Zahid: Saya Tidak Akan Tunduk Pada Tekanan

Oleh WARTAWAN REFORMASI

KUALA LUMPUR 10 Sept. -- Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Zahid Hamidi hari ini memaklumkan kepada anggota-anggota exconya bahawa beliau tidak akan sekali-kali tunduk kepada tekanan supaya melepaskan jawatannya secara sukarela sebagaimana yang disarankan oleh beberapa pihak dalam pergerakan itu.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat khas Exco Pergerakan Pemuda UMNO di Tingkat 39, Menara Dato’ Onn, PWTC pagi tadi. Mesyuarat tersebut berlangsung selama lebih lima jam. Ia bermula pada pukul 10.15 pagi.

Sebaliknya kata Zahid, terserahlah kepada Majlis Tertinggi untuk menentukan sama ada beliau harus dipecat daripada parti. Gesaan supaya beliau meletakkan jawatannya disuarakan oleh beberapa Ketua Pemuda Negeri dan Bahagian ekoran tindakannya menunjukkan simpati kepada bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menyertai beberapa majlis yang diadakan di kediaman Anwar beberapa hari lalu terutamanya ketika Anwar mengumumkan pelancaran gerakan reformasi.

Adalah difahamkan, berdasar Perlembagaan parti, jawatankuasa pusat Pemuda tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mendesak ketua Pemuda berundur mahupun kuasa untuk memecat atau mengeluarkan undi tidak percaya.

Inilah kali pertama Zahid memanggil mesyuarat khas exco sejak isu beliau menyokong Anwar diheboh-hebohkan oleh media tempatan. Boleh dikatakan setiap hari akhbar-akhbar menyiarkan laporan mengenai reaksi beberapa ketua Pemuda negeri dan exco Pemuda pusat yang mendesak Zahid menyatakan pendiriannya secara rasmi.

Bagaimanapun, kelmarin beliau mengeluarkan satu kenyataan bahawa pendirian Pemuda cukup jelas iaitu menyokong kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden parti, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Kata Zahid, kehadirannya di kediaman Anwar adalah atas kapasiti pribadinya yang simpati dengan Anwar serta keluarganya.

Mesyuarat Pemuda UMNO pusat tadi dihadiri oleh semua anggota exco termasuk ketua-ketua Pemuda UMNO negeri.

ENDS