Make your own free website on Tripod.com

Anwar: Saya Tetap Cintakan Umno

ANALISIS BERITA oleh ROZAID A. RAHMAN, yang melapor dari Pusat Reformasi, No 8, Jalan Setiamurni 1, Bukit Damansara)

KUALA LUMPUR 10 Sept. -- Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam menjawab pertanyaan para pemberita mengenai dakwaan bahawa beliau menggunakan platform gerakan reformasi untuk menyerang UMNO dengan menegaskan ; "Saya mungkin bukan lagi sebahagian daripada parti tetapi saya tetap sayang, cinta dan percaya kepada idealisma perjuangan UMNO."

Sambil menegaskan supaya pihak-pihak yang mendakwa beliau berbuat demikian membuktikannya, Anwar bertanya lagi; "Saya nak tanya…apa kenyataan yang saya buat yang menyerang UMNO. Saya tidak menyerang UMNO kerana UMNO adalah parti yang saya dukung dan saya bersama rakan-rakan yang lain telah membantu membinanya dengan sungguh-sungguh sebelum dan sesudah pilihan raya," tegas Anwar dalam sidang akhbar hariannya di sini petang semalam.

Beliau juga mengingatkan bahawa tanggungjawab membina UMNO selepas krisis 1987 bukan kerja seorang atau dua di dalam parti, Anwar mengingatkan bahawa tanggungjawab itu dipikul oleh ramai lagi.

"Saya ingin tegaskan bahawa soal menegur kelemahan-kelemahan dalam pentadbiran kerajaan. Memang saya lakukan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Saya tegur…saya tegur keras tentang rasuah…saya tegur keras tentang penyelewengan…saya tegur keras kerana kadang-kadang peruntukan tak sampai kepada kumpulan sasar dan tegur keras tentang pembaziran.

"Jadi sejak bila saya tidak boleh tegur kerajaan ini dan sejak bila kerajaan ini dah sampai satu tahap di mana siapa saja ditegur dianggap sebagai penentang kerajaan…ini yang saya perlu jelaskan," ujarnya.

Kelmarin (Selasa, 8 September), Perdana Menteri telah memberikan penjelasan kepada wakil-wakil UMNO bahagian mengenai sebab-sebab Anwar dipecat dan banyak tertumpu kepada soal moral dan rendah moral di mana menurut Dr. Mahathir Mohamad, beliau memecat timbalannya kerana sudah tidak percaya lagi yang beliau (Anwar) layak mengambil alih teraju kepimpinan negara ekoran dakwaan tersebut.

Menurut Dr. Mahathir, beliau semakin percaya bahawa Anwar melakukan perkara-perkara yang dituduhkan ke atasnya setelah Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Megat Junid Megat Ayub membawa saksi-saksi wanita berjumpa dengannya. Setelah diinterbiu semua saksi-saksi ini, Dr. Mahathir merumuskan bahawa dakwaan-dakwaan dan pertuduhan ke atas Anwar adalah benar dan oleh itu beliau tidak layak mengambil alih kepimpinan negara.

Dalam sidang akhbar di kediamannya sehari selepas itu, Anwar menjelaskan kepada para wartawan; "Saya telah memberikan penafian yang sekeras-kerasnya bahawa tuduhan-tuduhan itu bukan sahaja palsu dan direka tetapi sampai sekarang…sampai hari ini, pihak polis masih menjalankan siasatan, masih menyoalsiasat saksi dan saya melihat telah sampai ke satu tahap di mana memaksa saksi-saksi membuat kenyataaan. Maknanya selagi siasatan belum selesai maka belum ada kes dan bukti yang nyata. Jadi sekarang ini dipanggil seorang demi seorang, dengan harapan lebih ramai yang mengaku. Ini yang menimbulkan masalah, dan ini yang saya bantah dan ini bukan prinsip keadilan.

"Bila saya jawab, mereka kata saya menentang kerajaan dan menentang UMNO. Saya tidak menentang UMNO. Saya merayu supaya ahli-ahli UMNO memahami bahawa saya terpaksa mempertahankan diri saya. Sampai hari ini siasatan masih diteruskan. Kawan-kawan dan saudara ditangkap, dipanggil siasat. Dan cara dipanggil itu seolah-olah dengan kasar, ditahan di suatu tempat, dibawa begitu sahaja.

"Semalam Setiausaha Sulit Kanan saya di Kementerian Kewangan, Saudara Mohamad Ahmad ditahan dari dalam keretanya dan kemudian disoal-siasat dengan cara yang cukup kasar. Ini bukan cara kita mengendalikan undang-undang di negara hukum. Ini adalah cara yang kasar dan ini yang saya bantah. Apakah dengan memberi teguran ini bermakna saya menentang UMNO?. Saya nak tanya, sejak bila UMNO bersetuju dengan cara kasar dan ganas yang mengenepikan prinsip undang-undang dan keadilan.

"Dan berkaitan dengan itu juga ugutan tentang penangkapan yang lain masih diteruskan supaya semua anggota keluarga saya dan rakan-rakan saya dan pegawai-pegawai di pejabat saya dulu hidup dalam keadaan cemas. Kalau dipanggil dengan cara baik saya dah beritahu dari dulu lagi, kalau ada maklumat yang diperlukan nak ditanya cara baik, boleh tanya. Tapi tak perlu ugut. Macam kes adik angkat saya, Sukma ditahan di bawah 117.

"Yang saya tahu, 117 ini dikenakan ke atas kes-kes yang agak berat, kemudian dihadapkan ke Mahkamah Majistret untuk menyambung tahanan sehingga dua minggu. Tetapi dalam kes Sukma, dia tak dibawa ke mahkamah. Sebaliknya Majistret dipanggil cepat-cepat ke Bukit Aman kemudian terus ditahan untuk selama dua minggu. Peguam pun tak sempat pergi. Jadi kalau macam itu caranya, esok jika ada kes pun dengan berdasarkan saksi-saksi yang dipaksa, macam mana saya nak dapat menyatakan bahawa ini adalah berdasarkan prinsip keadilan dan undang-undang," jelas Anwar.

Namun begitu, apa yang menarik untuk direnungi ialah kebimbangan Anwar mengenai keadilan dalam menegakkan undang-undang di negara ini. Katanya, jika sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri di negara ini, beliau, keluarga dan kakitangannya dilayan sebegitu rupa, bagaimanakah pula dengan nasib rakyat jelata. Atas kebimbangan dan keperihatinan itulah beliau menyatakan tidak setujunya dengan cara ini.

"Inilah yang saya maksudkan dengan reformasi. Ia adalah satu tuntutan ke atas keadilan pelaksanaan undang-undang. Ini yang saya ketengahkan, bukan hendak lari daripada masalah pribadi sebagaimana yang dikatakan oleh beberapa rakan karib saya dalam kerajaan dan kabinet," kata Anwar lagi.

Pun begitu, ketika menjawab soalan-soalan mengenai dakwaan rendah moral sehingga itu dijadikan alasan untuk memecatnya dari kerajaan dan parti, Anwar dengan tersenyum dan nada yang sinis berkata; "Saya ucapkan terima kasih kerana Perdana Menteri memberi penjelasan dan kerana dia ambil berat betul soal moral sekarang ini. Saya minta dia siasat semua orang…saya tidak minta kawan-kawan dianalisa tentang moral masing-masing. Tetapi kalau dibuat begitu, janganlah saya dijadikan mangsa…janganlah saya dianiayai. Sekarang ini saya dianiayai kerana sampai sekarang mereka tahu mereka berhadapan dengan masalah nak membuktikan dakwaan ini. Sampai sekarang saksi-saksi dipaksa, didera dan ditimbulkan kesulitan supaya mereka membuat kenyataan yang sesuai dengan kehendak polis. Ini bukan keadilan namanya….," tegas Anwar.

Anwar bersyukur kerana ketika menghadapi saat-saat paling getir dalam hidupnya dokongan dari rakyat begitu menyeluruh sekali. Ini agak luar biasa kerana propaganda dan kecaman penghinaan terhadap peribadi beliau begitu kuat sekali. Tetapi rakyat masih datang dalam hujan dan panas untuk mengucapkan selamat dan bersabar kepadanya dan Dr. Wan Azizah. Mereka datang untuk mendukung cita-cita untuk meneruskan reformasi. Dan kesemuanya hadir secara sukarela – tidak diatur pertemuan dan tidak dipanggil untuk mendengar ucapan.

Dan pada peringkat sekarang ini, Anwar sentiasa menasihatkan mereka supaya patuh kepada peraturan dan undang-undang tetapi pada masa yang sama perjelaskan konsep gerakan reformasi yang hendak dibawanya. Jangan kita harap wang atau pangkat atau kekayaaan yang boleh merubah keadaan. Kita harap semangat dan kekuatan rakyat sendiri. Mereka yang membantu menyebarkan maklumat. Jadi semuanya mesti bermula dengan meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang keperluan reformasi di negara ini.

Perlu dijelaskan gerakan ini bukanlah satu gerakan untuk menjatuhkan Kerajaan Malaysia atau satu gerakan untuk membenci Dr. Mahathir tetapi ia adalah satu gerakan kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab masing-masing dalam membetulkan keadaan – jika ada kesilapannya.

Kini sudah seminggu beliau dipecat, Anwar masih, alhamdulillah, sihat dan merima keputusan ini dengan sabar dan Dr. Wan Azizah serta keluarga nampaknya tenang menghadapi ujian ini. Atas kepercayaan bahawa gerakan reformasi yang dibawa oleh Anwar ini benar dan ikhlas, maka sebab itulah rakyat dari pelbagai kaum serta peringkat datang sejak dari awal subuh dan terus datang sehingga pukul dua tiga pagi.

Demi reformasi, mereka sudah tidak mengenal bulan dan bintang lagi.

ENDS