PENDUDUK NILAI DAN SALAK SAMBUT ANWAR

Oleh Wartawan Reformasi

KUALA LUMPUR 16 Sept. --- Penduduk sekitar Salak dan Nilai di Negeri Sembilan telah memberi sambutan besar-besaran kepada pejuang reformasi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam ketika beliau tiba untuk bertemu dengan rakyat di Kampung Jijan.

Walaupun kawasannya agak terpencil dan jauh ke dalam dari pekan Salak tetapi itu tidak sekali-kali menghalang orang-ramai – setengah daripadanya datang dari Seremban, Kajang dan Sepang - untuk mendengar penjelasan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Anwar yang tiba lebih kurang jam 9.00 malam bersama rombongannya kemudian diiring oleh masyarakat sekitar ke rumah seorang rakan yang bersedia menjadi hos kepada tetamu-tetamu dari Kuala Lumpur.

Kampung Jijan adalah persinggahan kelima Anwar selepas mengadakan pertemuan dengan rakyat di Darul Syifa’, Bangi; Cherok Tokun, Bukit Mertajam; Pondok Derang, Pokok Sena, Kedah dan Ayer Keroh, Melaka.

Selain daripada tempat-tempat tersebut, beliau turut bertemu rakyat dan sempat menyampaikan ucapan ringkas di Masjid Bukit Damansara sebaik sahaja selesai solat Jumaat dua hari selepas beliau dipecat dan kemudiannya di Masjid Jamek Kampung Baru ketika menunaikan sembahyang Jumaat baru-baru ini.

Sebelum Anwar menyampaikan ucapan, Ruslan Kassim terlebih dahulu berucap dengan memetik nasihat dan kenyataan ulama terkenal dunia, Yusof Qardhawi. Anwar yang menyampaikan ucapannya 20 minit kemudian telah memperjelaskan nasihat dan pandangan Yusof Qardhawi mengenai fitnah yang dilemparkan ke atas dirinya.

Dan atas nasihat para ulama juga, kata Anwar, beliau mengambil keputusan tidak akan melayani permintaan rakan sebiliknya di Kamunting, Senator Ibrahim Ali, yang memintanya bersumpah dengan Al-Quran berhubung semua tuduhan ke atasnya kerana beliau belum lagi didakwa di mahkamah.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan, beliau bersedia untuk disiasat termasuk akaun peribadi dan harta benda miliknya.

"Saya berani kerana saya tidak memiliki harta yang banyak melainkan sebuah rumah di Bukit Damansara yang saya beli sebelum saya menjadi Menteri Kewangan. Hari ini saya kembali semula ke rumah yang sama dan saudara semua dijemput datang dan lihat sendiri besar mana rumah saya," ujar Anwar sambil menambah "Saya berani kerana saya tak buat semua benda itu…tapi mereka yang menyelar saya belum tentu berani mendesak supaya diri mereka disiasat."

Anwar juga berkata, kemungkinan besar pihak berkuasa akan menahannya selepas Sukan Komanwel dan beliau menegaskan "Saya sudah bersedia untuk yang terburuk dan InsyaAllah, Tuhan akan menunjukkan kebenaran di akhir episod ini." TAMAT.