaikkan Nik Aziz menjadi Presiden parti itu. Nik Aziz sebenarnya tidak payah dinaikkan menjadi Presiden Pas. Sekarang ini pun beliau sudah macam Presiden. Imejnya lebih besar daripada imej Fadzil Noor, Presiden Pas.

Ini kerana Nik Aziz ada kerajaan. Pokoknya, siapa ada kuasa, dia akan lebih menonjol. Fadzil Noor juga akan menonjol sekiranya beliau Menteri Besar Kedah. Tidak mengapa jika beliau bukan Presiden Pas.

Mengapalah agaknya orang Pas menjolok hal itu. Mungkinkah mereka sengaja mengacah Annuar? Atau mungkinkah kerana mereka tahu memang UMNO Kelantan tidak begitu cenderung menaikkan Tengku Razaleigh?

Oleh: KHALID MOHD